Ahad, 28 Jun 2009

2 Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Perbanyakkanlah selawat kepada baginda di bulan Rejab yang mulia ini, semoga kita beroleh ganjaran pahala dari Allah dan syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w di Padang Mahsyar nanti disebabkan amalan selawat kita kepada baginda. Posting kali ini berkenaan 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka menurut hadis tersebut, yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka ?(sanggul di atas kepada mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya." (H.R Muslim)

Keterangan hadis:

Kebenaran sabda Rasulullah s.a.w ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemetinya tanpa soal siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayunkan-hayunkan badan dengan sanggul yang besar gob unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

Wallahu 'Alam.

Rujukan: Kitab 40 hadis tentang peristiwa akhir zaman, di susun oleh Abu Ali Al-Banjari An Nadwi.

Rabu, 24 Jun 2009

Bulan Rejab Adalah Antara Bulan Mulia Dalam Islam

0 ulasan
Assalamu'alaikum..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Secangkir kalimah sykur dipanjatkan kehadrat ilahi dengan limpahan nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan oleh-Nya. Semoga nikmat-nikmat tersebut dapat mengajar kita erti syukur. Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

doa ketika menjelang bulan rejab


Bulan Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.

Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah ikhtibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.

Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi s.a.w diisrakkan oleh Allah s.w.t dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail. Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi s.a.w dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

Di sana, Nabi s.a.w berkesempatan berdialog dengan Allah s.w.t dan Allah menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi s.a.w iaitu perintah sembahyang fardhu 5 waktu untuk Nabi s.a.w dan umatnya.

Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunnat bersama Malaikat Jibrail dan ruh anbiya' di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi s.a.w terus dimikrajkan iaitu menjelajahi 7 lapisan langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa.

Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah auatu satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat 5 waktu. Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi s.a.w adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w.

Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawapan, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu.

Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkan ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui malaikat Jibrail.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan Penciptanya 5 kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.

Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segeran dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.

Wallahu 'Alam.

Ahad, 21 Jun 2009

Hati Seorang Ayah

1 ulasan
Assalamu'alaikum..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang dan segala puji bagi-Nya. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Sempena Hari Bapa, posting kali ini berkenaan kisah hati seorang ayah. Sama-sama kita hayati kisah ini supaya kita dapat mengingati dan mengenang jasa seorang ayah. Sama-sama kita renungkan...


Suatu ketika, ada seorang anak perempuan yang bertanya kepada ayahnya. Tatakala tanpa sengaja dia melihat ayahnya sedang mengusap wajahnya, yang mulai berkerut-merut dengan badannya yang terbongkok-bongkok, disertai suara batuk-batuknya.

Anak perempuan itu bertanya pada ayahnya, "Ayah, mengapa wajah ayah kian berkerut-merut dengan badan ayah yang kian hari kian membongkok?" Demikian pertanyaanya. Ketika ayahnya sedang berehat di beranda.

Si ayah menjawab, "Sebab aku lelaki."

Anak perempuan itu berkata sendirian. "Aku tidak mengerti apa maksud ayah."
Dengan kerut kening kerana jawapan ayahnya membuatnya termenung rasa kebingungan.

Ayah hanya tersenyum, lalu dibelai rambut anaknya itu, terus menepuk-nepuk bahunya, kemudian si ayah mengatakan. "Anakku, kamu memang belum mengerti tentang lelaki."
Demikian bisik si ayah, yang membuat anaknya itu bertambah kebingungan.

Kerana perasaan ingin tahu, kemudian si anak itu mendapatkan ibunya lalu bertanya kepada ibu. "Ibu, mengapa wajah ayah jadi berkerut-merut dan badannya kian hari kian membongkok? Dan sepertinya ayah menjadi demikian tanpa ada keluhan dan rasa sakit?."

Ibunya menjawab:
"Anakku, jika seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawap terhadap keluarga itu memang akan demikian."

Hanya itu jawapan si ibu. Si anak itupun kemudian membesar dan menjadi dewasa, tetapi dia tetap juga tercari-cari jawapan, mengapa wajah ayahnya yang tampan menjadi berkerut-merut dan badannya menjadi bongkok?

Hingga pada suatu malam, dia bermimpi. Di dalam mimpinya itu seolah-olah dia mendengar suara yang sangat lembut, namun jelas sekali. Dan kata-kata yang terdengar dengan jelas itu ternyata suatu rangkaian kalimah sebagai jawapan rasa kebingungan selama ini.

"Saat Ku-ciptakan lelaki, aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagaitiang penyangga dari bangunan keluarga, dia senantiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung."

"Ku ciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya."

"Ku berikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titsan keringatnya sendiri yang halal dan bersih agar keluarganya tidak terlantar, walau seringkali dia mendapat cercaan dari anak-anaknya."

"Ku berikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua orang menanti kedatangannya demi mengharapkan hasil dari jerih payahnya."

"Ku berikan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan, kerapkali menyerangnya."

"Ku berikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya, melukai hatinya. Padahal perasannya itu pula yang telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat di mana anak-anaknya tertidur lelap. Serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang bahkan dikotak-katikan oleh anak-anaknya."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka, walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi."

"Ku berikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya fikiran untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang membongkok agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawap terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya."

"Ku berikan kepada lelaki tanggungjawap penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga (seri/penyokong), agar dapat dipergunakan degan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawap ini adalah amanah di dunia dan akhirat."

Terkejut si anak dari tidurnya dan segera dia berlari, berlutut dan berdo'a hingga menjelang subuh. Setelah itu dia hampiri bilik ayahnya yang sedang berdo'a, ketika ayahnya berdiri si anak itu menggenggam dan mencium telapak tangan ayahnya. Sambil si anak menangis, si anak telah berkata kepada ayahnya, "Aku telah mendengar dan merasakan bebanmu wahai ayahku."


Moral : Ketika ayah anda masih hidup, jangan sia-siakan kesempatan untuk mebuat hatinya gembira. Bila ayah anda telah tiada, jangan putuskan tali silaturrahim yang telah dirintisnya dan doakanlah agar Allah s.w.t selalu menjaganya dengan sebaik-baiknya.Amin


.::Buat ayahku, Tahiruddin bin Hj Sulaiman. Selamat Hari Bapa ku ucapkan. Jasa & pengorbananmu tidak akan ku lupakan, kerana segala jasa & pengorbanan mu selama ini, amat bermakna buat kami yang bergelar anakmu, kerana jasa & pengorbanan mu jualah, kami menjadi seorang anak & insan yang berguna InsyAllah.Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segalanya. Doaku, semoga abah & mama senantiasa dirahmati, diberkati & dilindungi Allah s.w.t selalu.Amin::.

Wallahu 'Alam.

Sabtu, 20 Jun 2009

Khusyuk Dalam Solat

0 ulasan
Assalamu'alaikum....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah, masih diberi pinjaman nyawa kepada saya untuk meneruskan hidup di muka bumi hak milik Allah ini, seterusnya menyambung kembali penulisan saya. Posting kali ini berkenaan khusyuk dalam solat. Kadangkala kita tertanya-tanya, adakah solat kita diterima Allah s.w.t? Adakah kita khusyuk di dalam solat tanpa kita memikirkan hal-hal dunia? Sama-sama kita renungkan wahai sahabat & sahabiyyah yang saya hormati sekalian..

solat itu tiang agama


Imam Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain mengingati Allah s.w.t, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat beerti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang senantiasa sedar dan mengikut segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikut dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari surah al-Fatihah yang bermaksud:

"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."

Maka tergambar segala kalut sebuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Mahsyar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah s.w.t. Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud:

"Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempatku bermohon."

Beerti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembahan hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perkara keji beerti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah semata-mata.

syaitan tetap menganggu walau ketika solat


Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyangnya itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Tidak ada habuan bagi sesorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar yang ia ingat."

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah s.w.t. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang ksosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam khusyuk iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyak mana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.

Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain. jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, sentiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Begitu zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.

Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan 2 perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.

Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan munajat (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap tuhanya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran disamping khusyuk dan tawadhul. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah s.w.t.

khusyukkah solat kita?


Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur. Walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akhbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah s.w.t, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah s.w.t. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah s.w.t, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah s.w.t.

Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah s.w.t bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabika hati lalai ia akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Allah, meskipun Allah s.w.t menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang. Firman Allah s.w.t yang berbunyi:

"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah dapat menenangkan hati."
(surah ar-Ra'du : 28)


solat mencegah perkara keji & mungkar


Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah s.w.t berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Wallahu 'Alam.

