Sabtu, 13 Jun 2009

10 Kumpulan Manusia Di Padang Mahsyar

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Bahang imtihan yang pernah mendidih dan menghaba sebelum ini sudah semakin sejuk dan reda. Bahkan, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang pulang ke tanah air untuk menjenguk keluarga atau bekerja untuk menampung pengajian mendatang. Dan ada juga yang meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Yang pasti tentukan apakah tugas sebenar kita sebagai hamba dan pemburu ilmu yang terbentang luas di hadapan kita.

Selain mengejar cita-cita di dunia, adakah kita sedar dan ingat untuk kita mengejar cita-cita di akhirat. Di dunia kita berasa gerun dan takut serta rasa kecewa apabila keputusan imtihan kita di dunia memperoleh kegagalan. Apakah kita tidak berasa gerun, takut dan kecewa apabila keputusan imtihan akhirat kita memperoleh kegagalan? Renungkan...

Manusia selepas dibangkitkan dari kubur masing-masing akan menuju ke padang mahsyar. Keadaan mereka itu berbeza. Ada yang berjalan kaki berkenderaan dan ada juga yang berjalan menggunakan mukanya. Pendek kata semua mengikut amal perbuatan ketika hidup dulu. Seperkara lagi yang harus ditempuh oleh manusia di padang mahsyar ialah tidak mendapat perlindungan. Matahari terlalu hampir dengan ubun kepala. Maka tidak hairan ada yang berpeluh kerana terlalu kepanasan sehingga terasa hingga ke kaki, lutut, dada, leher mahupun sekadar bahagian muka saja.

ketika dalam penantian persidangan itu, kelihatan wajah mereka tunduk cemas, muram dan hitam kelam. Keadaan itu samalah seperti kita melihat pesalah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Takut serta bimbang sentiasa bermain-main di fikiran.

Bagaimana ketika di padang mahsyar tidak siapa yang dapat melepaskan diri. Bukan itu saja malah untuk mencari pohon tempat berteduh juga tidak kelihatan. Sesiapa saja akan tetap diadili dan bergantung betapa taatnya dia dengan perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan ingatlah hari ketika Kami kumpulkan daripada setiap umat segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami iaitu mereka dibahagi-bahagi dalam kelompok-kelompok." (surah an-Naml : 83)

Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani dalam kitabnya Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi menceritakan pada suatu hari sahabat Mu'adz bin Jabal bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai maksud firman Allah dalam surah an-Naba' : 18 yang bermaksud:

"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."

mendengar saja soalan itu, lantas baginda menangis dengan bercucuran air mata seraya bersabda:

"Wahai Mu'adz, sesungguhnya engkau telah bertanyakan sesuatu perkara yang amat besar! ada 10 macam umatku nanti yang akan dihalau ke padang mahsyar. Mereka itu semuanya telah Allah tukarkan tidak seperti mereka hidup di dunia."

Golongan itu seperti berikut:

  • Ditukar rupa menjadi wajah kera. Mereka itu adalah manusia yang suka mengumpat.

  • Ditukar rupa menjadi wajah babi. Mereka adalah kalangan mereka yang suka memakan harta ana-anak yatim.

  • Dihalau dalam keadaan terbalik, kakinya di atas dan kepala di bawah. Mereka itu adalah manusia yang suka memakan riba.

  • Dihalau dalam keadaan buta dan diiring. Mereka adalah daripada kalangan manusia yang curang dalam menerapkan hukum.

  • Ditukar menjadi bisu dan tuli serta tidak berakal. Mereka itu adalah kalangan yang bangga dengan amalannya sendiri.

  • Dihalu dalam keadaan mengunyah lidah sendiri, sedangkan lidah itu terjulur hingga paras dada dan mulutnya pula keluar nanah yang menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan perbuatannya.

  • Ada manusia yang dihalau dalam keadaan terpotong kedua kaki dan tangan. Mereka itu adalah daripada yang suka mengganggu tetangga.

