Sabtu, 20 Jun 2009

Khusyuk Dalam Solat


Assalamu'alaikum....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah, masih diberi pinjaman nyawa kepada saya untuk meneruskan hidup di muka bumi hak milik Allah ini, seterusnya menyambung kembali penulisan saya. Posting kali ini berkenaan khusyuk dalam solat. Kadangkala kita tertanya-tanya, adakah solat kita diterima Allah s.w.t? Adakah kita khusyuk di dalam solat tanpa kita memikirkan hal-hal dunia? Sama-sama kita renungkan wahai sahabat & sahabiyyah yang saya hormati sekalian..

solat itu tiang agama


Imam Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain mengingati Allah s.w.t, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat beerti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang senantiasa sedar dan mengikut segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikut dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari surah al-Fatihah yang bermaksud:

"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."

Maka tergambar segala kalut sebuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Mahsyar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah s.w.t. Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud:

"Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempatku bermohon."

Beerti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembahan hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perkara keji beerti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah semata-mata.

syaitan tetap menganggu walau ketika solat


Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyangnya itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Tidak ada habuan bagi sesorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar yang ia ingat."

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah s.w.t. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang ksosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam khusyuk iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyak mana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.

Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain. jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, sentiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Begitu zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.

Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan 2 perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.

Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan munajat (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap tuhanya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran disamping khusyuk dan tawadhul. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah s.w.t.

khusyukkah solat kita?


Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur. Walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akhbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah s.w.t, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah s.w.t. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah s.w.t, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah s.w.t.

Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah s.w.t bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabika hati lalai ia akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Allah, meskipun Allah s.w.t menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang. Firman Allah s.w.t yang berbunyi:

"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah dapat menenangkan hati."
(surah ar-Ra'du : 28)


solat mencegah perkara keji & mungkar


Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah s.w.t berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Wallahu 'Alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template