الحمدلله رب العالمين وصلواته علي أسرف المرسلين : محمد خاتم النبيين وصحبه أجمعين
Apabila menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia tertumpu kepada tugas dan tanggungjawap ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.
Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawap yang mendalam di samping mempunyai 'aqidah yang kental terhadap Allah s.w.t. Justeru itu, Allah s.w.t telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqman Al Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Luqman kepada anaknya ialah :
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarkanlah kata-kata para hukama' (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi tang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokoh pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
AQIDAH:
Masalah 'aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa kita dapati banyak penyelewengan terjadi dama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami 'aqidah Islam secara mendalam.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (surah Luqman:31)
"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (surah Luqman:31)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.
Kebanyakkan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Renungkanlah bersama wahai pembaca yang budiman sekalian...
Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan 'aqidah untuk beriman dengan Allah s.w.t secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.
Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidikan membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakn bahawa:
"Ketika aku berumur 3 tahun, aku sudah meulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingatinya?, kemudian beliau berkata kepadaku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidahmu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku).
Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebut tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia sehingga engkau masuk ke dalam kubur."
Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.
SOLAT:
Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (surah Luqman:17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabilillah." Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah s.w.t.
Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa sesorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.
Wallahu 'Alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan