Memaparkan catatan dengan label hadis 40. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadis 40. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Jun 2010

Hadis 5 : Menghapuskan Kemungkaran Dan Bidaah

0 ulasan
Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ianya ditolak."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Di dalam riwayat Muslim :

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab 'Perdamaian' pada bab 'Apabila mereka berdamai di atas kezaliman, maka perdamaian itu ditolak'. Nombor hadis: 2550. Imam Muslim pula meriwayatkannya di dalam kitab 'Hukuman' pada bab 'Pembatalan hukuman yang batil dan perkara baru yang diada-adakan'. Nombor hadis: 1718.

Kepentingan Hadis:

Hadis ini merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis 'semua amalan adalah dengan niat' merupakan neraca kepada setiap amalan manusia pada batin, di mana setiap amalan yang tidak bermatlamatkan keredhaan Allah SWT, maka pembuatnya tidak akan diberi pahala. Begitu juga dengan hadis ini, ia merupakan neraca kepada amalan-amalan zahir, di mana semua pekerjaan yang bukan dari suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka ianya ditolak. Setiap orang yang mengada-adakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan agama, maka ia bukanlah daripada agama ini.

Imam Nawawi rahimahullah pernah berkata: "Hadis ini sewajarnya dihafal dan dijadikan hujah bagi menghapuskan kemungkaran."

Imam Nawawi al-Haitami pula berkata: "Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas dipandang dari sudut 'mantuuq' (iaitu kefahaman yang dapat difahami secara langsung daripada lafaznya) kerana ia adalah muqaddimah umumu bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak."

Kandungan Hadis:

1. Islam ialah mengikut bukannya rekaan.

Rasulullah SAW telah memelihara Islam daripada keterlanjuran para pelampau dan penyelewengan ahli batil melalui hadis ini yang dikatogerikan sebagai satu ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat. Hadis ini bersumberkan banyak ayat al-Quran yang telah menjadi nas bahawa kemenangan dan kejayaan itu adalah dengan mengikut pertunjuk Rasulullah SAW tanpa menambah dan mengubahnya. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu." (Surah Aali-'Imran: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain (dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah." (Surah Al-An'aam: 153)

Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbah Baginda:

"Sebaik-baik bicara ialah kitab Allah dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad SAW, seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat."

Terdapat penambahan di dalam riwayat al-Baihaqi:

"Dan setiap kesesatan itu di dalam neraka (tempatnya)."

2. Amalan yang ditolak.

Hadis ini merupakan nas yang jelas yang menolak amalan yang tidak berdasarkan kepada syarak. Lafaznya jelas menunjukukkan bahawa setiap amalan hendaklah berdasarkan kepada hukum-hukum syariat dan berhukum dengannya. Contohnya ialah perbuatan mukallaf, ia mestilah mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Adalah suatu kesesatan yang nyata sekiranya amalan itu terkeluar daripada ruang lingkup hukum-hukum syariat dan tidak terikat dengannya. Begitu juga apabila amalan menjadi hakim kepada syariat dan bukan lagi menjadi perkara yang dihukum oleh syariat. Ketika itu, menjadi kewajipan setiap muslim untuk menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan amalan yang batil dan ditolak.

Amalan terbahagi kepada 2: Ibadat dan mu'amalat.

(a) Ibadat: Sesuatu ibadat yang terkeluar dari ruang lingkup hukum Allah SWT dan Rasul-Nya secara keseluruhan, maka ia adalah ditolak dan termasuk di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" (Surah As-Syura: 21)

Contohnya ialah seorang yang bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah SWT) dengan mendengar nyanyian, menari, melihat wajah perempuan, mendedahkan kepala ketika bukan berihram ataupun yang seumpamanya yang merupakan ibadat buatan manusia dan kegilaan zaman kini. Mreka inilah di antara orang-orang yang Allah SWT butakan mata hati mereka daripada mengikut jalan yang benar, lalu mereka mengikut jalan-jalan syaitan. Mereka mendakwa, mereka bertaqarrub kepada Allah dengan buah fikiran dan kesesatan yang mereka ada-adakan. Sedangkan keadaan mereka berdasarkan kepada kesesatan yang dilakukan itu adalah sama seperti Arab musyrikin yang telah mencipta ibadat dan qurbah (amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak diizinkan oleh Allah. Allah SWT menjelaskan keadaan mereka:

"Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan." (Surah Al-Anfaal: 35)

Sebahagian mereka menyangka bahawa sesuatu yang menjadi qurbah dalam sesuatu ibadat, maka ia akan menjadi qurbah pada perkara lain. Misalnya, seorang lelaki telah bernazar pada zaman Rasulullah, bahawa dia akan berdiri di tengah panas matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh sambil berpuasa. Maka Rasulullah menyuruh lelaki itu dengan sabda Baginda:

"Hendaklah dia duduk, mencari tempat berteduh dan meneruskan puasanya."