Selasa, 16 Jun 2009

Mendampingi Anak Remaja : Langkah Atasi Gejala Sosial

1 ulasan
Assalamu'alaikum..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Posting kali ini berkenaan dengan cara mendampingi anak remaja adalah salah satu langkah untuk mengatasi masalah gejala sosial dikalangan remaja. Saban hari kita lihat di dada akhbar dan berita, berkenaan gejala sosial yang melanda dikalangan remaja muda zaman sekarang. Tidak kurang juga berita tentang perlakuan zina dikalangan remaja, salah laku pelajar, pembuangan bayi, mat rempit dan sebagainya. Yang mana semuanya berlaku diperingkat usia remaja. Amat menyedihkan dan mengecewakan kita, mereka yang terlibat dengan gejala ini majoriti adalah berbangsa melayu!!! Sungguh memalukan. Dimanakah letaknya harga diri dan maruah mereka? disebabkan mereka,bangsa kita dihina. Bagi masalah ini, ibubapa perlu mengambil peranan penting bagi mengatasi masalah tersebut.


gothic (remaja melayu)

Setiap insan yang bernama ibu dan bapa mencintai dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehan kerana seorang anak yang beriman dan mempunyai akhlak yang mulia akan dapat membantu ibubapa di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti, InsyAllah...


mat rempit & minah rempit (remaja melayu)

Sememangnya itulah idaman kita, tetapi apakah kita berusaha untuknya? Apakah kita lakukan untuk menjamin cita-cita kita itu? Apa yang berlaku sekarang ini ibubapa membiarkan anak-anak mereka menjalani kehidupan sendiri. Ibubapa hanya berpuas hati jika dapat membiayai anak mereka dalam pelajaran. Tetapi berapa ramai ibubapa yang mengasuh dan mendidik anak-anak supaya menjadi anak soleh yang tinggi budi pekertinya? Jawabnya tidak ramai dan saya yakin dan percaya, dan ini terbukti apabila gejala sosial yang melanda di kalangan remaja sekarang ini semakin berleluasa dan berada pada tahap yang membimbangkan. seolah-olah sudah menjadi satu fenomena yang melanda negara.


budaya couple (remaja melayu)

Untuk melahirkan anak yang baik mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi bukanlah terlalu sukar. Cuma ibubapa hendaklah menjalankan tanggungjawap yang sepatutnya dilakukan oleh para ibubapa terhadap anak-anak mereka. Perkara yang paling penting sekali ialah mendampingi anak-anak atau memberi perhatian kepada mereka.


mengeratkan hubungan diantara ibubapa dan anak-anak

Mendampingi anak-anak sangatlah mustahak kerana dengan cara ini sahaja kita akan dapat mengetahui perasaan dan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Jika kita mengabaikannya menyebabkan mereka memendam rasa yang boleh merosakkan atau membahayakan. Biasanya anak yang mempunyai masalah, yang tidak diambil peduli oleh ibubapa, akan mencurahkan isi hati mereka kepada kawan-kawan yang rapat dengannya. Mencurahkan isi hati kepada rakan tidaklah menjadi kesalahan tetapi sekiranya rakan-rakannya itu adalah dari kalangan mereka yang mempunyai peribadi yang buruk ditakuti akan merosakkan anak tersebut.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membolehkan ibubapa berdamping atau berkawan dengan anak-anak remaja mereka. Pertamanya, ibubapa hendaklah sentiasa memerhatikan perilaku dan gerak geri harian anak remajanya kerana dengan cara ini akan membolehkan ibubapa mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka. Apabila masalah dan perasaan anak dapat diselami, maka mudahlah si ibu atau bapa itu untuk mendampingi dan menjadi kawan kepada mereka.


tanggungjawap ibubapa mendidik anak-anak

Ibubapa hendaklah bijak dalam mendidik anak-anak remaja. Umpamanya, bijak dan berhati-hati mencungkil rahsia anak remaja, sekiranya berlaku sebaliknya maka hubungan mereka dengan anak remajanya boleh renggang daripada kedua ibubapa. Ini adalah kerana anak-anak pada peringkat ini dalam proses membentuk keperibadiannya sendiri dan mereka tidak suka hatta ibubapa mereka sendiri mengetahui rahsia peribadi mereka. Walau bagaimanapun apabila ibubapa dan anak-anak telah menjadi begitu mesra, maka dengan sendiri rahsia anak-anak akan dapat diketahui dengan mudah kerana antara ibubapa dan anak sudah tiadak ada lagi benteng pemisah. Oleh itu, ibubapa hendaklah bijak mendampingi anak-anak supaya mereka dapat menceritakan apa sahaja yang terpendam dalam hati mereka sebagaimana mereka mencurahkan segala isi hati mereka kepada rakan yang rapat dengan mereka.