  • Diiring ke mahsyar dalam keadaan tersalib di pokok kurma neraka. Mereka itu adalah kalangan yang suka berusaha mengajak orang ramai supaya membela pemerintah yang tidak jujur kepimpinannya.

  • Dikumpulkan dalam keadaan menggunakan pakaian yang panas. Mereka itu adalah manusia yang takbur, sombong dan bongkak.

Allah berfirman dalam surah Taha aat 124-126 yang bermaksud:

"Dan barang siapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia : Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: "Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan."

Daripada perbezaan kumpulan itu, jelas bahawa walaupun ketika berada di dunia dalam keadaan normal, tiada cacat cela, tetap akan ditukar oleh Allah mengikut amalan yang dilakukan di dunia. Sebelum sampai hari pengadilan di padang mahsyar yang maha luas itu. Begitu juga dengan pengiringan dan penghalauan manusia ke padang mahsyar, jangan sekali-kali menganggap ringan kerana memikirkan perkara itu belum pernah berlaku. Bagaimanapun Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Dan ingatlah akan hari yang ketika itu Kami perjalankan gunung-ganang dan kamu akan melihat bumi itu datar dan akan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka."

Wallahu 'Alam.



Khamis, 11 Jun 2009

ADDEN Itu Nasihat

0 ulasan
السلام عليكم

بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد لله رب العالمين , والصلاة والسلام علي سيدنا محمد رسول الله واله وصحبه أجمعين

Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis riwayat muslim, dari Abu Ruqaiyah bin Aus ad-Dari :

" Ad-Deen (agama) itu adalah nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa? Rasulullah menjawab : untuk Allah, kitabNya, kepada semua pemimpin orang Islam dan kepada semua orang Islam."

Dari hadis di atas, jelaslah Rasulullah menghubungkan Deen atau Agama dengan nasihat atau peringatan. Amalan nasihat menasihati menjadi asas kepada Agama kita.

sekadar gambar hiasan

Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk memberi nasihat dan mendengar nasihat dan peringatan. Ini yang membezakan antara seorang Muslim dari bukan Muslim.

Banyak ayat-ayat al-Quran menuruh kita supaya melaksanakan amalan ini. Maksud firman Allah dalam surah az-Zariyat : 55 :

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."

Tetapi ada segolongan manusia yang tidak suka diberi peringatan atau menganggap peringatan itu sebagai "offensive" atau mengganggu "private life" mereka.

Mereka menganggap orang yang memberi peringatan itu adalah pengacau. Jika mereka melakukan sesuatu mungkar, mereka akan menjauhi orang lain kerana takut diberi peringatan tentang kesalahan yang dilakukan.

Golongan ini dinyatakan oleh Allah:

"Dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya, iaitu orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)."

Mereka adalah orang-orang yang telah menutup pintu hati mereka dengan berbagai prejudis dan tidak berani untuk menghadapi kebenaran. Untuk golongan ini, Allah memberi amaran :

"Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang bantuan). " (surah An 'aam : 44)

Oleh itu marilah kita (termasuk saya sekali) berdo'a kepada Allah s.w.t supaya dibukakan hati kita untuk menerima segala nasihat dan peringatan yang baik supaya kehidupan kita sentiasa mendapat bimbingan dariNya, sehinggalah sampai masa kita menemuiNya..

Wallhu 'Alam.

Selasa, 9 Jun 2009

Hadis 4 : Peringkat Kejadian Manusia & Kesudahannya

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi muhammad s.a.w. Kali ni posting berkenaan proses & peringkat kejadian manusia menurut hadis.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami - dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan -: "Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (40 hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut (40 hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis 4 perkara : (1) rezekinya, (2) ajalnya, (3) amalannya, dan (4) celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasuki (neraka). Di kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga).

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam "Permulaan makhluk" bab "Sebutan tentang malaikat". Hadis nombor 3036. Imam Muslim menyebutnya di awal kitab "Ketentuan" pada bab "Bagaimana kejadian manusia". Hadis nombor 2643.