Di dalam kitab-kitab fiqah terdapat penjelasan terhadap hukum-hukum ibadat di dalam Islam. Begitu juga terhadap perkara yang ditolak dan membatalkan sesuatu ibadah apabila berlaku penambahan atau pengurangan dari perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.

(b) Mu'amalat: Contohnya ialah segala jenis aqad dan fasakh (pembatalan aqad). Sekiranya berlawanan dengan syarak secara keseluruhan, maka ia adalah batil dan ditolak. Dalilnya ialah peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Seorang lelaki datang menemui Baginda meminta agar ditukarkan hukum hudud kesalahan zina yang telah ditentukan kepada tebusan dengan harta dan perhiasan. Ketika itu juga Nabi SAW menolak dan membatalkan permintaan lelaki tersebut.

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki yang berkata:

"Anak lelakiku telah menganiayai si anu di mana dia telah berzina dengan isterinya. Maka bolehkah aku menembusinya dengan seratus ekor kambing biri-biri dan seorang hamba? Maka Nabi SAW menjawab: "Seratus ekor biri-biri dan seorang hamba, kembali kepada kamu dan anak kamu wajib dirotan dengan seratus kali sebatan dan dibuang negeri setahun."

Begitu juga hukumnya semua aqad yang ditegah oleh syarak atau dua orang yang beraqad dan meninggalkan salah satu daripada rukun atau salah satu syaratnya, maka ia adalah aqad yang batil dan ditolak. Penjelasan yang mendalam tentang perkara ini terdapat di dalam kitab-kitab fiqah.

3. Amalan yang diterima.

Di sana terdapat amalan baru (tidak terdapat di zaman Rasulullah) yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Bahkan terdapat dalil dan kaedah syarak yang menyokongnya. Amalan ini tidak ditolak malah diterima dan dipuji. Para sahabat banyak melakukannya dan mereka mengharuskannya. Mereka juga telah bersepakat menerimanya. Contoh yang jelas ialah masalah menghimpunkan al-Quran di dalam satu mashaf di zaman Abu Bakar r.a. Menyalin beberapa naskhah daripadanya dan menghantarnya keluar negeri berserta qari di zaman Uthman al-'Affan r.a. Begitu juga dengan penulisan ilmu-ilmu nahu, faraidh, matematik, tafsir, perbahasan tentang sanad-sanad dan matan hadis dan lain-lain lagi yang terdiri daripada ilmu dalam bentuk teori yang digunakan sebagai sumber asasi kepada penggubalan undang-undang, ataupun ilmu dalam bentuk kajian dan pengalaman yang bermanfaat untuk kegunaan manusia di dalam kehidupan mereka seharian dan boleh membawa kepada penyediaan kekuatan dan memakmurkan dunia, melaksanakan syariat Allah dan berhukum dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.

4. Bidaah yang dikeji dan yang terpuji.

selepas perbincangan amalan yang ditolak dan amalan yang diterima, sekarang kita sampai kepada natijah yang jelas dan pemutusan, iaitu: Sesetengah amalan yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah ialah biadaah yang buruk lagi sesat dan sesetengah amalan yang diadakan yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan ia menepati syarak adalah amalan yang diterima. Amalan yang diterima ini pula, ada di antaranya yang sunat dan ada yang fardhu kifayah. Dari sini Imam Syafi'i berkata: "Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji."

Bidaah yang buruk kadang-kala boleh menjadi makruh dan kadang-kala boleh menjadi haram kerana mudarat, fasad (keroskan) dan menyimpang daripada tujuan (maqasid) Islam dan keperluannya. Kadang-kala ia membawa seseorang kepada kufur, menyeleweng dan sesar seperti menganggotai dan memberi wala' kepada pertubuhan dan jamaah yang mengingkari wahyu atau mengingkari syariat Allah, menyeru kepada berhukum dengan undang-undang buatan manusia serta menganggap berhukum dengan syariat Allah sebagi mundur dan lemah. Juga seperti menganggotai dan memberi wala' kepada jamaah yang mendakwa (bahawa mereka adalah jamaah) tasauf yang mengharuskan bermudah-mudah terhadap perintah-perintah syarak dan tidak menghiraukan apa yang dihalal dan diharamkan oleh Allah, ataupun jamaah yang mengangkat slogan 'wahdatul wujud wal-hulul' dan sebagainya daripada keadaan dan kata-kata yang sesat lagi kufur. Antara bidaah buruk yang berlaku di kalangan manusia umum ialah mengagungkan benda-benda yang tertentu dan mengambil berkat serta beriktiqad bahawa ia boleh memberi manfaat seperti mengagungkan perigi, pokok dan kubur.

