Selasa, 19 Januari 2010

Berakhirnya Zaman Bujang Seorang Sahabat

1 ulasan
Segala Puji hanya bagi Allah,Tuhan semesta 'alam, Selawat dan salam buat junjungan besar saidina Muhammad SAW, serta ahli keluarga Baginda dan sahabat-sahabat Baginda sekalian.

10 Januari 2010 bersamaan 24 muharram 1431 Hijrah, berakhirlah sudah zaman bujang seorang sahabat saya yang bernama Mohd Hafidzullah Amin bin Borhanuddin dan selamat dinikahkan dengan pasangan hidup Julyza binti Abdul Latif. Majlis akad nikah dibuat di kediaman pihak pengantin perempuan di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Dan majlis di pihak pengantin lelaki dibuat pada tarikh 16 Januari 2010 bersamaan 30 Muharram 1431 Hijrah bertempat di Taman Tas Jaya, Gambang, Kuantan.




Walaupun majlis sudah berakhir beberapa hari yang lalu, masih belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat pengantin baru kepadanya, semoga kalian berdua bahagia hingga ke akhir hayat, cinta bukan sahaja berakhir di jinjang pelamin bahkan mudah-mudahan ianya berkekalan. Semoga Allah memberkati kalian berdua.



Zaman bujang telah dia tinggalkan, dan kini bermulalah sebuah episod kehidupan berumahtangga. Status pun sudah berubah dan tanggungjawab juga bertambah sebagai seorang suami dan ketua rumahtangga. Terasa gembira dan bahagia melihat Amin (nama panggilan) sudah pun berkahwin dan saya tidak menyangka di antara kami ini dia dahulu yang mendirikan rumahtangga, apa-apa pun ucapan tahniah kepada amin.

Setelah Amin berkahwin, ada juga sahabat-sahabat lain bertanyakan kepada saya bila mahu mendirikan rumahtangga. Jawapan ringkas saya berikan
"nak kawin camne bakal pun tak ade,ni belajar pun belum habis lagi". Bagi saya hendak kahwin ni mudah, akan tetapi kehidupan selepas perkahwinan itu bukan semudah yang dijangkakan, bukan mudah untuk melayari kehidupan berumahtangga, selain daripada persediaan yang cukup, ilmu agama juga penting agar rumahtangga itu lebih bahagia dan diberkati. Dan barangsiapa yang mampu dan sudah bersedia silakan sahaja untuk berkahwin, seperti mana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud :

"Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa diantara kamu yang berkemampuan untuk kahwin, maka kahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan, tetapi barangsiapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu sebagai benteng (menahan nafsu) " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikaNya diantara kamu sifat kasih dan sayang." (Surah Ar-Rum:21)

Dan Islam juga telah menggariskan beberapa panduan yang penting bagi setiap umatnya untuk memilih pasangan di dalam hidupnya, antara pemilihan yang biasa disebut dan secara jelas dapat dilihat dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a katanya : Nabi SAW telah bersabda : " kahwinilah perempuan itu dengan empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu memilih yang taat pada agamanya, itulah pilihan yang terbaik."

Setelah berkahwin, suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami wajib mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah SAW menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah SWT. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Rasulullah SAW juga berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik. Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud :

"Takutilah Allah di dalam mendidik dan memimpin isteri-isteri kamu, kerana sesungguhnya mereka itu adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa yang tidak memerintahkan isterinya solat, dan mengerjakan agama kepadaNya, maka dia telah berkhianat kepada Allah dan RasulNya."

Berkenaan dengan amanah ini, teringat saya pada kata-kata Imam Al-Ghazali, Imam Al-Ghazali berkata : "Siapa yang mengkahwinkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq, maka dosanya seperti memutuskan silaturrahim dan dia telah mensia-siakan amanah Allah yang diberikan kepadanya."

