Sabtu, 25 April 2009

Imtihan Yang Terbesar



Musim imtihan makin tiba. Kita pasti dapat melihat ramai manusia tekun mengulangkaji pelajaran, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa , lelaki mahupun wanita, miskin mahupun kaya, semua pasti memberikan perhatian sepenuhnya pada imtihan yang bakal akan tiba. Namun ade juga golongan yang asyik leka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. mereka selalu berchatting dengan rakan chatting, ahli filem leka dengan tayangan masing-masing, yang tidur terus dengan mimpi-mimpi indah yang tidak berkesudahan, dan macam-macam lagi kelekaan yang boleh mahupun tidak dapat digambarkan,itulah suasana musim imtihan.

Golongan yang rajin mengulangkaji pastinya melakar jadual yang terbaru, jika dulunya diisi dengan senda gurau dan gelak tawa, namun kini tidak lagi terukir pada jadual mahupun perbuatan. bilik yang selalunya terbuka luas kini ditutup seperti tiada berpenghuni, dapur yg selalunya berasap kini tidak kelihatan lagi, begitulah karenah mereka bila diambang imtihan yang menginginkan kejayaan. mereka percaya imtihan adalah hari penentu samada mereka dimuliakan atau dihina, cerah masa depan atau sebaliknya , memperolehi kesenangan atau kepayahan, kegembiraan akan terukir atas kejayaan , manakala kesedihan akan tergambar atas kegagalan, begitulah natijah imtihan. Dari kerana itulah mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh kejayaan. Mereka tidak mahu ketinggalan kebelakang, iginkan kejayaan dimasa hadapan, namun apakah mereka hanya risaukan imtihan di dunia ini tanpa memikirkan imtihan terbesar yang pasti menjelma, imtihan yang sering manusia lalai dan leka mengingatinya, tanpa mempedulikan natijah bersifat selama-lamanya itulah dia Hari Pembalasan (HARI QIAMAT).

Imtihan yang Terbesar (HARI QIAMAT) merupakan hari yang pasti akan tiba, selaku umat islam wajib bagi kita beriman dengan wujudnya Hari Pembalasan. Hari yang tiada keraguan padanya. Seandainya manusia gelisah, takut dan gementar apabila tibanya hari imtihan di dunia ini, semestinya mereka akan lebih tekun, lebih gerun dan lebih gementar apabila tibanya Imtihan yang Terbesar. Imtihan yang memutuskan samaada bahagia selamanya mahupun menderita dan sengsara selama-lamanya. Imtihan ini menjanjikan penyesalan yang tidak berkesudahan bagi mereka yang lalai dan leka di dunia ini. Ia sama sekali berbeza dengan imtihan di dunia ini. Imtihan yang tiada pengulangan, penipuan, kesilapan, pilih kasih dan segala bentuk kelakuan jahat yang boleh dilakukan sesama imtihan di dunia. Pada masa itu manusia semua sebuk dengan diri masing-masing. Ayah tidak mempedulikan anaknya, suami tidak memperdulikan isterinya, kawan tidak memperdulikan temannya serta tuan tidak memperdulikan hambanya. Semuanya membimbangkan kesudahan masing-masing.

Seandainya imtihan di dunia wujud tipu daya dan saling bantu membantu namun pada imtihan ini tidak akan wujud semua itu. Pada waktu itu semuanya membimbangi kesudahan masing-masing. Tiada siapa dapat membantu samaada ayah, ibu, abang, kakak, adik, tuan dan segala-galanya melainkan amalan iman dan taqwa yang dapat membantu samaada berkesudahan dengan kegembiraan mahupun kesedihan yang berpanjangan. Seperti Firman ALLAH yang bermaksud,

" Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua). Pada hari manusia lari dari saudaranya. Dari ibu dan bapanya. Dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang pada hari itu mempunyai urusan yang menyebukkan ".
Surah 'Abasa ayat 33-37.

Ketahuilah, hari ini merupakan hari mengerjakan amalan dan esok merupakan hari perhitungan amalan. Pada hari ini kita diberi waktu bercucuk tanam, manakala hari esok waktu mengutip hasilnya. Sesungguhnya penyair arab pernah menyebut :-

اذا انت لم تزرع وابصرت حاصدا ندمت علي التفريط في زمن البذر

Hari ini merupakan waktu menyemai ( الدنيا مزرعة الأ خرة ) . Sesiapa yang ingin esoknya menuai perlulah menyemai mulai sekarang. Persiapkanlah diri kita bagi menemui Hari Imtihan yang Terbesar. Hari yang pasti akan tiba, semua manusia tidak akan terkecuali, jika baik amalan kita, maka baiklah kesudahannya, sebaliknya jika buruk amalan kita, maka buruklah kesudahannya. Apakah kita meyakini esok masih ada bagi kita? percayalah Firman ALLAH SWT yang bermaksud :-


" Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakan esok dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal ".


Wallhu 'Alam.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template