Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Jun 2010

Hadis 5 : Menghapuskan Kemungkaran Dan Bidaah

0 ulasan
Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ianya ditolak."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Di dalam riwayat Muslim :

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab 'Perdamaian' pada bab 'Apabila mereka berdamai di atas kezaliman, maka perdamaian itu ditolak'. Nombor hadis: 2550. Imam Muslim pula meriwayatkannya di dalam kitab 'Hukuman' pada bab 'Pembatalan hukuman yang batil dan perkara baru yang diada-adakan'. Nombor hadis: 1718.

Kepentingan Hadis:

Hadis ini merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis 'semua amalan adalah dengan niat' merupakan neraca kepada setiap amalan manusia pada batin, di mana setiap amalan yang tidak bermatlamatkan keredhaan Allah SWT, maka pembuatnya tidak akan diberi pahala. Begitu juga dengan hadis ini, ia merupakan neraca kepada amalan-amalan zahir, di mana semua pekerjaan yang bukan dari suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka ianya ditolak. Setiap orang yang mengada-adakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan agama, maka ia bukanlah daripada agama ini.

Imam Nawawi rahimahullah pernah berkata: "Hadis ini sewajarnya dihafal dan dijadikan hujah bagi menghapuskan kemungkaran."

Imam Nawawi al-Haitami pula berkata: "Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas dipandang dari sudut 'mantuuq' (iaitu kefahaman yang dapat difahami secara langsung daripada lafaznya) kerana ia adalah muqaddimah umumu bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak."

Kandungan Hadis:

1. Islam ialah mengikut bukannya rekaan.

Rasulullah SAW telah memelihara Islam daripada keterlanjuran para pelampau dan penyelewengan ahli batil melalui hadis ini yang dikatogerikan sebagai satu ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat. Hadis ini bersumberkan banyak ayat al-Quran yang telah menjadi nas bahawa kemenangan dan kejayaan itu adalah dengan mengikut pertunjuk Rasulullah SAW tanpa menambah dan mengubahnya. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu." (Surah Aali-'Imran: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain (dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah." (Surah Al-An'aam: 153)

Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbah Baginda:

"Sebaik-baik bicara ialah kitab Allah dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad SAW, seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat."

Terdapat penambahan di dalam riwayat al-Baihaqi:

"Dan setiap kesesatan itu di dalam neraka (tempatnya)."

2. Amalan yang ditolak.

Hadis ini merupakan nas yang jelas yang menolak amalan yang tidak berdasarkan kepada syarak. Lafaznya jelas menunjukukkan bahawa setiap amalan hendaklah berdasarkan kepada hukum-hukum syariat dan berhukum dengannya. Contohnya ialah perbuatan mukallaf, ia mestilah mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Adalah suatu kesesatan yang nyata sekiranya amalan itu terkeluar daripada ruang lingkup hukum-hukum syariat dan tidak terikat dengannya. Begitu juga apabila amalan menjadi hakim kepada syariat dan bukan lagi menjadi perkara yang dihukum oleh syariat. Ketika itu, menjadi kewajipan setiap muslim untuk menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan amalan yang batil dan ditolak.

Amalan terbahagi kepada 2: Ibadat dan mu'amalat.

(a) Ibadat: Sesuatu ibadat yang terkeluar dari ruang lingkup hukum Allah SWT dan Rasul-Nya secara keseluruhan, maka ia adalah ditolak dan termasuk di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" (Surah As-Syura: 21)

Contohnya ialah seorang yang bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah SWT) dengan mendengar nyanyian, menari, melihat wajah perempuan, mendedahkan kepala ketika bukan berihram ataupun yang seumpamanya yang merupakan ibadat buatan manusia dan kegilaan zaman kini. Mreka inilah di antara orang-orang yang Allah SWT butakan mata hati mereka daripada mengikut jalan yang benar, lalu mereka mengikut jalan-jalan syaitan. Mereka mendakwa, mereka bertaqarrub kepada Allah dengan buah fikiran dan kesesatan yang mereka ada-adakan. Sedangkan keadaan mereka berdasarkan kepada kesesatan yang dilakukan itu adalah sama seperti Arab musyrikin yang telah mencipta ibadat dan qurbah (amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak diizinkan oleh Allah. Allah SWT menjelaskan keadaan mereka:

"Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan." (Surah Al-Anfaal: 35)

Sebahagian mereka menyangka bahawa sesuatu yang menjadi qurbah dalam sesuatu ibadat, maka ia akan menjadi qurbah pada perkara lain. Misalnya, seorang lelaki telah bernazar pada zaman Rasulullah, bahawa dia akan berdiri di tengah panas matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh sambil berpuasa. Maka Rasulullah menyuruh lelaki itu dengan sabda Baginda:

"Hendaklah dia duduk, mencari tempat berteduh dan meneruskan puasanya."

Di dalam kitab-kitab fiqah terdapat penjelasan terhadap hukum-hukum ibadat di dalam Islam. Begitu juga terhadap perkara yang ditolak dan membatalkan sesuatu ibadah apabila berlaku penambahan atau pengurangan dari perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.

(b) Mu'amalat: Contohnya ialah segala jenis aqad dan fasakh (pembatalan aqad). Sekiranya berlawanan dengan syarak secara keseluruhan, maka ia adalah batil dan ditolak. Dalilnya ialah peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Seorang lelaki datang menemui Baginda meminta agar ditukarkan hukum hudud kesalahan zina yang telah ditentukan kepada tebusan dengan harta dan perhiasan. Ketika itu juga Nabi SAW menolak dan membatalkan permintaan lelaki tersebut.

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki yang berkata:

"Anak lelakiku telah menganiayai si anu di mana dia telah berzina dengan isterinya. Maka bolehkah aku menembusinya dengan seratus ekor kambing biri-biri dan seorang hamba? Maka Nabi SAW menjawab: "Seratus ekor biri-biri dan seorang hamba, kembali kepada kamu dan anak kamu wajib dirotan dengan seratus kali sebatan dan dibuang negeri setahun."

Begitu juga hukumnya semua aqad yang ditegah oleh syarak atau dua orang yang beraqad dan meninggalkan salah satu daripada rukun atau salah satu syaratnya, maka ia adalah aqad yang batil dan ditolak. Penjelasan yang mendalam tentang perkara ini terdapat di dalam kitab-kitab fiqah.

3. Amalan yang diterima.

Di sana terdapat amalan baru (tidak terdapat di zaman Rasulullah) yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Bahkan terdapat dalil dan kaedah syarak yang menyokongnya. Amalan ini tidak ditolak malah diterima dan dipuji. Para sahabat banyak melakukannya dan mereka mengharuskannya. Mereka juga telah bersepakat menerimanya. Contoh yang jelas ialah masalah menghimpunkan al-Quran di dalam satu mashaf di zaman Abu Bakar r.a. Menyalin beberapa naskhah daripadanya dan menghantarnya keluar negeri berserta qari di zaman Uthman al-'Affan r.a. Begitu juga dengan penulisan ilmu-ilmu nahu, faraidh, matematik, tafsir, perbahasan tentang sanad-sanad dan matan hadis dan lain-lain lagi yang terdiri daripada ilmu dalam bentuk teori yang digunakan sebagai sumber asasi kepada penggubalan undang-undang, ataupun ilmu dalam bentuk kajian dan pengalaman yang bermanfaat untuk kegunaan manusia di dalam kehidupan mereka seharian dan boleh membawa kepada penyediaan kekuatan dan memakmurkan dunia, melaksanakan syariat Allah dan berhukum dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.

4. Bidaah yang dikeji dan yang terpuji.

selepas perbincangan amalan yang ditolak dan amalan yang diterima, sekarang kita sampai kepada natijah yang jelas dan pemutusan, iaitu: Sesetengah amalan yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah ialah biadaah yang buruk lagi sesat dan sesetengah amalan yang diadakan yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan ia menepati syarak adalah amalan yang diterima. Amalan yang diterima ini pula, ada di antaranya yang sunat dan ada yang fardhu kifayah. Dari sini Imam Syafi'i berkata: "Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji."

Bidaah yang buruk kadang-kala boleh menjadi makruh dan kadang-kala boleh menjadi haram kerana mudarat, fasad (keroskan) dan menyimpang daripada tujuan (maqasid) Islam dan keperluannya. Kadang-kala ia membawa seseorang kepada kufur, menyeleweng dan sesar seperti menganggotai dan memberi wala' kepada pertubuhan dan jamaah yang mengingkari wahyu atau mengingkari syariat Allah, menyeru kepada berhukum dengan undang-undang buatan manusia serta menganggap berhukum dengan syariat Allah sebagi mundur dan lemah. Juga seperti menganggotai dan memberi wala' kepada jamaah yang mendakwa (bahawa mereka adalah jamaah) tasauf yang mengharuskan bermudah-mudah terhadap perintah-perintah syarak dan tidak menghiraukan apa yang dihalal dan diharamkan oleh Allah, ataupun jamaah yang mengangkat slogan 'wahdatul wujud wal-hulul' dan sebagainya daripada keadaan dan kata-kata yang sesat lagi kufur. Antara bidaah buruk yang berlaku di kalangan manusia umum ialah mengagungkan benda-benda yang tertentu dan mengambil berkat serta beriktiqad bahawa ia boleh memberi manfaat seperti mengagungkan perigi, pokok dan kubur.

Satu riwayat yang sahih telah menceritakan bahawa para sahabat telah melintasi sebatang pokok bidara sebelum sampai ke Hunain di mana orang-orang musyrikin telah mengagungkannya dan menyandarkan senjata mereka pada pokok tersebut. Maka berkatalah para sahabat: "Jadikanlah bagi kami tempat sandaran senjata sebagaimana mereka miliki." Lalu Rasulullah SAW bersabda:

"Allahu Akbar. Ini adalah sebagaimana yang telah dikatakan oleh kaum Musa: "Jadikanlah bagi kami Tuhan sebagaimana mereka mempunyai Tuhan-Tuhan." Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang jahil. Kmau akan mengikut jalan kaum yang sebelum dari kamu."