Apabila suami sebagai ketua di dalam rumahtangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu, dan diantara tanggungjawab isteri ialah bergaul dengan suami secara baik. Menurut Ulama' Mazhab Imam Syafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik dan mengendalikan kerja-kerja rumah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat kepada perintah suaminya, tidak boleh keluar rumah kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci suaminya masuk ke dalam rumahnya." (Riwayat At-Tabrani)

Menurut riwayat Janzani, Rasulullah SAW menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (Al-Mar'ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta'al Al-Jibry)

Berhias untuk suami, Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas, dengan itu suami menjadi terhibur ketika disampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar perihatin. Ibnu Al-Aswas Al-Dualy berkata kepada isterinya :

"Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula akan menenangkan kamu, jika tidak, janganlah kita bersama-sama."

Jadi kepada Amin sahabatku, nasihatku semoga anda menjadi seorang suami yang bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak, tanggungjawabnya amat besar dan akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Dan semoga apa yang telah ku tulis ni, dapatlah memberi sedikit sebanyak untuk dibuat rujukan, koi ni teorinya ada..tapi praktikalnya belum lagi..hehehe, (keluar bahasa org pahang dah) ;)

Takpelah min..koi ni tumpang gembira dan bahagia lihat aok bahagia :) turn koi ni tak tau la bile,ade jodoh ade rezki insyAllah biiznillah kawin la jgk koi ni,bak kata dayat "x lari gunung dikejar" :) doa koi semoga bahagia dunia dan akhirat,hanye itu saje yang mampu koi berikan, ingatan seorang sahabat dalam doanya. ALL THE BEST YAAAA.... :)


Bait Darulzikr.
Mansurah.
20 Januari 2010.
Jam 11.10 am waktu Mesir.

Isnin, 11 Januari 2010

MyArtwork | Selamat Menempuhi Musim Peperiksaan

0 ulasan
Musim imtihan makin tiba. Kita pasti dapat melihat ramai manusia tekun mengulangkaji pelajaran, tidak kira yang kecil mahupun yang dewasa, lelaki mahupun wanita, miskin mahupun kaya, semua pasti memberi perhatian yang sepenuhnya pada imtihan yang pasti akan tiba, namun ada juga golongan yang asyik leka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mereka yang selalu berchating, asyik dengan rakan chating, ahli filem leka dengan tayangan filem masing-masing, yang tidur terus dengan mimpi-mimpi indah yang tidak berkesudahan dan bermacam-macam lagi bentuk kelekaan yang boleh mahupun tidak dapat digambarkan, itulah suasana imtihan. (terkena kat batang hidung sendiri,hadoiii...)

Golongan yang tekun mengulangkaji, pastinya melakar jadual yang terbaru. Jika dahulunya diisi dengan senda gurau dan gelak tawa, namun kini tidak lagi terukir pada jadual mahupun perbuatan. Bilik yang selalunya dibuka luas terbentang, kini ditutup seperti tidak berpenghuni, dapur yang selalunya berasap, kini tidak kelihatan lagi, begitulah karenah mereka yang inginkan kejayaan dalam imtihan. Kegembiraan akan terukir di atas kejayaan, manakala kesedihan akan tergambar di atas kegagalan. Begitulah natijah imtihan. Dari kerana itulah mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi memperolehi kejayaan, dan yang paling penting sekali adalah niat atau tujuan kita menuntut ilmu pada mulanya, kita mahukan ilmu yang berkat dan bermanfaat.

Daripada Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama', atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah akan memasukkan dia ke dalam neraka."
(Riwayat At-Tirmizi)

before edit


after edit :)


Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apabila kamu telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal." (Surah Ali-Imran:159)

Ya Allah ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kesempatan waktu untuk memohon dariMu, anugerahkanlah kepada kami kejayaan di dalam peperiksaan ini, anugerahkanlah kejayaan kepada kepada semua sahabat dan sahabiyyah kami, jangan ada di antara kami yang sedih sendirian, andai telah tertulis di Luh Mahfuz akan kegagalan kami maka ubahlah menjadi kejayaan. Engkau Yang Maha Agung, mudah-mudahan keputusan pada fasa ini lebih cemerlang dari sebelumnya. Moga kejayaan mengiringi kami, berkatilah ilmuMu kepada kami agar dapat dimanfaatkan ke jalanMu yang di redhai, amin......


~ ALL THE BEST :) ~

Bait DarulZikr.
13 Januari 2010.
Jam 6.30 am waktu Mesir.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template