Satu riwayat yang sahih telah menceritakan bahawa para sahabat telah melintasi sebatang pokok bidara sebelum sampai ke Hunain di mana orang-orang musyrikin telah mengagungkannya dan menyandarkan senjata mereka pada pokok tersebut. Maka berkatalah para sahabat: "Jadikanlah bagi kami tempat sandaran senjata sebagaimana mereka miliki." Lalu Rasulullah SAW bersabda:

"Allahu Akbar. Ini adalah sebagaimana yang telah dikatakan oleh kaum Musa: "Jadikanlah bagi kami Tuhan sebagaimana mereka mempunyai Tuhan-Tuhan." Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang jahil. Kmau akan mengikut jalan kaum yang sebelum dari kamu."

5. Menentang golongan yang mempertahankan bidaah.

Faedah daripada hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan lafaz (Barangsiapa yang melakukan suatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak) ialah apabila sebahagian golongan yang keras kepala dan mempertahankan bidaah yang dilakukannya menolak hujah kita melalui hadis riwayat pertama dengan berkata: Aku tidak mendatangkan sesuatu yang baru dalam urusan agama. Maka kita kemukan kepada mereka riwayat Imam Muslim ini yang menggunakan lafaz (barangsiapa yang melakukan suatu amalan.....) Dengan itu kamu hendaklah memahaminya.

6. Orang yang mengerjakan bidaah.

Di dalam hadis ini ada disebut sesiapa yang mengerjakan bidaah dalam urusan agama yang tidak bersesuaian dengan syarak, maka dia mendapat dosa, amalannya ditolak dan dia berhak memperolehi janji yang menakutkan.

7. Perkara yang tidak sah.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa sesuatu larangan (an-nahyu) terhadap sesuatu perkara menunjukkan bahawa mereka itu tidak sah.

8. Kedudukan agama Islam.

Agama Islam adalah sempurna, tiada sebarang kekurangan padannya.



Rujukan:
Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto

Selasa, 9 Jun 2009

Hadis 4 : Peringkat Kejadian Manusia & Kesudahannya

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi muhammad s.a.w. Kali ni posting berkenaan proses & peringkat kejadian manusia menurut hadis.

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami - dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan -: "Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (40 hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut (40 hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis 4 perkara : (1) rezekinya, (2) ajalnya, (3) amalannya, dan (4) celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasuki (neraka). Di kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga).

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam "Permulaan makhluk" bab "Sebutan tentang malaikat". Hadis nombor 3036. Imam Muslim menyebutnya di awal kitab "Ketentuan" pada bab "Bagaimana kejadian manusia". Hadis nombor 2643.

Kandungan Hadis :

1. Perkembangan janin di dalam rahim.


Hadis ini menunjukkan bahawa janin mengalami perubahan di dalam jangka masa 120 hari pada 3 peringkat. Pada setiap 40 hari, ia berada di satu peringkat tertentu. Pada tempoh 40 hari yang pertama, ia menjadi mani (nutfah), kemudian pada tempoh 40 hari yang kedua, ia menjadi segumpal darah dan dalam waktu 40 hari yang ketiga, ia menjadi ketulan daging. Seterusnya selepas 120 hari, malaikat meniupkan ruh dan menulis baginya 4 perkara. Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran mengenai perubahan janin pada peringkat-peringkat ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Wahai umat manusia. sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatikanlah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku." (Al-Hajj : 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :

"Dan sesungguhnyaKami menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, alu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat kejadiannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Al-Mukminun : 12-14)

Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi 7 peringkat. Ibnu Abbas r.a pernah berkata : "Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini."


Hikmat Allah s.w.t mencipta manusia mengikut tertib dan menepati perkembangan ini serta beransur-ansur dari satu kejadian ke satu kejadian yang lain (sedangkan Dia mampu dan berkuasa untuk mengadakannya dengan sempurna di dalam jangka masa yang paling cepat) ialah menyusun kejadian manusia serta kejadian alam semesta supaya menepati rukun sebab dan musabab serta muqaddimah dan natijah. Ini adalah lebih tepat dan jelas di dalam memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. Begitu juga kita dapat mengambil pengajaran daripada proses yang berlaku secara beransur-ansur ini, iaitu Allah mengajar hamba-Nya agar tenang dan berwaspada di dalam urusan-urusan mereka dan menjauhkan sikap tergesa-gesa.

