Selasa, 8 September 2009

Memasukkan Alat Scan Ke Dalam Faraj, Adakah Membatalkan Puasa


Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Masih lagi berada di dalam bulan ramadhan madrasah tarbiyyah. Tingkatan amalan kita di bulan yang mulia ini dan berpuasalah dengan penuh keimanan dan keinsafan sepertimana hadis, daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :
" Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimana dan keinsafan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (HR Bukhari dan Muslim)

alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj


Posting kali ini berkaitan dengan permasalahan ataupun hukum memasukkan alat scan ke dalam faraj, adakah membatalkan puasa? kita lihat berdasarkan soalan berikut dan apakah jawapannya menurut pandangan ulama'.

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada kemusykilan, insyAllah saya dan suami merancang untuk menjalani prosedur IVF (in vitro fertilization) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji pada bulan oktober 2009. Keputusan menjalani IVF ini dibuat setelah gagal mendapat zuriat dengan kaedah-kaedah perubatan yang lain. Walaubagaimanapun, prosuder ini memerlukan pemeriksaan ovari yang dijalankan melalui kaedah transvaginal ultrasound (alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj untuk mendapatkan imej ovari) pada hari-hari tertentu. Keseluruhan kaedah ini memerlukan tempoh rawatan selama 2 bulan setengah. Memandangkan kami bercadang untuk menjalani IVF pada bulan oktober, doktor telah menyusun jadual pemerikasaan dan suntikan hormon untuk saya yang kebanyakkannya jatuh pada hari-hari tertentu dalam bulan ramadhan. Biasanya rawatan kesuburan seperti ini memerlukan penjadualan teratur untuk memastikan matlamat IVF itu sendriri tercapai. Adakah alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj itu akan membatalkan puasa saya? terima kasih. Wallhu 'alam.



Jawapan:

Menurut mazhab Imam Syafie, antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu melalui kemaluan hadapan dan belakang (dubur, zakar dan faraj). Oleh demikian, berdasarkan pandangan mazhab ini, wanita tersebut hendaklah menangguhkan prosedur tersebut ke bulan lain kerana ia akan membatalkan puasa. Jika tidak dapat dielakkan, harus wanita tersebut melakukannya, namun wajib menggantikan puasa yang terbatal itu di hari lain selepas ramadhan.

Ada ulama' berpandangan, perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa kerana tiada dalil yang menegaskannya. Antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan Asy-Syaukani. Mengikut pandangan kedua ini, tiada sebarang halangan untuk wanita tersebut melakukan prosedur tersebut dalam bulan ramadhan kerana ia tidak membatalkan puasa. Pandangan kedua ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh as-Shiyam.

Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulama' ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja.

Beberapa ulama' terkenal seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm, memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menebus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala, semuanya tidak membatalakan puasa kerana tidak ia tergolong dalam pengertian makan dan minum. Kata beliau: "Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam (selain dari makan dan minum) selama ia tidak diharamkan oleh nas syara' ke atas kita". (al-Muhalla, 4/348).

Kita lihat pula pendapat Dr. Yusof al-Qardhawi pada permasalahan memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala. Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar
tinggal di dalam kemaluan tadi kerana illah atau faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlmn 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru lebih baik kita menjauhinya sekiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

Pada khilaf ulama' ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul 'Aziz : "Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan atau kelonggaran bagi urusan tersebut."

Wallahu 'Alam.

Rujukan:-

Kitab al-Majmu', Imam Nawawi, 6/322.
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/kemusykilan-tentang-perkara-perkara.html
http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-perkara-perkara-membatalkan-puasa.html
http://www.zaharuddin.net/content/view/595/72/

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template