Sabtu, 25 April 2009

Imtihan Yang Terbesar

0 ulasan

Musim imtihan makin tiba. Kita pasti dapat melihat ramai manusia tekun mengulangkaji pelajaran, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa , lelaki mahupun wanita, miskin mahupun kaya, semua pasti memberikan perhatian sepenuhnya pada imtihan yang bakal akan tiba. Namun ade juga golongan yang asyik leka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. mereka selalu berchatting dengan rakan chatting, ahli filem leka dengan tayangan masing-masing, yang tidur terus dengan mimpi-mimpi indah yang tidak berkesudahan, dan macam-macam lagi kelekaan yang boleh mahupun tidak dapat digambarkan,itulah suasana musim imtihan.

Golongan yang rajin mengulangkaji pastinya melakar jadual yang terbaru, jika dulunya diisi dengan senda gurau dan gelak tawa, namun kini tidak lagi terukir pada jadual mahupun perbuatan. bilik yang selalunya terbuka luas kini ditutup seperti tiada berpenghuni, dapur yg selalunya berasap kini tidak kelihatan lagi, begitulah karenah mereka bila diambang imtihan yang menginginkan kejayaan. mereka percaya imtihan adalah hari penentu samada mereka dimuliakan atau dihina, cerah masa depan atau sebaliknya , memperolehi kesenangan atau kepayahan, kegembiraan akan terukir atas kejayaan , manakala kesedihan akan tergambar atas kegagalan, begitulah natijah imtihan. Dari kerana itulah mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh kejayaan. Mereka tidak mahu ketinggalan kebelakang, iginkan kejayaan dimasa hadapan, namun apakah mereka hanya risaukan imtihan di dunia ini tanpa memikirkan imtihan terbesar yang pasti menjelma, imtihan yang sering manusia lalai dan leka mengingatinya, tanpa mempedulikan natijah bersifat selama-lamanya itulah dia Hari Pembalasan (HARI QIAMAT).

Imtihan yang Terbesar (HARI QIAMAT) merupakan hari yang pasti akan tiba, selaku umat islam wajib bagi kita beriman dengan wujudnya Hari Pembalasan. Hari yang tiada keraguan padanya. Seandainya manusia gelisah, takut dan gementar apabila tibanya hari imtihan di dunia ini, semestinya mereka akan lebih tekun, lebih gerun dan lebih gementar apabila tibanya Imtihan yang Terbesar. Imtihan yang memutuskan samaada bahagia selamanya mahupun menderita dan sengsara selama-lamanya. Imtihan ini menjanjikan penyesalan yang tidak berkesudahan bagi mereka yang lalai dan leka di dunia ini. Ia sama sekali berbeza dengan imtihan di dunia ini. Imtihan yang tiada pengulangan, penipuan, kesilapan, pilih kasih dan segala bentuk kelakuan jahat yang boleh dilakukan sesama imtihan di dunia. Pada masa itu manusia semua sebuk dengan diri masing-masing. Ayah tidak mempedulikan anaknya, suami tidak memperdulikan isterinya, kawan tidak memperdulikan temannya serta tuan tidak memperdulikan hambanya. Semuanya membimbangkan kesudahan masing-masing.

Seandainya imtihan di dunia wujud tipu daya dan saling bantu membantu namun pada imtihan ini tidak akan wujud semua itu. Pada waktu itu semuanya membimbangi kesudahan masing-masing. Tiada siapa dapat membantu samaada ayah, ibu, abang, kakak, adik, tuan dan segala-galanya melainkan amalan iman dan taqwa yang dapat membantu samaada berkesudahan dengan kegembiraan mahupun kesedihan yang berpanjangan. Seperti Firman ALLAH yang bermaksud,

" Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua). Pada hari manusia lari dari saudaranya. Dari ibu dan bapanya. Dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang pada hari itu mempunyai urusan yang menyebukkan ".
Surah 'Abasa ayat 33-37.

Ketahuilah, hari ini merupakan hari mengerjakan amalan dan esok merupakan hari perhitungan amalan. Pada hari ini kita diberi waktu bercucuk tanam, manakala hari esok waktu mengutip hasilnya. Sesungguhnya penyair arab pernah menyebut :-

اذا انت لم تزرع وابصرت حاصدا ندمت علي التفريط في زمن البذر

Hari ini merupakan waktu menyemai ( الدنيا مزرعة الأ خرة ) . Sesiapa yang ingin esoknya menuai perlulah menyemai mulai sekarang. Persiapkanlah diri kita bagi menemui Hari Imtihan yang Terbesar. Hari yang pasti akan tiba, semua manusia tidak akan terkecuali, jika baik amalan kita, maka baiklah kesudahannya, sebaliknya jika buruk amalan kita, maka buruklah kesudahannya. Apakah kita meyakini esok masih ada bagi kita? percayalah Firman ALLAH SWT yang bermaksud :-


" Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakan esok dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal ".