Kandungan Hadis :

1. Perkembangan janin di dalam rahim.


Hadis ini menunjukkan bahawa janin mengalami perubahan di dalam jangka masa 120 hari pada 3 peringkat. Pada setiap 40 hari, ia berada di satu peringkat tertentu. Pada tempoh 40 hari yang pertama, ia menjadi mani (nutfah), kemudian pada tempoh 40 hari yang kedua, ia menjadi segumpal darah dan dalam waktu 40 hari yang ketiga, ia menjadi ketulan daging. Seterusnya selepas 120 hari, malaikat meniupkan ruh dan menulis baginya 4 perkara. Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran mengenai perubahan janin pada peringkat-peringkat ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Wahai umat manusia. sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatikanlah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku." (Al-Hajj : 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :

"Dan sesungguhnyaKami menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, alu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat kejadiannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Al-Mukminun : 12-14)

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi 7 peringkat. Ibnu Abbas r.a pernah berkata : "Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini."


Hikmat Allah s.w.t mencipta manusia mengikut tertib dan menepati perkembangan ini serta beransur-ansur dari satu kejadian ke satu kejadian yang lain (sedangkan Dia mampu dan berkuasa untuk mengadakannya dengan sempurna di dalam jangka masa yang paling cepat) ialah menyusun kejadian manusia serta kejadian alam semesta supaya menepati rukun sebab dan musabab serta muqaddimah dan natijah. Ini adalah lebih tepat dan jelas di dalam memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. Begitu juga kita dapat mengambil pengajaran daripada proses yang berlaku secara beransur-ansur ini, iaitu Allah mengajar hamba-Nya agar tenang dan berwaspada di dalam urusan-urusan mereka dan menjauhkan sikap tergesa-gesa.

Di sana juga terdapat pengajaran kepada manusia bahawa kesempurnaan maknawi hanya akan diperolehi secara beransur-ansur sebagaimana kesempurnaan zahir terjadi beransur-ansur dalam peringkat kejadian manusia dan bagaimana perpindahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain berlaku sehingga manusia mencapai tahap kesempurnaan akal (baligh). Begitulah juga manusia, sewajarnya bertindak mengikut proses yang sebegini rupa dalm penyusunan cara hidupnya, jika tidak, dia akan meraba-raba dalam kegelapan.

2. Tiupan ruh

Ulama' bersepakat bahawa berlakunya tiupan ruh kepada janin adalah setelah berlakunya 120 hari selepas persetubuhan di antara suami isteri ; iaitu selepas sempurna 4 bulan dan masuk bulan kelima. Ini (kewujudan janin) dapat diketahui dengan penyaksian (penglihatan). Oleh itu segala hukum-hakam disandarkan kepadanya seperti hukum istilhaaq (iaitu seorang mengaku bahawa seorang yang lain adalah anaknya atau tidak atau sebaliknya) dan kewajipan memberi nafkah. Hukum-hakam ini sabit kerana janin itu diyakini kewujudannya hasil dari pergerakan yang dirasa di dalam rahim. Oleh kerana itu juga, hikmah 'iddah perempuan yang kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari ialah memastikan benar-benar bahawa rahimnya tidak mengandungi janin suaminya yang meninggal setelah berlalunya tempoh tersebut tanpa menunjukkan tanda hamil.

Ruh: ialah nyawa yang menghidupkan manusia. Ia adalah daripada urusan Allah sahaja sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran melalui friman-Nya yang bermaksud :

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang ruh. Katakanlah : "Ruh itu perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak dibenarkan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. " (Al-Israa' : 85)

Imam Nawaawi berkata di dalam kitabnya Syarah Muslim : "Ruh ialah satu jisim seni yang mengalir dan menyerap di dalam tubuh, sebagaimana air menyerap di dalam dahan yang hijau." Imam al-Ghazali pula berkata di dalam kitabnya Ihyaa' Ulumuddin : "Ruh ialah semata-mata jauhar (suatu benda) yang bergerak di dalam tubuh."