Di sana juga terdapat pengajaran kepada manusia bahawa kesempurnaan maknawi hanya akan diperolehi secara beransur-ansur sebagaimana kesempurnaan zahir terjadi beransur-ansur dalam peringkat kejadian manusia dan bagaimana perpindahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain berlaku sehingga manusia mencapai tahap kesempurnaan akal (baligh). Begitulah juga manusia, sewajarnya bertindak mengikut proses yang sebegini rupa dalm penyusunan cara hidupnya, jika tidak, dia akan meraba-raba dalam kegelapan.

2. Tiupan ruh

Ulama' bersepakat bahawa berlakunya tiupan ruh kepada janin adalah setelah berlakunya 120 hari selepas persetubuhan di antara suami isteri ; iaitu selepas sempurna 4 bulan dan masuk bulan kelima. Ini (kewujudan janin) dapat diketahui dengan penyaksian (penglihatan). Oleh itu segala hukum-hakam disandarkan kepadanya seperti hukum istilhaaq (iaitu seorang mengaku bahawa seorang yang lain adalah anaknya atau tidak atau sebaliknya) dan kewajipan memberi nafkah. Hukum-hakam ini sabit kerana janin itu diyakini kewujudannya hasil dari pergerakan yang dirasa di dalam rahim. Oleh kerana itu juga, hikmah 'iddah perempuan yang kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari ialah memastikan benar-benar bahawa rahimnya tidak mengandungi janin suaminya yang meninggal setelah berlalunya tempoh tersebut tanpa menunjukkan tanda hamil.

Ruh: ialah nyawa yang menghidupkan manusia. Ia adalah daripada urusan Allah sahaja sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran melalui friman-Nya yang bermaksud :

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang ruh. Katakanlah : "Ruh itu perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak dibenarkan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. " (Al-Israa' : 85)

Imam Nawaawi berkata di dalam kitabnya Syarah Muslim : "Ruh ialah satu jisim seni yang mengalir dan menyerap di dalam tubuh, sebagaimana air menyerap di dalam dahan yang hijau." Imam al-Ghazali pula berkata di dalam kitabnya Ihyaa' Ulumuddin : "Ruh ialah semata-mata jauhar (suatu benda) yang bergerak di dalam tubuh."

3. Haram menggugurkan janin.



Para ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa menggugurkan janin selepas ditiupkan ruh adalah haram. Mereka mengkatogerikan perbuatan tersebut sebagai jenayah yang tidak halal bagi seorang muslim melakukannya kerana sesungguhnya ia adalah jenayah terhadap benda hidup yang telah sempurna kejadiannya dan ternyata kehidupannya. Wajib membayar 'diya' dengan sebab pengguguran tersebut iaitu sekiranya janin itu gugur dalam keadaan hidup dan kemudiannya mati (dengan sebab tersebut). Sekiranya ia gugur dalam keadaan sudah mati, dikenakan denda harta-benda yang lebih ringan daripada kes pertama.

Adapaun menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh padanya, maka hukumnya juga haram. Ini adalah pendapat kebanyakan fuqaha' dan dalilnya ialah hadis-hadis sahih yang menceritakan bahawa penciptaan bermula dari mani selepas ianya stabil berada di dalam rahim ibu.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Huzaifah bin Usaid bahawa baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Apabila berlalu (genap) 42 malam (dalam riwayat yang lain, lebih dari 40 hari), Allah s.w.t mengutuskan malaikat, maka iapun membentuknya dan menciptakan pendengaran, penglihatan, kulit, daging dan tulangnya."


Di dalam kitab 'Jami' al-Ulum wa al-hikam' karangan Ibnu Rajab al-Hambali, muka surat 42, dinyatakan bahawa : "Ada di kalangan fuqaha' yang telah mengharuskan wanita untuk menggugurkan janin yang dikandungnya selagimana tidak ditiupkan ruh. Mereka melihat masalah pengguguran ini sama seperti masalah al-'azl (iaitu menegah air mani lelaki daripada sampai ke rahim perempuan). Ini adalah pendapat yang lemah kerana janin adalah anak yang telah bermula kejadiannya dan mungkin sudah terbentuk kejadiannya sedangkan dalam masalah al-'azl tidak ada kaitan sedikitpun dengan janin. Bahkan al-'azl hanya penyebab tertegahnya kejadian anak, kadangkala perbuatan ini juga tidak dapat menegah kehendak Allah untuk mencipta anak.

