Sabtu, 12 Jun 2010

Hadis 5 : Menghapuskan Kemungkaran Dan Bidaah

0 ulasan
Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ianya ditolak."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Di dalam riwayat Muslim :

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab 'Perdamaian' pada bab 'Apabila mereka berdamai di atas kezaliman, maka perdamaian itu ditolak'. Nombor hadis: 2550. Imam Muslim pula meriwayatkannya di dalam kitab 'Hukuman' pada bab 'Pembatalan hukuman yang batil dan perkara baru yang diada-adakan'. Nombor hadis: 1718.

Kepentingan Hadis:

Hadis ini merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis 'semua amalan adalah dengan niat' merupakan neraca kepada setiap amalan manusia pada batin, di mana setiap amalan yang tidak bermatlamatkan keredhaan Allah SWT, maka pembuatnya tidak akan diberi pahala. Begitu juga dengan hadis ini, ia merupakan neraca kepada amalan-amalan zahir, di mana semua pekerjaan yang bukan dari suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka ianya ditolak. Setiap orang yang mengada-adakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan agama, maka ia bukanlah daripada agama ini.

Imam Nawawi rahimahullah pernah berkata: "Hadis ini sewajarnya dihafal dan dijadikan hujah bagi menghapuskan kemungkaran."

Imam Nawawi al-Haitami pula berkata: "Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas dipandang dari sudut 'mantuuq' (iaitu kefahaman yang dapat difahami secara langsung daripada lafaznya) kerana ia adalah muqaddimah umumu bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak."

Kandungan Hadis:

1. Islam ialah mengikut bukannya rekaan.

Rasulullah SAW telah memelihara Islam daripada keterlanjuran para pelampau dan penyelewengan ahli batil melalui hadis ini yang dikatogerikan sebagai satu ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat. Hadis ini bersumberkan banyak ayat al-Quran yang telah menjadi nas bahawa kemenangan dan kejayaan itu adalah dengan mengikut pertunjuk Rasulullah SAW tanpa menambah dan mengubahnya. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu." (Surah Aali-'Imran: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain (dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah." (Surah Al-An'aam: 153)

Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbah Baginda:

"Sebaik-baik bicara ialah kitab Allah dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad SAW, seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat."

Terdapat penambahan di dalam riwayat al-Baihaqi:

"Dan setiap kesesatan itu di dalam neraka (tempatnya)."

2. Amalan yang ditolak.

Hadis ini merupakan nas yang jelas yang menolak amalan yang tidak berdasarkan kepada syarak. Lafaznya jelas menunjukukkan bahawa setiap amalan hendaklah berdasarkan kepada hukum-hukum syariat dan berhukum dengannya. Contohnya ialah perbuatan mukallaf, ia mestilah mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Adalah suatu kesesatan yang nyata sekiranya amalan itu terkeluar daripada ruang lingkup hukum-hukum syariat dan tidak terikat dengannya. Begitu juga apabila amalan menjadi hakim kepada syariat dan bukan lagi menjadi perkara yang dihukum oleh syariat. Ketika itu, menjadi kewajipan setiap muslim untuk menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan amalan yang batil dan ditolak.

Amalan terbahagi kepada 2: Ibadat dan mu'amalat.

(a) Ibadat: Sesuatu ibadat yang terkeluar dari ruang lingkup hukum Allah SWT dan Rasul-Nya secara keseluruhan, maka ia adalah ditolak dan termasuk di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" (Surah As-Syura: 21)

Contohnya ialah seorang yang bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah SWT) dengan mendengar nyanyian, menari, melihat wajah perempuan, mendedahkan kepala ketika bukan berihram ataupun yang seumpamanya yang merupakan ibadat buatan manusia dan kegilaan zaman kini. Mreka inilah di antara orang-orang yang Allah SWT butakan mata hati mereka daripada mengikut jalan yang benar, lalu mereka mengikut jalan-jalan syaitan. Mereka mendakwa, mereka bertaqarrub kepada Allah dengan buah fikiran dan kesesatan yang mereka ada-adakan. Sedangkan keadaan mereka berdasarkan kepada kesesatan yang dilakukan itu adalah sama seperti Arab musyrikin yang telah mencipta ibadat dan qurbah (amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak diizinkan oleh Allah. Allah SWT menjelaskan keadaan mereka:

"Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan." (Surah Al-Anfaal: 35)

Sebahagian mereka menyangka bahawa sesuatu yang menjadi qurbah dalam sesuatu ibadat, maka ia akan menjadi qurbah pada perkara lain. Misalnya, seorang lelaki telah bernazar pada zaman Rasulullah, bahawa dia akan berdiri di tengah panas matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh sambil berpuasa. Maka Rasulullah menyuruh lelaki itu dengan sabda Baginda:

"Hendaklah dia duduk, mencari tempat berteduh dan meneruskan puasanya."

Di dalam kitab-kitab fiqah terdapat penjelasan terhadap hukum-hukum ibadat di dalam Islam. Begitu juga terhadap perkara yang ditolak dan membatalkan sesuatu ibadah apabila berlaku penambahan atau pengurangan dari perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.

(b) Mu'amalat: Contohnya ialah segala jenis aqad dan fasakh (pembatalan aqad). Sekiranya berlawanan dengan syarak secara keseluruhan, maka ia adalah batil dan ditolak. Dalilnya ialah peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Seorang lelaki datang menemui Baginda meminta agar ditukarkan hukum hudud kesalahan zina yang telah ditentukan kepada tebusan dengan harta dan perhiasan. Ketika itu juga Nabi SAW menolak dan membatalkan permintaan lelaki tersebut.