Apabila anak meluahkan masalah yang dihadapi, maka janganlah pula ibubapa memandang remeh atau tidak mengendahkannya, tetapi hendaklah mengambil perhatian dan sekiranya apa yang disuarakannya itu dirasakan betul, hendaklah menyetujuinya dan juka sebaliknya maka ibubapa hendaklah memberi nasihat dengan cara yang terbaik, bukannya dengan menengking atau menolak hujahan mereka mentah-mentah, perlukan perbincangan dengan mereka pada masalah ini.

Selain daripada itu, untuk mendampingi anak-anak, ibubapa boleh mengajak anak-anak remaja mereka dalam merundingkan sesuatu hal atau masalah dalam keluarga. Misalnya dengan cara meminta pandangan atau pendapat mereka dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam keluarga. Secara tidak langsung, tentunya akan menambahkan keintiman hubungan antara anak dengan kedua ibubapa.

Ibubapa juga hendaklah sentiasa meluangkan masa untuk anak-anak. Misalnya pada waktu kelapangan mengajak anak-anak berkumpul untuk beramah mesra dan dalam masa yang sama bertukar-tukar fikiran. Pada masa beginilah ibubapa akan mendekati atau mengenal hati budi mereka dan secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan antara keduanya.

Sesungguhnya anak remaja adalah golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi kerana tahap ini, mereka dalam zaman peralihan untuk menuju ke alam dewasa. Ibubapa harus memahami keadaan ini dan hendaklah dapat menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi yang ada dalam diri anak mereka. Sebenarnya banyak cara yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk mendampingi anak-anak bergantunglah pada suasana dalam keluarga itu sendiri, supaya hubungan mesra yang terjalin antara anak-anak tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak baik, seterusnya dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.

Wallahu 'Alam.

Sabtu, 13 Jun 2009

10 Kumpulan Manusia Di Padang Mahsyar

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Bahang imtihan yang pernah mendidih dan menghaba sebelum ini sudah semakin sejuk dan reda. Bahkan, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang pulang ke tanah air untuk menjenguk keluarga atau bekerja untuk menampung pengajian mendatang. Dan ada juga yang meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Yang pasti tentukan apakah tugas sebenar kita sebagai hamba dan pemburu ilmu yang terbentang luas di hadapan kita.

Selain mengejar cita-cita di dunia, adakah kita sedar dan ingat untuk kita mengejar cita-cita di akhirat. Di dunia kita berasa gerun dan takut serta rasa kecewa apabila keputusan imtihan kita di dunia memperoleh kegagalan. Apakah kita tidak berasa gerun, takut dan kecewa apabila keputusan imtihan akhirat kita memperoleh kegagalan? Renungkan...

Manusia selepas dibangkitkan dari kubur masing-masing akan menuju ke padang mahsyar. Keadaan mereka itu berbeza. Ada yang berjalan kaki berkenderaan dan ada juga yang berjalan menggunakan mukanya. Pendek kata semua mengikut amal perbuatan ketika hidup dulu. Seperkara lagi yang harus ditempuh oleh manusia di padang mahsyar ialah tidak mendapat perlindungan. Matahari terlalu hampir dengan ubun kepala. Maka tidak hairan ada yang berpeluh kerana terlalu kepanasan sehingga terasa hingga ke kaki, lutut, dada, leher mahupun sekadar bahagian muka saja.

ketika dalam penantian persidangan itu, kelihatan wajah mereka tunduk cemas, muram dan hitam kelam. Keadaan itu samalah seperti kita melihat pesalah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Takut serta bimbang sentiasa bermain-main di fikiran.

Bagaimana ketika di padang mahsyar tidak siapa yang dapat melepaskan diri. Bukan itu saja malah untuk mencari pohon tempat berteduh juga tidak kelihatan. Sesiapa saja akan tetap diadili dan bergantung betapa taatnya dia dengan perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan ingatlah hari ketika Kami kumpulkan daripada setiap umat segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami iaitu mereka dibahagi-bahagi dalam kelompok-kelompok." (surah an-Naml : 83)

Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani dalam kitabnya Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi menceritakan pada suatu hari sahabat Mu'adz bin Jabal bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai maksud firman Allah dalam surah an-Naba' : 18 yang bermaksud:

"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."

mendengar saja soalan itu, lantas baginda menangis dengan bercucuran air mata seraya bersabda:

"Wahai Mu'adz, sesungguhnya engkau telah bertanyakan sesuatu perkara yang amat besar! ada 10 macam umatku nanti yang akan dihalau ke padang mahsyar. Mereka itu semuanya telah Allah tukarkan tidak seperti mereka hidup di dunia."