3. Haram menggugurkan janin.



Para ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa menggugurkan janin selepas ditiupkan ruh adalah haram. Mereka mengkatogerikan perbuatan tersebut sebagai jenayah yang tidak halal bagi seorang muslim melakukannya kerana sesungguhnya ia adalah jenayah terhadap benda hidup yang telah sempurna kejadiannya dan ternyata kehidupannya. Wajib membayar 'diya' dengan sebab pengguguran tersebut iaitu sekiranya janin itu gugur dalam keadaan hidup dan kemudiannya mati (dengan sebab tersebut). Sekiranya ia gugur dalam keadaan sudah mati, dikenakan denda harta-benda yang lebih ringan daripada kes pertama.

Adapaun menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh padanya, maka hukumnya juga haram. Ini adalah pendapat kebanyakan fuqaha' dan dalilnya ialah hadis-hadis sahih yang menceritakan bahawa penciptaan bermula dari mani selepas ianya stabil berada di dalam rahim ibu.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Huzaifah bin Usaid bahawa baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Apabila berlalu (genap) 42 malam (dalam riwayat yang lain, lebih dari 40 hari), Allah s.w.t mengutuskan malaikat, maka iapun membentuknya dan menciptakan pendengaran, penglihatan, kulit, daging dan tulangnya."


Di dalam kitab 'Jami' al-Ulum wa al-hikam' karangan Ibnu Rajab al-Hambali, muka surat 42, dinyatakan bahawa : "Ada di kalangan fuqaha' yang telah mengharuskan wanita untuk menggugurkan janin yang dikandungnya selagimana tidak ditiupkan ruh. Mereka melihat masalah pengguguran ini sama seperti masalah al-'azl (iaitu menegah air mani lelaki daripada sampai ke rahim perempuan). Ini adalah pendapat yang lemah kerana janin adalah anak yang telah bermula kejadiannya dan mungkin sudah terbentuk kejadiannya sedangkan dalam masalah al-'azl tidak ada kaitan sedikitpun dengan janin. Bahkan al-'azl hanya penyebab tertegahnya kejadian anak, kadangkala perbuatan ini juga tidak dapat menegah kehendak Allah untuk mencipta anak.

Di dalam kitab Ihyaa' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali jilid ke-2 muka surat 51 : "Al-'azl tidak sama seperti pengguguran dan menanam anak hidup-hidup, kerana perbuatan itu adalah jenayah terhadap kejadian yang telah sedia ada. Kejadian manusia ade beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah jatuhnya air mani lelaki ke dalam rahim dan bercampur dengan air mani perempuan lalu ia bersedia untuk menerima kehidupan. Merosakkan keadaan ini adalah jenayah. Sekiranya mani telah bertukar menjadi segumpal darah, maka merosakkannya adalah jenayah yang lebih keji. Sekiranya telah ditiup ruh dan telah ditetapkan kejadiannya, maka jenayah ini bertambah keji lagi. Kemuncak kekejian di dalam jenayah ini ialah apabila anak terpisah (dari rahim) dan lahir dalam keadaan hidup."

4. Penentuan amalan pada kesudahannya.

Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Sahal bin Sa'ad daripada Nabi s.a.w sabdanya :

"Sesungguhnya semua amalan itu dengan penutupnya."

Maknanya ialah sesiapa yang ditulis (ditentukan) baginya iman dan taat pada akhir umurnya, kemungkinan dia kufur dan mengingkari Allah s.w.t dalam tempoh tertentu, kemudian Allah s.w.t memberikan kepadanya taufik (petunjuk) kepada iman dan taat sebelum umurnya berakhir dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang dituliskan (ditetapkan) ke atasnya kufur dan fasiq di akhir umurnya, kemungkinan dia beriman dan mentaati Allah s.w.t dalm tempoh masa tertentu, kemudian Allah s.w.t membiarkannya (tidak menghiraukannya) - lantaran usaha, amalan dan keinginannya sendiri - lantas dia menuturkan kalimah kufur dan beramal dengan amalan ahli neraka dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk nerak.

Oleh itu, janganlah kita tertipu, merasa lemah dan putus asa dengan keadaan zahir manusia, kerana ukuran sebenar adalah pada akhirnya. Kita memohon kepada Allah s.w.t supaya menetapkan kita di atas kebenaran, kebaikan dan 'husnul khatimah' (kesudahan yang baik).

5. Kesudahan baik dan buruk.

Ibnu Hjar al-Haitami telah berkata : "Sesungguhnya kesudahan yang buruk - kta minta berlindung dengan Allah - adalah dengan sebab bisikan batin (hati) si hamba (itu sendiri) dan manusia tidak mampu melihatnya. Begitulah juga, kadang-kadang seorang lelaki beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan pada batinnya terdapat satu sifat kebaikan yang tersembunyi yang akan menguasainya pada akhir umurnya, maka ini melayakkannya untuk mendapat kesudahan yang baik."

Abdul Azizi bin Daud telah menceritakan, katanya : "Aku hadir di sisi seorang yang sedang menghadapi kematian dan diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah. Lelaki yang mengajar itu berkata : "Dia telah kufur dengan kalimah syahadah", lantas dia bertanya khabar tentangnya (semasa hidupnya), maka didapati si mati adalah penagih arak. Lalu berkatalah Abdul Azizi : "Peliharalah diri kamu semua daripada dosa-dosa. Sesungguhnya dosa-dosalah yang telah menjerumuskan si polan ini ke dalam kekufuran."

Wallahu 'Alam.

Rujukan : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto.

Ahad, 7 Jun 2009

Luqman Al Hakim : Model Tarbiyah Islam

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

الحمدلله رب العالمين وصلواته علي أسرف المرسلين : محمد خاتم النبيين وصحبه أجمعين

Apabila menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia tertumpu kepada tugas dan tanggungjawap ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.

Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawap yang mendalam di samping mempunyai 'aqidah yang kental terhadap Allah s.w.t. Justeru itu, Allah s.w.t telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqman Al Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Luqman kepada anaknya ialah :

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarkanlah kata-kata para hukama' (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi tang mati dengan hujan yang lebat.

2. Janganlah engkau jadi lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokoh pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.

5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.

6. Tiga orang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

AQIDAH:


Masalah 'aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa kita dapati banyak penyelewengan terjadi dama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami 'aqidah Islam secara mendalam.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (surah Luqman:31)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.

Kebanyakkan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Renungkanlah bersama wahai pembaca yang budiman sekalian...

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan 'aqidah untuk beriman dengan Allah s.w.t secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidikan membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakn bahawa:

"Ketika aku berumur 3 tahun, aku sudah meulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingatinya?, kemudian beliau berkata kepadaku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidahmu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku).

Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebut tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia sehingga engkau masuk ke dalam kubur."

Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.

SOLAT:

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (surah Luqman:17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabilillah." Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.

Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah s.w.t.

Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa sesorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.

Wallahu 'Alam.

Sabtu, 6 Jun 2009

Perbincangan Bersama Wanita

0 ulasan
Assalamualaikum...

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, kerana jasa dan pengorbanan baginda, dapat lagi kita mengecapi nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Kali ini posting mengenai perbincangan bersama wanita.

sekadar gambar hiasan

Amat menyedihkan apabila ada segelintir manusia berpegang dengan ungkapan:

"Berundinglah dengan wanita dan abaikanlah keputusan rundingan tersebut."

Sedangkan ungkapan ini tidak pernah lahir daripada Nabi s.a.w, kerana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

"Dengan kerelaan dan permusyawaratan antara keduanya."

Maka mana mungkin hadis Rasulullah s.a.w datang bertentangan dengan al-Quran!

Nabi Muhammad s.a.w sendiri berbincang dengan isterinya, Ummu Salamah selepas perjanjian Hudaibiyah, ketika para sahabat ingkar daripada mematuhi arahan baginda s.a.w supaya bercukur dan memotong rambut untuk bertahallul dari ihram umrah bagi membolehkan mereka pulang selepas termeterainya perjanjian tersebut.

Para sahabat merasa keberatan dengan arahan tersebut dan tidak ada seorang pun yang sanggup untuk melaksanakannya. Hal ini kerana para sahabat keluar ke Makkah semata-mata dengan niat untuk menunaikan umrah dan ibadat-ibadat yang lain.

Dalam keadaan tersebut, Nabi s.a.w mengadu kepada Ummu Salamah perihal para sahabat seraya berkaa: "Binasalah manusia!" kerana mereka telah mengingkari perintah baginda s.a.w.

Maka Ummu Salamah berkata: "Wahai Rasulullah, keluarlah tanpa berbicara dengan sesiapa pun dan suruhlah tukang cukur mencukur rambutmu di hadapan mereka, kemudian bertahalullah dari ihrammu. Jangan engkau lakukan selain daripada itu. Lalu Nabi s.a.w keluar dan melaksankan apa yang disarankan oleh Ummu Salamah. Pada ketika itu, para sahabat seolah-olah baru terjaga dari lena dan berkata: "Adakah patut kita tidak mengerjakan apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah?!"

Maka mereka melakukannya hasil dari buah fikiran Ummu Salamah. Jelas terbukti, bahawa wanita berhak mengeluarkan pendapat dan pandangan mereka.

Wallahu 'Alam.

Khamis, 4 Jun 2009

Politik

0 ulasan
Assalamualaikum...

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Kali ini posting berkenaan Politik, persoalannya.....

1. Apakah ada ajaran politik di dalam al-Quran dan as-Sunnah?
2. Apa hukum orang yang berkata : " politik suku, agama suku " ?
3. Kenapakah perlu kuasa politik untuk melaksanakan syariat Allah?
4. Benarkah Allah memerintah Nabi Muhammad s.a.w supaya berdoa memohon kuasa politik?

Jawapan :

1.Apakah ada ajaran politik di dalam al-Quran dan as-Sunnah?

Ya.
(pertama) kerana kitab al-Quran adalah satu kitab yang syumul. Firman Allah yang bermaksud : " Dan kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara. " surah an-Nahl, ayat : 89. Maksud syumul adalah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan jumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari'at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh khulafa' ar-Rasyidin. Mereka menggantikan baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w dan Khulafa' ar-Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan poltik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

2. Apa hukum orang yang berkata : " politik suku, agama suku? "

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika dia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam menundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekalian ulama' Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah.


3. Kenapakah perlu kuasa politik untuk melaksanakan syariat Allah?

Kerana Syari'at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti menbaenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukum bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititk beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.




Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita, maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut syari'at Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan syari'at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan syari'at Allah dan tuntutan agama Islam.



4. Benarkah Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w supaya berdo'a memohon kuasa politik?

Ya, memang benar. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan syari'at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfiraman yang bermaksud :

" Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdo'a) : wahai Tuhanku! masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku. " (surah al-Isra' : 80)

Menurut ulama'-ulama' Tafsir (antaranya Imam Qatadh, Ibnu Jarir dan Ibnu Kathir), Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan apa yang terkandung di dalam kitab Allah (al-Quran), dari segi hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan yang paling penting menegakkan Agam Allah iaitu ISLAM.

Wallahu 'Alam.

Rujukan : http://ilmudanulamak.blogspot.com by Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Rabu, 3 Jun 2009

Hukum Wanita Berhias Di Salon & Memakai Rambut Palsu

0 ulasan
Assalamu'alaikum sahabat-sahabat semua..

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam dan Maha Pencipta keindahan alam ini, selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Posting kali ini berkenaan tentang apakah hukum wanita muslimat berhias atau mempercantikkan dirinya di tempat-tempat yang tertentu, misalnya pada masa kini dinamakan salon kecantikan, dengan alasan keadaan masa kini bagi wanita sangat penting untuk tampil dengan perlengkapan dan cara-cara berhias seperti itu yang bersifat moden?.