Wallhu 'Alam.


Jumaat, 24 April 2009

Haruan Makan Anak

0 ulasan
Isu sumbang mahram kembali hangat diperbicarakan. Setiap isu-isu yang berkaitan menjadi santapan. Satu per satu kes-kes sumbang mahram disingkap oleh media massa, bukan sekadar media cetak malahan turut mendapat liputan meluas daripada media elektronik. Pelbagai pihak cuba memberi pandangan dan buah fikiran kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku. Tidak kurang juga yang menyarankan beberapa hukuman berat seperti mengkasi pesalah dan rotan di khalayak ramai untuk mengurangkan masalah ini.

Sungguh menghairankan! Bagaimana seorang bapa tergamak menodai anaknya sendiri? Seorang datuk sanggup merogol cucunya sendiri? Seorang abang mencabuli adiknya? Sukar untuk dipercayai. Tapi inilah hakikat senario masyarakat kita hari ini. Siapa yang patut dipersalahkan? Ibu, bapa, anak ataupun jiran tetangga?

Kejadian sumbang mahram ini sebenarnya menunjukkan tanda-tanda kepincangan institusi kekeluargaan masyarakat kita semakin serius dan negara sedang mengalami kemelut gejala sosial yang meruncing. Tidak dinafikan banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya gejala ini, antaranya, faktor persekitaran. Namun akar umbi menyebabkan berlakunya kes haruan makan anak adalah kerana tiadanya iman dan didikan agama dalam diri.

“Akan datang suatu zaman pada ummatku, yang iman mereka hanya tinggal pada zahirnya saja, Islam hanya sebagai simbol mereka saja, Al-Qur’an hanya sebagai hiasan, mereka (ummatku) hanya memikirkan perut mereka, wang yang menjadi agama mereka, perempuan menjadi qiblat mereka, hilang sifat qona’ah, mereka lari menghindari dari ajaran ulama, seolah-olah kambing yang dikejar binatang buas.”

Sesungguhnya iman adalah akar tunjang dalam pembentukkan sahsiah manusia. Iman mampu menjadi penghalang dan benteng kepada kemaksiatan. Tanpa iman manusia umpama layang-layang tanpa tali, terbang mengikut arus tiupan agin tanpa arah dan tujuan. Iman juga turut mengajar manusia menjadi hamba yang mengenali Khaliknya dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Apabila jiwa kosong tanpa iman, nafsu menjadi raja. Maka akal fikiran akan hilang kewarasannya. Halal dan haram sudah tidak dapat dibezakan lagi. Runtunan nafsu mengelapkan semuanya. Anak yang sepatutnya dilindungi dinodai. Itulah yang terjadi. Firman Allah:

“Sesungguhnya Nafsu itu sangat menyuruh manusia membuat kejahatan.” (Yusuf: 53)

Memang tidak dinafikan bukan mudah untuk kita mendidik nafsu. Oleh sebab itulah nafsu dikatakan musuh utama manusia dalam bermujahadah kepada Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Kita telah kembali dari peperangan yang kecil menuju perang yang paling besar lagi, lalu sahabat bertanya: “Ada lagi ya Rasulullah peperangan yang lebih dahsyat dari Badar?” Nabi menjawab ada, iaitu perang hawa nafsu”.

Ini adalah kerana manusia merupakan benda yang jamad dan makhluk kasar. Apabila dia menyerang, kita dapat melihat dengan mata dan kita dapat menghindari serangan agar tidak terkena. Tetapi hawa nafsu bersifat abstrak tidak dapat dirasa dengan tangan dan tidak dapat dilihat dengan mata tetapi tindakkannya lebih kejam dari senjata api.

Oleh itu mengawal nafsu sendiri adalah penting dalam memastikan kita mendapat kejayaan dalam hidup baik di dunia mahupun di akhirat. Janganlah kita mudah terpedaya dengan tuntutan nafsu yang sentiasa disokong oleh syaitan untuk menyesatkan anak-anak Adam.

“Orang yang pandai adalah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia).” (Riwayat Iman Ahmad).

