Jumaat, 24 April 2009

Haruan Makan Anak


Isu sumbang mahram kembali hangat diperbicarakan. Setiap isu-isu yang berkaitan menjadi santapan. Satu per satu kes-kes sumbang mahram disingkap oleh media massa, bukan sekadar media cetak malahan turut mendapat liputan meluas daripada media elektronik. Pelbagai pihak cuba memberi pandangan dan buah fikiran kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku. Tidak kurang juga yang menyarankan beberapa hukuman berat seperti mengkasi pesalah dan rotan di khalayak ramai untuk mengurangkan masalah ini.

Sungguh menghairankan! Bagaimana seorang bapa tergamak menodai anaknya sendiri? Seorang datuk sanggup merogol cucunya sendiri? Seorang abang mencabuli adiknya? Sukar untuk dipercayai. Tapi inilah hakikat senario masyarakat kita hari ini. Siapa yang patut dipersalahkan? Ibu, bapa, anak ataupun jiran tetangga?

Kejadian sumbang mahram ini sebenarnya menunjukkan tanda-tanda kepincangan institusi kekeluargaan masyarakat kita semakin serius dan negara sedang mengalami kemelut gejala sosial yang meruncing. Tidak dinafikan banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya gejala ini, antaranya, faktor persekitaran. Namun akar umbi menyebabkan berlakunya kes haruan makan anak adalah kerana tiadanya iman dan didikan agama dalam diri.

“Akan datang suatu zaman pada ummatku, yang iman mereka hanya tinggal pada zahirnya saja, Islam hanya sebagai simbol mereka saja, Al-Qur’an hanya sebagai hiasan, mereka (ummatku) hanya memikirkan perut mereka, wang yang menjadi agama mereka, perempuan menjadi qiblat mereka, hilang sifat qona’ah, mereka lari menghindari dari ajaran ulama, seolah-olah kambing yang dikejar binatang buas.”

Sesungguhnya iman adalah akar tunjang dalam pembentukkan sahsiah manusia. Iman mampu menjadi penghalang dan benteng kepada kemaksiatan. Tanpa iman manusia umpama layang-layang tanpa tali, terbang mengikut arus tiupan agin tanpa arah dan tujuan. Iman juga turut mengajar manusia menjadi hamba yang mengenali Khaliknya dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Apabila jiwa kosong tanpa iman, nafsu menjadi raja. Maka akal fikiran akan hilang kewarasannya. Halal dan haram sudah tidak dapat dibezakan lagi. Runtunan nafsu mengelapkan semuanya. Anak yang sepatutnya dilindungi dinodai. Itulah yang terjadi. Firman Allah:

“Sesungguhnya Nafsu itu sangat menyuruh manusia membuat kejahatan.” (Yusuf: 53)

Memang tidak dinafikan bukan mudah untuk kita mendidik nafsu. Oleh sebab itulah nafsu dikatakan musuh utama manusia dalam bermujahadah kepada Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Kita telah kembali dari peperangan yang kecil menuju perang yang paling besar lagi, lalu sahabat bertanya: “Ada lagi ya Rasulullah peperangan yang lebih dahsyat dari Badar?” Nabi menjawab ada, iaitu perang hawa nafsu”.

Ini adalah kerana manusia merupakan benda yang jamad dan makhluk kasar. Apabila dia menyerang, kita dapat melihat dengan mata dan kita dapat menghindari serangan agar tidak terkena. Tetapi hawa nafsu bersifat abstrak tidak dapat dirasa dengan tangan dan tidak dapat dilihat dengan mata tetapi tindakkannya lebih kejam dari senjata api.

Oleh itu mengawal nafsu sendiri adalah penting dalam memastikan kita mendapat kejayaan dalam hidup baik di dunia mahupun di akhirat. Janganlah kita mudah terpedaya dengan tuntutan nafsu yang sentiasa disokong oleh syaitan untuk menyesatkan anak-anak Adam.

“Orang yang pandai adalah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia).” (Riwayat Iman Ahmad).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template