Selain itu masalah itu, bolehkah wanita memakai rambut palsu atau menutup kepala yang dibuat khusus untuk itu.?

sekadar gambar hiasan


Jawapan pada permasalahan ini adalah, Agama Islam menentang kehidupan yang bersifat kesengsaraan dan menyiksa diri, sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh sebahagian dari pemeluk agama lain dan aliran tertentu. Agama Islam juga menganjurkan bagi umatnya untuk selalu tampak indah dengan cara sederhana dan layak, yang tidak berlebih-lebihan. Bahkan Islam menganjurkan di saat hendak mengerjakan ibadat seperti solat, supaya berhias diri disamping menjaga kebersihan dan kesucian tempat mahupun pakaian.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
" ...Pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid... "
surah Al-A'raaf : 31

Bila Islam sudah menetapkan hal-hal yang indah, baik bagi lelaki mahupun wanita, maka terhadap wanita, Islam lebih memberi perhatian dan kelonggaran, kerana fitrahnya, sebagaimana dibolehkan memakai kain sutera dan perhiasan emas,dimana hal itu diharamkan bagi kaum lelaki.

Adapun hal-hal yang dianggap oleh manusia itu baik, tetapi membawa kerosakan dan perubahan pada tubuhnya, dari yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t, dimana perubahan itu tidak layak bagi fitrah manusia, sudah tentu hal itu dipengaruhi oleh perbuatan syaitan yang hendak memperdaya manusia. Oleh kerana itu, perbuatan tersebut dilarang. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w :

" Allah melaknat pembuatan tatto (iaitu memasukkan jarum ke kulit dengan warna yang berupa tulisan,gamba berbunga, simbol-simbol dan sebagainya) mempertajamkan gigi, memendekkan atau menyambungkan rambut dengan rambut orang lain (yang bersifat palsu, menipu dan sebagainya). "
(Hadis sohih)


Sebagaimana riwayat Said bin Musayyab, salah seorang sahabat Nabi s.a.w, ketika muawiyah berada di Madinah setelah beliau berpidato, tiba-tiba mengeluarkan segenggam rambut dan mengatakan, " inilah rambut yang dinamakan Nabi s.a.w azzur yang ertinya atwashilah (penyambung), yang dipakai dipakai oleh wanita untuk menyambung rambutnya, hal itulah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w dan tentunya hal itu adalah perbuatan orang-orang yahudi. Bagaimana dengan anda, wahai para ulama' apakah kalian tidak melarang hal itu? Padahal aku telah mendengar sabda Nabi s.a.w yang ertinya:

" sesungguhnya terbinasanya orang-orang Israel itu kerana para wanitanya memakai itu (rambut palsu) terus menerus. "
(H.r. Bukhari)


Nabi s.a.w menamakan perbuatan itu sebagai suatu bentuk kepalsuan & penipuan, supaya nampak cantik dan sebab itulah Nabi melarang hal itu bagi kaum wanita, dan kerana hal itu juga merupakan sebahagian dari tipu muslihat.

Bagi wanita yang menghias rambut atau lainnya di salon-salon kecantikan, sedang tukang yang membuatnya atau menghiasnya adalah kaum lelaki. Hal itu jelas dilarang Islam,kerana bukan sahaja bertemu dengan lelaki yang bukan mahramnya, tetapi lebih dari itu, sudah pasti perkara itu menjadi haram, walaupun dilakukan di rumah sendiri.

Bgi wanita Muslimat yang tujuannya taat kepada agama dan Tuhannya, sebaiknya berhias diri di rumah sendiri untuk suaminya, bukan di luar rumah atau di jalanan untuk tontonan lelaki lain. Yang demikian itu adalah tingkah laku kaum yahudi yang menginginkan cara-cara moden dan sebagainya.

Wallahu 'Alam.


Rujukan : Fatawa Qhardhawi : permasalahan, pemecahan dan hikmah oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template