Pengertian Tiada Paksaan Dalam Islam

0 ulasan
Memang diakui dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama. Seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa dengan sewenang-wenangnya supaya memeluk Islam. Sepanjang sejarahnya Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agamanya secara kekerasan. Apa yang berlaku ialah ramai golongan yang bukan Islam memeluk Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan agama Islam dan kesesuaiannya dengan fitrah semula jadi mereka. Tidak kurang juga yang memeluk Islam setelah berpuashati dengan kajian yang mereka lakukan.

Pelaksanaan hukum murtad kepada orang yang murtad sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan konsep tidak ada paksaan dalam agama. Ini kerana seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima Islam. Mereka bebas memilih agama yang mereka ingin anuti. Bagaimanapun setelah mereka memilih Islam, dengan sendirinya mereka tertakluk dengan undang-undang dan peraturan yang ada dalam agama Islam. Jika mereka melakukan kesilapan, mereka akan dihukum berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada dalam agama Islam. Islam ada maruahnya tersendiri. Apabila maruahnya telah dicabul, maka pencabulnya berhak mendapat hukuman setimpal menurut undang-undang Islam.

Kedudukannya tak ubah seperti seorang murid yang baru memasuki alam persekolahan. Sekolah yang dimasukinya mempunyai peraturan sendiri. Jika murid-muridnya melanggar disiplin sekolah maka pihak sekolah berhak melaksanakan hukuman ke atas murid yang melanggar peraturan itu dan perbuatan pihak sekolah ini tidak boleh dinyatakan sebagai melanggar kebebasan murid berkenaan. Jika seseorang murid boleh berbuat apa sahaja disekolah, boleh menampar dan menumbuk kawan-kawannya sendiri, malah boleh membunuh mereka dengan mudah, jelaslah sekolah berkenaan berkenaan tidak ada maruah diri dan tidak ada disiplin.

Tidak ada seorang yang berakal waras dan sihat yang ada di muka bumi ini sanggup mengatakan menguatkuasakan undang-undang bermakna menyekat kebebasan seseorang. Kebebasan murid berkenaan berbuat demikian akan menimbulkan kemusnahan kepada sekolah berkenaan dan akan menjejaskan nama baiknya sendiri. Andaikata menguatkuasakan undang-undang itu dikatakan menyekat kebebasan, sudah pasti menangkap para perompak dikatakan menyekat kebebasan perompak itu sendiri untuk menjalankan aktivitinya.

Dalam dunia hari ini Allah SWT menciptakan alam cakerawala dengan peraturannya sendiri. Bulan bebas berputar, begitu juga dengan matahari, namun putaran bulan dan juga matahari adalah di atas paksi masing-masing sesuai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Andaikata Allah SWT membiarkan matahari bergerak bebas tanpa undang-undang yang mengawalnya, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan yang cukup besar kepada alam maya ini.

Sehubungan dengan itu Islam juga mempunyai peraturan dan maruah serta kehebatannya tersendiri. Jika seseorang boleh saja memeluk dan keluar dari Islam dengan mudah, sudah pasti mencemarkan nama baik Islam itu sendiri, kerana itu yang terlibat berhak menerima hukuman-hukuman yang setimpal termasuklah hukuman hudud kerana murtad.

Hukuman ini tidak bertentangan dengan konsep bebas memilih agama. Tambahan pula Islam adalah satu agama yang sudah lengkap merangkumi soal-soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama makhluk, merangkumi persoalan ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, siyasah dan hubungan antarabangsa. Tidak ada satu agamapun di dunia ini yang mana syariatnya begitu syumul seperti Islam. Memilih agama lain menunjukkan pemilihnya tidak menggunakan akalnya sesuai dengan fitrah semula jadinya sendiri.

Satu perkara lagi konsep kebebasan itu juga perlu difahami. Apa yang didakwa oleh orang-orang barat sebagai kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak tepat dan tidak berlaku, kerana mereka masih juga terikat dengan peraturan yang mereka buat sendiri. Kalau seseorang itu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik, tiba-tiba ia melihat orang ramai sedang berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk membayar bil-bil eletrik dan bil-bil air masing-masing, lantas kita terus ke kaunter bayaran tanpa mengikut giliran, atas nama kebebasan, sudah pasti kita akan dimarahi oleh mereka yang sedang berbaris panjang itu. Ini menunjukkan kita tidak mempunyai kebebasan yang mutlak, malah kebebasan kita terikat dengan peraturan yang dibuat.