Golongan itu seperti berikut:

  • Ditukar rupa menjadi wajah kera. Mereka itu adalah manusia yang suka mengumpat.

  • Ditukar rupa menjadi wajah babi. Mereka adalah kalangan mereka yang suka memakan harta ana-anak yatim.

  • Dihalau dalam keadaan terbalik, kakinya di atas dan kepala di bawah. Mereka itu adalah manusia yang suka memakan riba.

  • Dihalau dalam keadaan buta dan diiring. Mereka adalah daripada kalangan manusia yang curang dalam menerapkan hukum.

  • Ditukar menjadi bisu dan tuli serta tidak berakal. Mereka itu adalah kalangan yang bangga dengan amalannya sendiri.

  • Dihalu dalam keadaan mengunyah lidah sendiri, sedangkan lidah itu terjulur hingga paras dada dan mulutnya pula keluar nanah yang menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan perbuatannya.

  • Ada manusia yang dihalau dalam keadaan terpotong kedua kaki dan tangan. Mereka itu adalah daripada yang suka mengganggu tetangga.

  • Diiring ke mahsyar dalam keadaan tersalib di pokok kurma neraka. Mereka itu adalah kalangan yang suka berusaha mengajak orang ramai supaya membela pemerintah yang tidak jujur kepimpinannya.

  • Dikumpulkan dalam keadaan menggunakan pakaian yang panas. Mereka itu adalah manusia yang takbur, sombong dan bongkak.

Allah berfirman dalam surah Taha aat 124-126 yang bermaksud:

"Dan barang siapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia : Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: "Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan."

Daripada perbezaan kumpulan itu, jelas bahawa walaupun ketika berada di dunia dalam keadaan normal, tiada cacat cela, tetap akan ditukar oleh Allah mengikut amalan yang dilakukan di dunia. Sebelum sampai hari pengadilan di padang mahsyar yang maha luas itu. Begitu juga dengan pengiringan dan penghalauan manusia ke padang mahsyar, jangan sekali-kali menganggap ringan kerana memikirkan perkara itu belum pernah berlaku. Bagaimanapun Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Dan ingatlah akan hari yang ketika itu Kami perjalankan gunung-ganang dan kamu akan melihat bumi itu datar dan akan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka."

Wallahu 'Alam.



Khamis, 11 Jun 2009

ADDEN Itu Nasihat

0 ulasan
السلام عليكم

بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد لله رب العالمين , والصلاة والسلام علي سيدنا محمد رسول الله واله وصحبه أجمعين

Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis riwayat muslim, dari Abu Ruqaiyah bin Aus ad-Dari :

" Ad-Deen (agama) itu adalah nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa? Rasulullah menjawab : untuk Allah, kitabNya, kepada semua pemimpin orang Islam dan kepada semua orang Islam."

Dari hadis di atas, jelaslah Rasulullah menghubungkan Deen atau Agama dengan nasihat atau peringatan. Amalan nasihat menasihati menjadi asas kepada Agama kita.

sekadar gambar hiasan

Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk memberi nasihat dan mendengar nasihat dan peringatan. Ini yang membezakan antara seorang Muslim dari bukan Muslim.

Banyak ayat-ayat al-Quran menuruh kita supaya melaksanakan amalan ini. Maksud firman Allah dalam surah az-Zariyat : 55 :

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."

Tetapi ada segolongan manusia yang tidak suka diberi peringatan atau menganggap peringatan itu sebagai "offensive" atau mengganggu "private life" mereka.

Mereka menganggap orang yang memberi peringatan itu adalah pengacau. Jika mereka melakukan sesuatu mungkar, mereka akan menjauhi orang lain kerana takut diberi peringatan tentang kesalahan yang dilakukan.

Golongan ini dinyatakan oleh Allah:

"Dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya, iaitu orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)."

Mereka adalah orang-orang yang telah menutup pintu hati mereka dengan berbagai prejudis dan tidak berani untuk menghadapi kebenaran. Untuk golongan ini, Allah memberi amaran :

"Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang bantuan). " (surah An 'aam : 44)

Oleh itu marilah kita (termasuk saya sekali) berdo'a kepada Allah s.w.t supaya dibukakan hati kita untuk menerima segala nasihat dan peringatan yang baik supaya kehidupan kita sentiasa mendapat bimbingan dariNya, sehinggalah sampai masa kita menemuiNya..

Wallhu 'Alam.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template