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki yang berkata:

"Anak lelakiku telah menganiayai si anu di mana dia telah berzina dengan isterinya. Maka bolehkah aku menembusinya dengan seratus ekor kambing biri-biri dan seorang hamba? Maka Nabi SAW menjawab: "Seratus ekor biri-biri dan seorang hamba, kembali kepada kamu dan anak kamu wajib dirotan dengan seratus kali sebatan dan dibuang negeri setahun."

Begitu juga hukumnya semua aqad yang ditegah oleh syarak atau dua orang yang beraqad dan meninggalkan salah satu daripada rukun atau salah satu syaratnya, maka ia adalah aqad yang batil dan ditolak. Penjelasan yang mendalam tentang perkara ini terdapat di dalam kitab-kitab fiqah.

3. Amalan yang diterima.

Di sana terdapat amalan baru (tidak terdapat di zaman Rasulullah) yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Bahkan terdapat dalil dan kaedah syarak yang menyokongnya. Amalan ini tidak ditolak malah diterima dan dipuji. Para sahabat banyak melakukannya dan mereka mengharuskannya. Mereka juga telah bersepakat menerimanya. Contoh yang jelas ialah masalah menghimpunkan al-Quran di dalam satu mashaf di zaman Abu Bakar r.a. Menyalin beberapa naskhah daripadanya dan menghantarnya keluar negeri berserta qari di zaman Uthman al-'Affan r.a. Begitu juga dengan penulisan ilmu-ilmu nahu, faraidh, matematik, tafsir, perbahasan tentang sanad-sanad dan matan hadis dan lain-lain lagi yang terdiri daripada ilmu dalam bentuk teori yang digunakan sebagai sumber asasi kepada penggubalan undang-undang, ataupun ilmu dalam bentuk kajian dan pengalaman yang bermanfaat untuk kegunaan manusia di dalam kehidupan mereka seharian dan boleh membawa kepada penyediaan kekuatan dan memakmurkan dunia, melaksanakan syariat Allah dan berhukum dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.

4. Bidaah yang dikeji dan yang terpuji.

selepas perbincangan amalan yang ditolak dan amalan yang diterima, sekarang kita sampai kepada natijah yang jelas dan pemutusan, iaitu: Sesetengah amalan yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah ialah biadaah yang buruk lagi sesat dan sesetengah amalan yang diadakan yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan ia menepati syarak adalah amalan yang diterima. Amalan yang diterima ini pula, ada di antaranya yang sunat dan ada yang fardhu kifayah. Dari sini Imam Syafi'i berkata: "Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji."

Bidaah yang buruk kadang-kala boleh menjadi makruh dan kadang-kala boleh menjadi haram kerana mudarat, fasad (keroskan) dan menyimpang daripada tujuan (maqasid) Islam dan keperluannya. Kadang-kala ia membawa seseorang kepada kufur, menyeleweng dan sesar seperti menganggotai dan memberi wala' kepada pertubuhan dan jamaah yang mengingkari wahyu atau mengingkari syariat Allah, menyeru kepada berhukum dengan undang-undang buatan manusia serta menganggap berhukum dengan syariat Allah sebagi mundur dan lemah. Juga seperti menganggotai dan memberi wala' kepada jamaah yang mendakwa (bahawa mereka adalah jamaah) tasauf yang mengharuskan bermudah-mudah terhadap perintah-perintah syarak dan tidak menghiraukan apa yang dihalal dan diharamkan oleh Allah, ataupun jamaah yang mengangkat slogan 'wahdatul wujud wal-hulul' dan sebagainya daripada keadaan dan kata-kata yang sesat lagi kufur. Antara bidaah buruk yang berlaku di kalangan manusia umum ialah mengagungkan benda-benda yang tertentu dan mengambil berkat serta beriktiqad bahawa ia boleh memberi manfaat seperti mengagungkan perigi, pokok dan kubur.

Satu riwayat yang sahih telah menceritakan bahawa para sahabat telah melintasi sebatang pokok bidara sebelum sampai ke Hunain di mana orang-orang musyrikin telah mengagungkannya dan menyandarkan senjata mereka pada pokok tersebut. Maka berkatalah para sahabat: "Jadikanlah bagi kami tempat sandaran senjata sebagaimana mereka miliki." Lalu Rasulullah SAW bersabda:

"Allahu Akbar. Ini adalah sebagaimana yang telah dikatakan oleh kaum Musa: "Jadikanlah bagi kami Tuhan sebagaimana mereka mempunyai Tuhan-Tuhan." Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang jahil. Kmau akan mengikut jalan kaum yang sebelum dari kamu."

5. Menentang golongan yang mempertahankan bidaah.

Faedah daripada hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan lafaz (Barangsiapa yang melakukan suatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak) ialah apabila sebahagian golongan yang keras kepala dan mempertahankan bidaah yang dilakukannya menolak hujah kita melalui hadis riwayat pertama dengan berkata: Aku tidak mendatangkan sesuatu yang baru dalam urusan agama. Maka kita kemukan kepada mereka riwayat Imam Muslim ini yang menggunakan lafaz (barangsiapa yang melakukan suatu amalan.....) Dengan itu kamu hendaklah memahaminya.

6. Orang yang mengerjakan bidaah.

Di dalam hadis ini ada disebut sesiapa yang mengerjakan bidaah dalam urusan agama yang tidak bersesuaian dengan syarak, maka dia mendapat dosa, amalannya ditolak dan dia berhak memperolehi janji yang menakutkan.

7. Perkara yang tidak sah.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa sesuatu larangan (an-nahyu) terhadap sesuatu perkara menunjukkan bahawa mereka itu tidak sah.

8. Kedudukan agama Islam.

Agama Islam adalah sempurna, tiada sebarang kekurangan padannya.



Rujukan:
Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template