Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.
Posting kali ini berkenaan dengan cara mendampingi anak remaja adalah salah satu langkah untuk mengatasi masalah gejala sosial dikalangan remaja. Saban hari kita lihat di dada akhbar dan berita, berkenaan gejala sosial yang melanda dikalangan remaja muda zaman sekarang. Tidak kurang juga berita tentang perlakuan zina dikalangan remaja, salah laku pelajar, pembuangan bayi, mat rempit dan sebagainya. Yang mana semuanya berlaku diperingkat usia remaja. Amat menyedihkan dan mengecewakan kita, mereka yang terlibat dengan gejala ini majoriti adalah berbangsa melayu!!! Sungguh memalukan. Dimanakah letaknya harga diri dan maruah mereka? disebabkan mereka,bangsa kita dihina. Bagi masalah ini, ibubapa perlu mengambil peranan penting bagi mengatasi masalah tersebut.
gothic (remaja melayu)
Setiap insan yang bernama ibu dan bapa mencintai dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehan kerana seorang anak yang beriman dan mempunyai akhlak yang mulia akan dapat membantu ibubapa di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti, InsyAllah...
mat rempit & minah rempit (remaja melayu)
Sememangnya itulah idaman kita, tetapi apakah kita berusaha untuknya? Apakah kita lakukan untuk menjamin cita-cita kita itu? Apa yang berlaku sekarang ini ibubapa membiarkan anak-anak mereka menjalani kehidupan sendiri. Ibubapa hanya berpuas hati jika dapat membiayai anak mereka dalam pelajaran. Tetapi berapa ramai ibubapa yang mengasuh dan mendidik anak-anak supaya menjadi anak soleh yang tinggi budi pekertinya? Jawabnya tidak ramai dan saya yakin dan percaya, dan ini terbukti apabila gejala sosial yang melanda di kalangan remaja sekarang ini semakin berleluasa dan berada pada tahap yang membimbangkan. seolah-olah sudah menjadi satu fenomena yang melanda negara.
budaya couple (remaja melayu)
Untuk melahirkan anak yang baik mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi bukanlah terlalu sukar. Cuma ibubapa hendaklah menjalankan tanggungjawap yang sepatutnya dilakukan oleh para ibubapa terhadap anak-anak mereka. Perkara yang paling penting sekali ialah mendampingi anak-anak atau memberi perhatian kepada mereka.
mengeratkan hubungan diantara ibubapa dan anak-anak
Mendampingi anak-anak sangatlah mustahak kerana dengan cara ini sahaja kita akan dapat mengetahui perasaan dan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Jika kita mengabaikannya menyebabkan mereka memendam rasa yang boleh merosakkan atau membahayakan. Biasanya anak yang mempunyai masalah, yang tidak diambil peduli oleh ibubapa, akan mencurahkan isi hati mereka kepada kawan-kawan yang rapat dengannya. Mencurahkan isi hati kepada rakan tidaklah menjadi kesalahan tetapi sekiranya rakan-rakannya itu adalah dari kalangan mereka yang mempunyai peribadi yang buruk ditakuti akan merosakkan anak tersebut.
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membolehkan ibubapa berdamping atau berkawan dengan anak-anak remaja mereka. Pertamanya, ibubapa hendaklah sentiasa memerhatikan perilaku dan gerak geri harian anak remajanya kerana dengan cara ini akan membolehkan ibubapa mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka. Apabila masalah dan perasaan anak dapat diselami, maka mudahlah si ibu atau bapa itu untuk mendampingi dan menjadi kawan kepada mereka.
tanggungjawap ibubapa mendidik anak-anak
Ibubapa hendaklah bijak dalam mendidik anak-anak remaja. Umpamanya, bijak dan berhati-hati mencungkil rahsia anak remaja, sekiranya berlaku sebaliknya maka hubungan mereka dengan anak remajanya boleh renggang daripada kedua ibubapa. Ini adalah kerana anak-anak pada peringkat ini dalam proses membentuk keperibadiannya sendiri dan mereka tidak suka hatta ibubapa mereka sendiri mengetahui rahsia peribadi mereka. Walau bagaimanapun apabila ibubapa dan anak-anak telah menjadi begitu mesra, maka dengan sendiri rahsia anak-anak akan dapat diketahui dengan mudah kerana antara ibubapa dan anak sudah tiadak ada lagi benteng pemisah. Oleh itu, ibubapa hendaklah bijak mendampingi anak-anak supaya mereka dapat menceritakan apa sahaja yang terpendam dalam hati mereka sebagaimana mereka mencurahkan segala isi hati mereka kepada rakan yang rapat dengan mereka.
Apabila anak meluahkan masalah yang dihadapi, maka janganlah pula ibubapa memandang remeh atau tidak mengendahkannya, tetapi hendaklah mengambil perhatian dan sekiranya apa yang disuarakannya itu dirasakan betul, hendaklah menyetujuinya dan juka sebaliknya maka ibubapa hendaklah memberi nasihat dengan cara yang terbaik, bukannya dengan menengking atau menolak hujahan mereka mentah-mentah, perlukan perbincangan dengan mereka pada masalah ini.
Selain daripada itu, untuk mendampingi anak-anak, ibubapa boleh mengajak anak-anak remaja mereka dalam merundingkan sesuatu hal atau masalah dalam keluarga. Misalnya dengan cara meminta pandangan atau pendapat mereka dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam keluarga. Secara tidak langsung, tentunya akan menambahkan keintiman hubungan antara anak dengan kedua ibubapa.
Ibubapa juga hendaklah sentiasa meluangkan masa untuk anak-anak. Misalnya pada waktu kelapangan mengajak anak-anak berkumpul untuk beramah mesra dan dalam masa yang sama bertukar-tukar fikiran. Pada masa beginilah ibubapa akan mendekati atau mengenal hati budi mereka dan secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan antara keduanya.
Sesungguhnya anak remaja adalah golongan yang mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi kerana tahap ini, mereka dalam zaman peralihan untuk menuju ke alam dewasa. Ibubapa harus memahami keadaan ini dan hendaklah dapat menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi yang ada dalam diri anak mereka. Sebenarnya banyak cara yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk mendampingi anak-anak bergantunglah pada suasana dalam keluarga itu sendiri, supaya hubungan mesra yang terjalin antara anak-anak tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak baik, seterusnya dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.
Wallahu 'Alam.
1 ulasan:
baarakallahu fiik...penulisan yang menarik..teruskan usaha saudara...:D
Catat Ulasan