Di dalam kitab Ihyaa' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali jilid ke-2 muka surat 51 : "Al-'azl tidak sama seperti pengguguran dan menanam anak hidup-hidup, kerana perbuatan itu adalah jenayah terhadap kejadian yang telah sedia ada. Kejadian manusia ade beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah jatuhnya air mani lelaki ke dalam rahim dan bercampur dengan air mani perempuan lalu ia bersedia untuk menerima kehidupan. Merosakkan keadaan ini adalah jenayah. Sekiranya mani telah bertukar menjadi segumpal darah, maka merosakkannya adalah jenayah yang lebih keji. Sekiranya telah ditiup ruh dan telah ditetapkan kejadiannya, maka jenayah ini bertambah keji lagi. Kemuncak kekejian di dalam jenayah ini ialah apabila anak terpisah (dari rahim) dan lahir dalam keadaan hidup."

4. Penentuan amalan pada kesudahannya.

Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Sahal bin Sa'ad daripada Nabi s.a.w sabdanya :

"Sesungguhnya semua amalan itu dengan penutupnya."

Maknanya ialah sesiapa yang ditulis (ditentukan) baginya iman dan taat pada akhir umurnya, kemungkinan dia kufur dan mengingkari Allah s.w.t dalam tempoh tertentu, kemudian Allah s.w.t memberikan kepadanya taufik (petunjuk) kepada iman dan taat sebelum umurnya berakhir dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang dituliskan (ditetapkan) ke atasnya kufur dan fasiq di akhir umurnya, kemungkinan dia beriman dan mentaati Allah s.w.t dalm tempoh masa tertentu, kemudian Allah s.w.t membiarkannya (tidak menghiraukannya) - lantaran usaha, amalan dan keinginannya sendiri - lantas dia menuturkan kalimah kufur dan beramal dengan amalan ahli neraka dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan masuk nerak.

Oleh itu, janganlah kita tertipu, merasa lemah dan putus asa dengan keadaan zahir manusia, kerana ukuran sebenar adalah pada akhirnya. Kita memohon kepada Allah s.w.t supaya menetapkan kita di atas kebenaran, kebaikan dan 'husnul khatimah' (kesudahan yang baik).

5. Kesudahan baik dan buruk.

Ibnu Hjar al-Haitami telah berkata : "Sesungguhnya kesudahan yang buruk - kta minta berlindung dengan Allah - adalah dengan sebab bisikan batin (hati) si hamba (itu sendiri) dan manusia tidak mampu melihatnya. Begitulah juga, kadang-kadang seorang lelaki beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan pada batinnya terdapat satu sifat kebaikan yang tersembunyi yang akan menguasainya pada akhir umurnya, maka ini melayakkannya untuk mendapat kesudahan yang baik."

Abdul Azizi bin Daud telah menceritakan, katanya : "Aku hadir di sisi seorang yang sedang menghadapi kematian dan diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah. Lelaki yang mengajar itu berkata : "Dia telah kufur dengan kalimah syahadah", lantas dia bertanya khabar tentangnya (semasa hidupnya), maka didapati si mati adalah penagih arak. Lalu berkatalah Abdul Azizi : "Peliharalah diri kamu semua daripada dosa-dosa. Sesungguhnya dosa-dosalah yang telah menjerumuskan si polan ini ke dalam kekufuran."

Wallahu 'Alam.

Rujukan : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto.

Rabu, 20 Mei 2009

Hadis 3 : RUKUN ISLAM DAN TUNGGAK-TUNGGAK ASASNYA

0 ulasan
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.a, beluia berkata: " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Islam dibina di atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan. " (Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Kandungan Hadis:

1. Binaan Islam

Rasulullah s.a.w memperumpamakan Islam yang baginda bawa (yang degannya seorang insan terkeluar daripada daerah kekufuran dan melayakkannya memasuki syurga serta menjauhkannya daripada neraka) dengan binaan kukuh yang tegak di atas asas dan dasar yang tetap lagi mantap. Baginda menjelaskan bahawa dasar pembinaan Islam ialah:

(a) Syahadah bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Makna syahadah ini ialah mengakui tentang kewujudan Allah s.w.t dan keesaanNya serta membenarkan kenabian Muhammad s.a.w dan risalahnya. Rukun ini umpama asas jika dinisbahkan dengan rukun-rukun yang lain. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah. " (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

" Sesiapa yang menyebut (laa ilaaha illallah) dengan penuh keikhlasan, nescaya dia akan masuk syurga. " (Hadis ini sahih dan dikeluarkan oleh al-Bazzaar)