Kalau dinilai atas nama kebebasan, maka seseorang itu boleh merogol isteri orang yang lalu lalang dihadapan suaminya dan suami tidak berhak melarangnya. Inilah yang dikatakan kebebasan sebenar, tetapi apa yang kita lihat ialah suami kepada wanita berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang merogol isterinya dan boleh jadi orang ramai yang menyaksikan kejadian itu akan turut memukulnya sehingga pengsan.

Jadilah jelaslah kepada kita melaksanakan hukum hudud murtad tidak dikatakan melanggar kebebasan seseorang, kerana kebebasan seseorang itu masih terikat dengan peraturan. Sebaliknya melaksanakan hukum hudud murtad tidak lebih dari menguatkuasakan undang-undang yang terdapat dalam agama Islam itu sendiri.(Ayat yang dimaksudkan di dalam soalan adalah ayat 256, Surah Al Baqarah)

Wallahu 'Alam

Barangsiapa kenal diri,maka kenallah akan tuhannya

0 ulasan

Apakah maksud yang dikatakan ‘barang siapa kenal diri maka kenallah akan tuhannya?


Salah satu cara mengenal Allah ialah dengan mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah hakikat diri yang sebenarnya. Adapun maksud diri yang sebenarnya itu bukanlah diri yang bersifat lahiriah, kerana jasad ini tidak membawa makna yang sebenar untuk mengenal Allah SWT.

Pada abad moden ini ramai dikalangan kita tidak mengenal dirinya yang sebenar. Mereka menganggap bahawa dirinya hanyalah tubuh badan yang terdiri daripada kulit, daging, tulang, darah dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan sebenarnya ialah diri yang batin iaitu diri yang datang dan akan kembali kepada Allah SWT.

Ulama ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid berpegang bahawa diri kita ini merupakan tangga untuk mengenal Allah, sesuai dengan dalil yang mengatakan: “Siapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya ia akan mengenal Tuhan-nya”. Dikalangan ulama tasauf atau ulama ilmu ketuhanan selalu menasihatkan carilah diri kamu di dalam diri”, maksudnya ialah menyuruh agar kita mencari hakikat diri kita yang sebenarnya terlebih dahulu. Apabila kita telah menemukan diri kita yang sebenarnya pasti kita akan mengakui hakikat adanya Allah SWT.

Hakikat diri yang sebenarnya merupakan roh atau jiwa ataupun rohani yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang harus dikenali setiap manusia. Diri batiniah ini tidak dapat dilihat atau diraba oleh mata lahiriah dan tangan manusia. Walaupun di dalam Al Quran “diri” itu disebut dengan berbagai istilah, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada manusia supaya berfikir bahawa betapa luasnya “diri” yang hakikat itu di dalam manusia. Diri manusia dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat tertentu, kemudian sifat-sifat tersebut dinilai atau dihisab samada baik ataupun buruk.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertnggungjawapannya”. (Al Isra’ 36)

Allah menjelaskan kepada kita tentang istilah jiwa dan sifat yang terdapat pada jiwa, iaitu pendengaran, penglihatan, disamping roh juga akan diuji tentang ketakwaannya kepada Allah. Itulah sebabnya ketika Allah berfirman kepada roh-roh atau jiwa sedia untuk berbakti dan melaksanakan perintah Allah SWT. Untuk melakukan dan melaksanakan perintah tersebut maka diciptakanlah jasad, lalu Allah menjadikan Adam. Roh telah berikrar dan berjanji kepada Allah, maka untuk membuktikan dan berbuat sesuatu maka roh memerlukan tempat iaitu jasad.

Istilah batin disebut juga dalam Al Quran dengan qalbi. seandainya qalbi tersebut diterangi dengan nur maka selamatlah seseorang itu. Maka sekiranya tiada nur, gelaplah seseorang itu. Qalbi mesti mempunyai asas yang membolehkannya selamat yang hanya Allah menentukannya. Sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam diri berupa nafas, akal, nafsu dan roh bila menjadi satu maka dinamakan dengan insan.

Qalbi di dalam Al Quran diistilah sebagai diri atau hati. Qalbi sebenarnya mengetahui apa yang patut dibuat dan apa yang patut dilaksanakan mengikut nilai-nilai diri itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya:

“Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”. (As Sham, 9 - 10)


Jadi untuk merialisasikan pengertian bahawa siapa yang mengenali dirinya akan mengenali Tuhannya itu,iaitu dengan cara memahami hakikat roh , jiwa atau qolbi yang sebenarnya. Sesungguhnya untuk mencapai tahap yang tinggi memerlukan pengetahuan dan keyakinan yang kukuh terhadap Allah SWT.Wallahu 'Alam.



 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template