Selasa, 2 Mac 2010

Myartwork | Sketch | Wanita Solehah Penyeri Taman Syurga



Wanita ibarat bunga....cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara. Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah wanita yang mulia akhlaknya...kerana akhlak itu umpama bunga diri. Tiada guna berwajah cantik tetapi akhlaknya buruk, tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong dari ilmu. Ada pula yang kurang menarik dan baunya kurang menyenangkan. Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan kasar, tetapi bila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya...

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukum ke atas mereka, walaupun berat dipandangan mata si jahil dan ingkar, tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah. Kerana itulah....sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah, sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah, sebagai isteri dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya, sebagai ibu dia akan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang, dan yang pastinya sebagai hamba Allah dia akan menjadi hamba yang tunduk dan patuh menyerah diri hanya kepada-Nya. Islam tidak membezakan kedudukan atau darjat seseorang samada mereka wanita atau lelaki melainkan berdasarkan ketaqwaan kepada Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 124 yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walaupun sedikitpun."

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah. " (H.R Muslim)

Dalam Islam, wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah).

Rasulullah SAW juga turut menyuruh umatnya supaya memperlakukan wanita sebaik-baiknya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : "Mereka yang paling sempurna dikalangan mereka yang ikhlas adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik dan yang terbaik dikalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (H.R At-Tirmidzi)

Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud : "Berlaku baiklah terhadap wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu. " (H.R Bukhari dan Muslim)

Terdapat perbezaan diantara pembawaan lelaki dan wanita yang tidak boleh dinafikan. Wanita secara fizikalnya lebih lemah dari kaum lelaki, oleh itu mereka tidak dapat melindungi diri mereka dengan kekuatan mereka sendiri. Fitrah telah mengurniakan kepada wanita 2 ciri iaitu kedegilan dan rasa malu yang mana merupakan 2 senjata ampuh yang digunakan untuk memelihara diri mereka. Nilai sebenar wanita dalam Islam amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh wanita Barat. Nilai wanita bukan terletak pada fesyen pakaian yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wallahu 'Alam.


Bait Darul Zikr,
08 Mac 2010,
Jam 06.30 am waktu mesir.

1 ulasan:

Muhamad Amirul bin Hasim on 7 Mac 2010 9:08 PTG berkata...

kalau nak tahu lebih mendalam tentang wanita.. erhmm.. kena kawin la... :D

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template