(b) Mendirikan sembahyang: Yang dikehendaki dengannya ialah menjaga sembahyang dan mendirikannya di dalam waktu serta perlaksanaannya hendaklah dengan menyempurnakan syarat dan rukun serta menjaga adab dan sunatnya, sehingga ia memberi kesan yang positif kepada diri muslim. Dengan itu dia akan meninggalkan keburukan dan kemungkaran. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. " (Al-Ankabuut : 45)

Sembahyang adalah syiar dan tanda seorang mukmin, Rasulullah bersabda:

" Pemisah di antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan sembahyang. " (Dikeluarkan oleh Muslim dan lainnya)

dan baginda bersabda lagi:

" Sembahyang adalah tiang agama. " (Dikeluarkan oleh Abu Nua'im)

(c) Mengeluarkan zakat: Iaitu mengeluarkan bahagian tertentu daripada harta yang cukup nisab dan memenuhi syarat-syarat wajib zakat, kepada fakir miskin dan mereka yang berhak menerimanya. Allah s.w.t berfirman di dalam menyifatkan golongan mukmin:

" Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). " (Al-Mukminun: 4)

Zakat adalah ibadat harta benda. Dengannya akan terlaksana keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan kepapaan, dan melahirkan kasih sayang, kemesraan dan rasa saling hormat-menghormati di antara sesama muslimin.

(d) Haji: Iaitu pergi ke masjidil Haram pada bulan-bulan haji iaitu Syawal, Zulqaedah dan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah serta melaksanakan ibadat yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.

Haji merupakan ibadat harta benda dan tubuh badan yang akan memberi banyak manfaat kepada individu dan masyarakat. Tambahan pula, ia merupakan perhimpunan ?(muktamar) Islam yang terbesar dan peluang terbaik kepada pertemuan seluruh umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

" Dan seluruh umat ,anusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan pelbagai faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang0binatang ternak (untuk dijadikan korban) ; dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. " (Al-Hajj : 27-28)

Kerana itu pahala ibadat haji adalah besar dan ganjarannya tinggi.Rasulullah s.a.w bersabda:

" Haji mabrur tiada balasan baginya kecuali syurga. "

Ibadat haji telah difardhukan pada tahun keenam Hijrah iaitu dengan turunnya firman Allah s.w.t :

" Dan Allah mewajibkan manusia mengerkakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. : (Aali-Imraan: 97)

(e) Puasa Ramadhan: Puasa di bulan Ramadhan telah difardhukan pada tahun kedua Hijrah iaitu dengan turunnya firman Allah s.w.t :

" (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bilan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu. " (Al-Baqarah:185)

Puasa adalah ibadat yang terdapat padanya pembersihan jiwa, ketinggian ruh dan kesihatan untuk tubuh badan. Barangsiapa yang melakukannya kerana mamatuhi suruhan Allah s.w.t dan menuntut keredhaannya, maka ia merupakan penghapus keburukan dan menjadi sebab baginya untuk memasuki syurga. Rasulullah s.a.w bersabda:

" Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, diampunkan dosanya yang telah lalu. "

2. Hubungan rukun-rukun Islam

Sesiapa yang melakukan semua rukun ini, dia adalah muslim yang sempurna imannya. Sesiapa yang meninggalkan semuanya, dia adalah kafir secara qat'ei (putus). Siapa yang mengingkari salah satu daripadanya, ijmak ulama' mengatakan bahawa dia bukanlah muslim. Siapa yang beriktiqad (tentang kewajipan kesemuanya) tetapi mencuaikan salah satu daripdanya - selain daripada syahadah - keran malas, maka dia adalah fasiq. Siapa yang melakukannya dan hanya mengakuinya dengan lidah secara berpura-pura maka dia adalah munafiq.

3. Matlamat ibadat

Ibadat yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang zahir sahaja tetapi yang dikehendaki dengan ibadat ialah tujuan, makna serta perlaksanaanya. Oleh itu, tidak ada manfaat sembahyang yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana tidak ada faedah puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kebatilan bahkan beramal dengannya. Begitu juga tidak diterima haji atau zakat yang dilakukan kerana riak dan kemasyhuran. ini tidaklah beerti boleh meninggalkan ibadat jika tidak tercapai hasilnya tetapi yang dikehendaki di sini ialah berusaha membawa diri supaya beribadat dan cuba mencapai segala tujuannya.

4. Cabang iman

Perkara yang disebut dalam hadis bukanlah merupakan seluruh perkara yang ada di dalam Islam, namu baginda berpada dengan menyebut perkara tersebut sahaja memandangkan kepentingannya. Terdapat banyak perkara lain lagi selain daripada itu. Rasulullah s.a.w bersabda :

" Iman itu lebih dari tujuh puluh cabang. " (Muttafaq 'alaih)

5. Islam adalah aqidah dan amalan

Difahami daripada hadis ini bahawa Islam adalah aqidah dan amalan. Oleh kerana itu, tiada manfaat amalan tanpa iman sebagaimana tidak wujudnya iman tanpa amalan.

