Selasa, 1 Disember 2009

Rintihan Subuh...



Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.

"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Wa'alaikum salam", sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Ku tanya khabar subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

"Tadi....", kata Subuh dengan sayu, "aku baru saja melintasi satu tempat. Ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan. "Subuh,usah kau peduli mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?" Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

"Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, manjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling ku suka adalah buah Tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku temui. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas dan leka." Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

"Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti Shiyam", cadangku pada Subuh. Subuh menolak dengan hormat." Roti itu ada tuan punya", kata Subuh.

"Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh. "Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh. Aku merasakan serba salah, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kering akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?

Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik di dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi ku bawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan ku suakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan senyuman.

"Subuh....", seruku, "mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan ku layan kau dengan sebaiknya wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak dipenuhi. "Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".

Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh", seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?". InsyAllah", jawab Subuh, "bukankah aku kekasih yang kau rindui?". Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Wa'alaikum salam", jawabku kembali.

Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh menghilang dari pandangan.

Begitulah kisah Subuh yang setiap hari menziarahi ke setiap rumah-rumah yang kesunyian menjelang pagi. Menziarahi manusia yang masih lena diulit mimpi indah. Adakalanya Subuh gembira kerana ada tetamu yang menyambutnya dengan hidangan Amalan, tetapi adakalanya Subuh sedih akibat tetamu yang tidak mahu menyambutnya akibat lena mimpi indah mereka.

Dan inilah kisah rintihan Subuh. Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Maghrib dan Isya?. Marilah kita sama-sama renungkan dan muhasabah diri kita. Semoga kita tidak leka dalam melakukan suruhan Allah Yang Maha Agung...

Wallahu 'Alam.

1 ulasan:

murabbi on 3 Disember 2009 pada 7:25 PG berkata...

astaghfirullah..
membaca,rasa insaf menyerbu diri.
teringat kembali bila kali terakhir dapat merasa pelukan cinta Allah,merasai halawah iman itu.
sungguh,bila panggilan Allah menjenguk diri,sambutlah ia.jangan lepaskan..
kita tak tahu bila dia akan datang kembali.
adakah yakin masih ada waktu untuk kita tika itu..
nice posting..alf mbruk!

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template