Ahad, 9 Ogos 2009

Perjuangan Kita


Assalamu'alaikum, salam perjuangan buat semua...

Dengan nama Allah ku memulakan penulisan. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ku panjatkan syukur kepadaNya. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Segala puji bagi Allah dan izinNya setelah menyepi sekian lama, dapat saya meneruskan kembali penulisan ini. Posting kali ini berkenaan dengan perjuangan kita. Apakah sebenarnya perjuangan itu? Kenapa kita berjuang? Untuk apa kita berjuang? Adakah perjuangan itu di medan perang semata-mata? dan apakah kita sedar, adakah perjuangan kita ini memperjuangkan kalimah Allah atau sebaliknya? Banyak persoalan yang timbul di sini.


Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan susah atau senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam keadaan yang bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya seperti perubahan-perubahan cuaca bagi manusia. Yang penting umat Islam dapat hidup di dalam apa jua suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan wang yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau anda berada di dalam keadaan terhimpit dan tertekan, jangan lupa perjuangan kita adalah menegakkan kalimah Allah. Begitu juga kalau anda sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin, adakalanya kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada waktu yang lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalan hidup ini tidak sepatutnya mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada orang yang lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia sangat sempit kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang cantik. Ada orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini setelah banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia kaya, menjadi orang yang berharta, menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak pula menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar negerinya. Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya menegakkan kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap atau sisa buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di dalam golongan kuffar ada golongan miskin, golongan muslim juga ada golongan miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di dalam apa jua keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang akan mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina ukhwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran, bina sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah. Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah Allah. Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita kuatkan ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari kita tambah ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Mari kita beri kesedaran kepada masyarakat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Pendek kata apa sahaja yang kita lakukan adalah mendaulatkan hukum hakam Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan di atas muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa yang hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan. Bukankah kepada kita semua???? Renungkanlah....

Ayuh!!! bangun berjuang. Kalau anda tidak mahu berjuang mendaulatkan hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku 2 perkara : pertama, hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau kedua, Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari anda untuk menegakkan kalimah Allah. Mahukah anda jadi hina kerana tidak berjuang??? Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya dimasuki perompak dan kerena tidak berani membela dan melawan maka anak isterinya dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan peristiwa itu seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan dia akan berkata:

"Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini rupa."

Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati, maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang muslim yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika orang-orang yang menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat untuk berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih baik mati kalau hidupnya pun tiada guna dan erti, kerana sama dengan mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin raput dan membusuk. Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang besar-besar suatu ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada orang-orang yang jiwanya pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat, perjuangan itu bukan hanya dengan slogan dan pekikan. Atau menamakan parti kita parti Islam. Tetapi perjuangan itu ialah berbuat kebaikan dan kebajikan dan menegakkan hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga, masayarakat dan negara. berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan merestui dan orang mukmin akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk dagingnya dan telah tanggal tulang-tulangnya. Ia akan menjadi tanah, tempat pemakaman sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa inilah kita tanam phon-pohon Toyyibah yang baru. Pohon-pohon Toyyibah yang akan diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya harap kitalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi menegakkan dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah لا اله الا الله محمد رسول الله Takbir!!! ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR WALILLAHILHAMD...

Wallahu 'Alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template