Wallahu 'Alam


sumber: Syarah hadis 40 Imam Nawawi (Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto)

Jumaat, 8 Mei 2009

Hadis 2 : ISLAM, IMAN DAN IHSAN

0 ulasan
Daripada Saidina Umar r.a beliau berkata: " Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pehanya, lantas dia berkata: "Wahai Muhammad! Ceritakan kepadaku tentang Islam." Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: " Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika kamu mampu mengerjakannya." lelaki itu berkata: " Benarlah kamu!" Kami merasa hairan terhadapnya; dia bertanya dan dia juga membenarkannya.

Lelaki itu berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang iman. " Baginda s.a.w bersabda: " Bahawa kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari kiamat dan kamu beriman dengan kadar baik dan burukNya. " Lelaki itu berkata: " Benarlah kamu! "

Dia berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang ihsan. " Baginda s.a.w menjawap: "bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Allah melihat kamu. "

Lelaki itu berkata lagi : " Ceritakan kepadaku tentang kiamat. " Baginda menjawab: " Tidaklah orang yang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak mengetahui tentang bila berlaku kiamat). "

Lelaki itu berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya. " Baginda menjawap: " Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan. " Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: " Wahai Umar! Tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu. " Aku menjawab: " Allah dan RasulNya lebih mengetahui. " Sabda Rasulullah s.a.w: " Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu. "

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di awal kitab ' Iman ' Hadis nombor 8.

Kandungan Hadis:

1. Memperelokkan pakaian dan perwatakan

Digalakkan memakai pakaian yang bersih, menggunakan wangi-wangian atau bau-bauan yang harum untuk memasuki masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beradab ketika berada di majlis tersebut dan beradab dengan alim ulama'. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan kata-katanya.

2. Apa itu Islam?

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah s.w.t. Dari segi istilah syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu: Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nafkah ahli keluarganya.

3. Apa itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Esan dan tiada sekutu bagiNya.

Begitu juga membenarkan kewujudan makhluk Allah Taala iaitu para malaikatnya dan mereka adalah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tiada mengingkari Allah Taala dalam setiap suruhan atau perintah yang ditujukan kepada mereka dan mereka mengerjakan apa sahaja yang diperintahkan. Allah Taala mencipta mereka daripada cahaya. Mereka tidak makan dan tidak bersifat lelaki mahupun perempuan serta tidak berketurunan. Tidak ada seorangpun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Allah Taala.

Juga membenarkan kitab-kitab samawiah yang turun dari sisi Allah. Kitab-kitab ini adalah syariat Allah Taala sebelum ia diselewengkan dan diubah oleh tangan-tangan manusia.

Juga membenarkan para rasul, yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk memberi pertunjuk kepada makhlukNya dan Allah menurunkan kepada mereka kitab-kitab samawiah. Juga beriktiqad bahawa para rasul itu adalah manusia yang maksum (terpelihara daripada dosa).

Juga membenarkan hari kiamat, iaitu hari Allah Taala membangkitkan manusia dari kubur dan menghisab amalan-amalan serta memberi balasan kepada merela. Sekiranya baik, maka baiklah balasannya dan sekiranya buruk, maka buruklah balasannya.

Juga membenarkan bahawa semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan takdir (ketentuan) Allah Taala dan kehendakNya berdasarkan hikmat yang hanya diketahui olehnya sahaja.

Inilah rukun-rukun iman. Barangsiapa yang beriktiqad dengannya, akan beroleh kemenangan dan kejayaan. Begitulah sebaliknya, sesiapa yang mengingkarinya, dia akan sesat dan kecewa. Firaman Allah Taala yang bermaksud :-

" Wahai orang-orang yang beriman! tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulnya (muhammad s.a.w) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingakar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. " (An-Nisaa': 136)

4. Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kamu ikhlas di dalam beribadat kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kamu melihat Allah ketika melakukan ibadat. Sekiranya kamu tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Allah Taala melihat kamu dan perbuatan kamu sama ada kecil mahupun besar.

5. Kiamat dan tanda-tandanya

Ilmu tentang masa berlakunya kiamat adalah di antara perkara yang hanya diketahui oleh Allah dan Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun dari kalangan hambaNya, sama ada malaikat ataupun rasul. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w menjawab soalan jibril dengan sabdanya yang bermaksud : " Tidaklah orang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. " Tetapi baginda s.a.w menjawab bila ditanya tentang sebahagian tanda yang menunjukkan peri dekatnya hari kiamat :

(a) Berlakunya kerosakan di zaman tersebut, rosaknya akhlak di mana ramai anak-anak durhaka dan menyanggahi orang tua mereka, lalu mereka bermu'amalah (bergaul) dengan orang tua mereka seperti mu'amalah tuan terhadap hambanya.

