Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.
Bahang imtihan yang pernah mendidih dan menghaba sebelum ini sudah semakin sejuk dan reda. Bahkan, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang pulang ke tanah air untuk menjenguk keluarga atau bekerja untuk menampung pengajian mendatang. Dan ada juga yang meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Yang pasti tentukan apakah tugas sebenar kita sebagai hamba dan pemburu ilmu yang terbentang luas di hadapan kita.
Selain mengejar cita-cita di dunia, adakah kita sedar dan ingat untuk kita mengejar cita-cita di akhirat. Di dunia kita berasa gerun dan takut serta rasa kecewa apabila keputusan imtihan kita di dunia memperoleh kegagalan. Apakah kita tidak berasa gerun, takut dan kecewa apabila keputusan imtihan akhirat kita memperoleh kegagalan? Renungkan...
Manusia selepas dibangkitkan dari kubur masing-masing akan menuju ke padang mahsyar. Keadaan mereka itu berbeza. Ada yang berjalan kaki berkenderaan dan ada juga yang berjalan menggunakan mukanya. Pendek kata semua mengikut amal perbuatan ketika hidup dulu. Seperkara lagi yang harus ditempuh oleh manusia di padang mahsyar ialah tidak mendapat perlindungan. Matahari terlalu hampir dengan ubun kepala. Maka tidak hairan ada yang berpeluh kerana terlalu kepanasan sehingga terasa hingga ke kaki, lutut, dada, leher mahupun sekadar bahagian muka saja.
ketika dalam penantian persidangan itu, kelihatan wajah mereka tunduk cemas, muram dan hitam kelam. Keadaan itu samalah seperti kita melihat pesalah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Takut serta bimbang sentiasa bermain-main di fikiran.
Bagaimana ketika di padang mahsyar tidak siapa yang dapat melepaskan diri. Bukan itu saja malah untuk mencari pohon tempat berteduh juga tidak kelihatan. Sesiapa saja akan tetap diadili dan bergantung betapa taatnya dia dengan perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud :
"Dan ingatlah hari ketika Kami kumpulkan daripada setiap umat segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami iaitu mereka dibahagi-bahagi dalam kelompok-kelompok." (surah an-Naml : 83)
Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani dalam kitabnya Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi menceritakan pada suatu hari sahabat Mu'adz bin Jabal bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai maksud firman Allah dalam surah an-Naba' : 18 yang bermaksud:
"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."
"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."
mendengar saja soalan itu, lantas baginda menangis dengan bercucuran air mata seraya bersabda:
"Wahai Mu'adz, sesungguhnya engkau telah bertanyakan sesuatu perkara yang amat besar! ada 10 macam umatku nanti yang akan dihalau ke padang mahsyar. Mereka itu semuanya telah Allah tukarkan tidak seperti mereka hidup di dunia."
Golongan itu seperti berikut:
- Ditukar rupa menjadi wajah kera. Mereka itu adalah manusia yang suka mengumpat.
- Ditukar rupa menjadi wajah babi. Mereka adalah kalangan mereka yang suka memakan harta ana-anak yatim.
- Dihalau dalam keadaan terbalik, kakinya di atas dan kepala di bawah. Mereka itu adalah manusia yang suka memakan riba.
- Dihalau dalam keadaan buta dan diiring. Mereka adalah daripada kalangan manusia yang curang dalam menerapkan hukum.
- Ditukar menjadi bisu dan tuli serta tidak berakal. Mereka itu adalah kalangan yang bangga dengan amalannya sendiri.
- Dihalu dalam keadaan mengunyah lidah sendiri, sedangkan lidah itu terjulur hingga paras dada dan mulutnya pula keluar nanah yang menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan perbuatannya.
- Ada manusia yang dihalau dalam keadaan terpotong kedua kaki dan tangan. Mereka itu adalah daripada yang suka mengganggu tetangga.
- Diiring ke mahsyar dalam keadaan tersalib di pokok kurma neraka. Mereka itu adalah kalangan yang suka berusaha mengajak orang ramai supaya membela pemerintah yang tidak jujur kepimpinannya.
- Dikumpulkan dalam keadaan menggunakan pakaian yang panas. Mereka itu adalah manusia yang takbur, sombong dan bongkak.
Allah berfirman dalam surah Taha aat 124-126 yang bermaksud:
"Dan barang siapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia : Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: "Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan."
Daripada perbezaan kumpulan itu, jelas bahawa walaupun ketika berada di dunia dalam keadaan normal, tiada cacat cela, tetap akan ditukar oleh Allah mengikut amalan yang dilakukan di dunia. Sebelum sampai hari pengadilan di padang mahsyar yang maha luas itu. Begitu juga dengan pengiringan dan penghalauan manusia ke padang mahsyar, jangan sekali-kali menganggap ringan kerana memikirkan perkara itu belum pernah berlaku. Bagaimanapun Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Dan ingatlah akan hari yang ketika itu Kami perjalankan gunung-ganang dan kamu akan melihat bumi itu datar dan akan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka."
Wallahu 'Alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan