Selasa, 9 Jun 2009

Hadis 4 : Peringkat Kejadian Manusia & Kesudahannya


Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi muhammad s.a.w. Kali ni posting berkenaan proses & peringkat kejadian manusia menurut hadis.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami - dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan -: "Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (40 hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut (40 hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis 4 perkara : (1) rezekinya, (2) ajalnya, (3) amalannya, dan (4) celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasuki (neraka). Di kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga).

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam "Permulaan makhluk" bab "Sebutan tentang malaikat". Hadis nombor 3036. Imam Muslim menyebutnya di awal kitab "Ketentuan" pada bab "Bagaimana kejadian manusia". Hadis nombor 2643.

Kandungan Hadis :

1. Perkembangan janin di dalam rahim.


Hadis ini menunjukkan bahawa janin mengalami perubahan di dalam jangka masa 120 hari pada 3 peringkat. Pada setiap 40 hari, ia berada di satu peringkat tertentu. Pada tempoh 40 hari yang pertama, ia menjadi mani (nutfah), kemudian pada tempoh 40 hari yang kedua, ia menjadi segumpal darah dan dalam waktu 40 hari yang ketiga, ia menjadi ketulan daging. Seterusnya selepas 120 hari, malaikat meniupkan ruh dan menulis baginya 4 perkara. Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran mengenai perubahan janin pada peringkat-peringkat ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Wahai umat manusia. sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatikanlah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku." (Al-Hajj : 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :

"Dan sesungguhnyaKami menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, alu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat kejadiannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Al-Mukminun : 12-14)

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi 7 peringkat. Ibnu Abbas r.a pernah berkata : "Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini."


Hikmat Allah s.w.t mencipta manusia mengikut tertib dan menepati perkembangan ini serta beransur-ansur dari satu kejadian ke satu kejadian yang lain (sedangkan Dia mampu dan berkuasa untuk mengadakannya dengan sempurna di dalam jangka masa yang paling cepat) ialah menyusun kejadian manusia serta kejadian alam semesta supaya menepati rukun sebab dan musabab serta muqaddimah dan natijah. Ini adalah lebih tepat dan jelas di dalam memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. Begitu juga kita dapat mengambil pengajaran daripada proses yang berlaku secara beransur-ansur ini, iaitu Allah mengajar hamba-Nya agar tenang dan berwaspada di dalam urusan-urusan mereka dan menjauhkan sikap tergesa-gesa.

Di sana juga terdapat pengajaran kepada manusia bahawa kesempurnaan maknawi hanya akan diperolehi secara beransur-ansur sebagaimana kesempurnaan zahir terjadi beransur-ansur dalam peringkat kejadian manusia dan bagaimana perpindahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain berlaku sehingga manusia mencapai tahap kesempurnaan akal (baligh). Begitulah juga manusia, sewajarnya bertindak mengikut proses yang sebegini rupa dalm penyusunan cara hidupnya, jika tidak, dia akan meraba-raba dalam kegelapan.

2. Tiupan ruh

Ulama' bersepakat bahawa berlakunya tiupan ruh kepada janin adalah setelah berlakunya 120 hari selepas persetubuhan di antara suami isteri ; iaitu selepas sempurna 4 bulan dan masuk bulan kelima. Ini (kewujudan janin) dapat diketahui dengan penyaksian (penglihatan). Oleh itu segala hukum-hakam disandarkan kepadanya seperti hukum istilhaaq (iaitu seorang mengaku bahawa seorang yang lain adalah anaknya atau tidak atau sebaliknya) dan kewajipan memberi nafkah. Hukum-hakam ini sabit kerana janin itu diyakini kewujudannya hasil dari pergerakan yang dirasa di dalam rahim. Oleh kerana itu juga, hikmah 'iddah perempuan yang kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari ialah memastikan benar-benar bahawa rahimnya tidak mengandungi janin suaminya yang meninggal setelah berlalunya tempoh tersebut tanpa menunjukkan tanda hamil.

Ruh: ialah nyawa yang menghidupkan manusia. Ia adalah daripada urusan Allah sahaja sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran melalui friman-Nya yang bermaksud :

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang ruh. Katakanlah : "Ruh itu perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak dibenarkan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. " (Al-Israa' : 85)

Imam Nawaawi berkata di dalam kitabnya Syarah Muslim : "Ruh ialah satu jisim seni yang mengalir dan menyerap di dalam tubuh, sebagaimana air menyerap di dalam dahan yang hijau." Imam al-Ghazali pula berkata di dalam kitabnya Ihyaa' Ulumuddin : "Ruh ialah semata-mata jauhar (suatu benda) yang bergerak di dalam tubuh."

3. Haram menggugurkan janin.



Para ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa menggugurkan janin selepas ditiupkan ruh adalah haram. Mereka mengkatogerikan perbuatan tersebut sebagai jenayah yang tidak halal bagi seorang muslim melakukannya kerana sesungguhnya ia adalah jenayah terhadap benda hidup yang telah sempurna kejadiannya dan ternyata kehidupannya. Wajib membayar 'diya' dengan sebab pengguguran tersebut iaitu sekiranya janin itu gugur dalam keadaan hidup dan kemudiannya mati (dengan sebab tersebut). Sekiranya ia gugur dalam keadaan sudah mati, dikenakan denda harta-benda yang lebih ringan daripada kes pertama.

Adapaun menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh padanya, maka hukumnya juga haram. Ini adalah pendapat kebanyakan fuqaha' dan dalilnya ialah hadis-hadis sahih yang menceritakan bahawa penciptaan bermula dari mani selepas ianya stabil berada di dalam rahim ibu.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Huzaifah bin Usaid bahawa baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Apabila berlalu (genap) 42 malam (dalam riwayat yang lain, lebih dari 40 hari), Allah s.w.t mengutuskan malaikat, maka iapun membentuknya dan menciptakan pendengaran, penglihatan, kulit, daging dan tulangnya."


Di dalam kitab 'Jami' al-Ulum wa al-hikam' karangan Ibnu Rajab al-Hambali, muka surat 42, dinyatakan bahawa : "Ada di kalangan fuqaha' yang telah mengharuskan wanita untuk menggugurkan janin yang dikandungnya selagimana tidak ditiupkan ruh. Mereka melihat masalah pengguguran ini sama seperti masalah al-'azl (iaitu menegah air mani lelaki daripada sampai ke rahim perempuan). Ini adalah pendapat yang lemah kerana janin adalah anak yang telah bermula kejadiannya dan mungkin sudah terbentuk kejadiannya sedangkan dalam masalah al-'azl tidak ada kaitan sedikitpun dengan janin. Bahkan al-'azl hanya penyebab tertegahnya kejadian anak, kadangkala perbuatan ini juga tidak dapat menegah kehendak Allah untuk mencipta anak.

Di dalam kitab Ihyaa' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali jilid ke-2 muka surat 51 : "Al-'azl tidak sama seperti pengguguran dan menanam anak hidup-hidup, kerana perbuatan itu adalah jenayah terhadap kejadian yang telah sedia ada. Kejadian manusia ade beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah jatuhnya air mani lelaki ke dalam rahim dan bercampur dengan air mani perempuan lalu ia bersedia untuk menerima kehidupan. Merosakkan keadaan ini adalah jenayah. Sekiranya mani telah bertukar menjadi segumpal darah, maka merosakkannya adalah jenayah yang lebih keji. Sekiranya telah ditiup ruh dan telah ditetapkan kejadiannya, maka jenayah ini bertambah keji lagi. Kemuncak kekejian di dalam jenayah ini ialah apabila anak terpisah (dari rahim) dan lahir dalam keadaan hidup."

4. Penentuan amalan pada kesudahannya.

Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Sahal bin Sa'ad daripada Nabi s.a.w sabdanya :

"Sesungguhnya semua amalan itu dengan penutupnya."

Maknanya ialah sesiapa yang ditulis (ditentukan) baginya iman dan taat pada akhir umurnya, kemungkinan dia kufur dan mengingkari Allah s.w.t dalam tempoh tertentu, kemudian Allah s.w.t memberikan kepadanya taufik (petunjuk) kepada iman dan taat sebelum umurnya berakhir dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang dituliskan (ditetapkan) ke atasnya kufur dan fasiq di akhir umurnya, kemungkinan dia beriman dan mentaati Allah s.w.t dalm tempoh masa tertentu, kemudian Allah s.w.t membiarkannya (tidak menghiraukannya) - lantaran usaha, amalan dan keinginannya sendiri - lantas dia menuturkan kalimah kufur dan beramal dengan amalan ahli neraka dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk nerak.

Oleh itu, janganlah kita tertipu, merasa lemah dan putus asa dengan keadaan zahir manusia, kerana ukuran sebenar adalah pada akhirnya. Kita memohon kepada Allah s.w.t supaya menetapkan kita di atas kebenaran, kebaikan dan 'husnul khatimah' (kesudahan yang baik).

5. Kesudahan baik dan buruk.

Ibnu Hjar al-Haitami telah berkata : "Sesungguhnya kesudahan yang buruk - kta minta berlindung dengan Allah - adalah dengan sebab bisikan batin (hati) si hamba (itu sendiri) dan manusia tidak mampu melihatnya. Begitulah juga, kadang-kadang seorang lelaki beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan pada batinnya terdapat satu sifat kebaikan yang tersembunyi yang akan menguasainya pada akhir umurnya, maka ini melayakkannya untuk mendapat kesudahan yang baik."

Abdul Azizi bin Daud telah menceritakan, katanya : "Aku hadir di sisi seorang yang sedang menghadapi kematian dan diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah. Lelaki yang mengajar itu berkata : "Dia telah kufur dengan kalimah syahadah", lantas dia bertanya khabar tentangnya (semasa hidupnya), maka didapati si mati adalah penagih arak. Lalu berkatalah Abdul Azizi : "Peliharalah diri kamu semua daripada dosa-dosa. Sesungguhnya dosa-dosalah yang telah menjerumuskan si polan ini ke dalam kekufuran."

Wallahu 'Alam.

Rujukan : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template