(b) Terbalik dan bercampur-baurnya urusan sehingga sehina-hina manusia menjadi raja dan pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya. Harta bertambah banyak di tangan manusia, bertambah kemewahan dan pemborosan. Manusia bermegah-megah dengan bangunan yang tinggi, harta (perhiasan) dan perabut-perabut yang banyak, serta merasa bongkak terhadap makhluk. Mereka yang sebelum ini berada dalam kemiskinan dan kesengsaraan, hidup di atas ihsan orang lain seperti orang arab badwi, pengembala dan seumpamanya, ketika itu menjadi penguasa dan pentadbir.

6. Bertanya tentang ilmu

Seorang muslim hendaklah hanya bertanya mengenai perkara yang memberi manfaat kepada dunia dan akhiratnya sahaja dan meninggalkan pertanyaan yang tidak berfaedah. Begitu juga bagi seorang yang hadir ke majlis ilmu dan menyedari bahawa para hadirin memerlukan jawapan kepada persolana ataupun masalah tertentu, sedangkan tiada seorangpun yang bertanyakan tentangnya, maka sewajarnya dia bertanyakan soalan tersebut sekalipun dia sudah mengetahuinya. Ini dilakukan supaya hadirin dapat mengambil manfaat daripada jawapan yang diberikan. Barangsiapa yang ditanya mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya, maka dia wajib berkata " saya tidak tahu " dan itulah tanda warak, taqwa dan ilmunya yang sahih.

sumber: kitab syarah hadis 40 Imam Nawawi ( Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto )

Selasa, 5 Mei 2009

Hadis 1 : SEMUA AMALAN ADALAH DENGAN NIAT

0 ulasan
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, naka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan. "

Hadis ini diriwayatkan oleh kedua-dua Imam Muhaddithin iaitu Abu Abdullah bin Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughiirah bin Bardizbah al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin al-Hujaji bin Muslim al-Qusairi al-Naisaburi di dalam kitab sahih kedua-duanya, yang mana ia merupakan kitab yang paling sahih.

Imam Bukhari telah meriwayatkan hadis ini di awal kitab sahihnya dan di dalam kitab "Iman" dalam bab "hadis-hadis yang menerangkan bahawa semua amalan adalah dengan niat yang baik dan bagi setiap orang die mendapat pahala mengikut niatnya dan di beberapa tempat yang lain di dalam kitab sahihnya.

sementara Imam Muslim pula meriwayatkannya di dalam kitab "Imaarah" dalam bab "Sabda Rasulullah s.a.w: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat." Hadis nombor 1907.

Kandungan Hadis:

1. Syarat niat

Ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti sembahyang, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

manakala ibadat tidak langsung iaitu yang hanya menjadi wasilah seperti wudhuk dan mandi, maka ulama' mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama' mazhab Syafi'e dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

2. Waktu niat dan tempatnya

Waktu niat ialah permulaan ibadat, seperti takbiratul ihram di dalam ibadat sembahyang dan ihram di dalam ibadat haji. Manakala di dalam ibadat puasa, memadai niat sebelum bermulanya puasa kerana kesukaran untuk memerhati fajar pagi.

Tempat niat ialah di hati, justeru itu tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Walaupun begitu, disunatkan berlafaz sebagai menolong hati untuk memudahkannya mengingati apa yang ingin diniatkan.

Disyaratkan juga pada niat, menentukan perkara yang diniatkan dan membezakannya daripada perkara yang lain. Oleh itu tidak memadai bagi seseorang itu sekadar meniatkan sembahyang sahaja, bahkan mesti menentukan jenis sembahyang tersebut sama ada zohor atau 'asar dan seterusnya.

3. Berniat untuk melakukan sesuatu amal salih

Hadis ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal salih, tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti sakit, mati atau seumpamanya yang menghalang beliau daripada melaksanakannya, maka die diberi pahala berdasarkan niatnya itu.

4. Ikhlas di dalam amalan dan ibadat

Hadis ini juga membimbing kita supaya ikhlas di dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat, juga mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

5. Amalan yang bermanfaat

Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadat apabila disertai dengan niat dan keikhlasan serta menuntut keredhaan Allah s.w.t.

Wallahu 'Alam


sumber: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi (Dr Mustafa al-Bugha & Muhyidin Misto)
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template