5. Menentang golongan yang mempertahankan bidaah.

Faedah daripada hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan lafaz (Barangsiapa yang melakukan suatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah ditolak) ialah apabila sebahagian golongan yang keras kepala dan mempertahankan bidaah yang dilakukannya menolak hujah kita melalui hadis riwayat pertama dengan berkata: Aku tidak mendatangkan sesuatu yang baru dalam urusan agama. Maka kita kemukan kepada mereka riwayat Imam Muslim ini yang menggunakan lafaz (barangsiapa yang melakukan suatu amalan.....) Dengan itu kamu hendaklah memahaminya.

6. Orang yang mengerjakan bidaah.

Di dalam hadis ini ada disebut sesiapa yang mengerjakan bidaah dalam urusan agama yang tidak bersesuaian dengan syarak, maka dia mendapat dosa, amalannya ditolak dan dia berhak memperolehi janji yang menakutkan.

7. Perkara yang tidak sah.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa sesuatu larangan (an-nahyu) terhadap sesuatu perkara menunjukkan bahawa mereka itu tidak sah.

8. Kedudukan agama Islam.

Agama Islam adalah sempurna, tiada sebarang kekurangan padannya.



Rujukan:
Syarah Hadis 40 Imam Nawawi : Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto

Isnin, 27 Julai 2009

Ulama' Tidak Dipedulikan

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan menyebut nama Allah, Tuhan sekalian 'alam. Segala puji dan syukur hanya padanya Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah pada hari ini, dapat saya meneruskan kembali penulisan saya dengan izin Yang Maha Esa.

Ulama' adalah pewaris Nabi


Posting kali ini berkaitan hadis tentang peristiwa akhir zaman iaitu ulama' tidak dipedulikan. Akhir zaman ini banyak peristiwa yang berlaku termasuklah para ulama' Islam tidak dipedulikan oleh orang Islam sendiri kerana kejahilan mereka yang mengejar kebahagian dunia semata-mata. Sebagai 1 contoh kalau kita lihat di negara kita, masyarakat zaman sekarang ini terutamanya yang beragama Islam, lebih mengangungkan artis daripada ulama', menjadikan artis itu sebagai idola mahupun ikutan. Dan ini telah pun terbukti dengan adanya program-program realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol ataupun seumpamanya, yang mana mempunyai jutaan peminat dan penonton, tidak kira yang tua mahupun yang muda. Dan ini adalah 1 bukti yang mana para ulama' ketika ini tidak dipedulikan oleh masyarakat.

Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama' sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang 'Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)."
(Hadis Riwayat Ahmad)


Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama'. Mereka takut mendekati para ulama', kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walaupun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para ulama untuk menyatakan rasa egi dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka.

Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain, padahal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya.

Wallahu 'Alam.


Jumaat, 10 Julai 2009

Doa Dari Hadis Sohih : Khusus Elak Di Rogol & Cabul

1 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian 'alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Saban hari kita dengar dan lihat di kaca tv dan di dada akhbar, tentang masalah berkaitan rogol dan cabul sampai ke hari ini masih hangat diperkatakan. Setiap kali baca akhbar ada saja kes berkaitan rogol dan cabul ini, seolah-olah kes ini sudah menjadi satu fenomena yang melanda Negara kita ketika ini. Hari ini kalau kita baca di surat khabar Metro, seorang warga emas yang kemaruk seks merogol seorang wanita kurang upaya, bukan sekali malah 4 kali sehingga wanita itu mengandung sudah 5 bulan. Kejadian ini berlaku di Kota Bharu. Dan banyak lagi kes yang berlaku sebelum ini. Di manakah letaknya sifat perikemanusian mereka? sehingga mereka sanggup melakukan sedemikian rupa. Mana letaknya sifat malu mereka terhadap manusia khususnya terhadap Allah s.w.t? Mana perginya iman mereka?

Posting kali ini berkaitan doa dari hadis sohih khusus untuk mengelakkan wanita di rogol dan di cabul. Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dasyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Doa dari hadis sohih perlindungan setiap kali keluar rumah, iaitu :-

رسول الله يقول من قال بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم ثلاث مرات لم نصبه فجأة بلاء حتي يصبح ومن فالها حين يصبح ثلاث مرات لم نصبه فجأة بلاء حتي يمسي

Dalam sebutan rumi : BISMILLAHILLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SMA'IE, WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM.

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tida dimudharatkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tudak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membaca ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" (Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidzi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللهم ان كنت تعلم اني اّمنت بك وبرسلك وأحصنت فرجي الا علي زوجي فلا تسلط علي الكافر

Dalam sebutan rumi : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA WA AZ-ZALIM.

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepadaMu dan RasulMu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim." (Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97 ; Musnad Ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393 ; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih)

Semoga ia dapat dilafaz dan di amalkan oleh semua wanita msulimah, cuma jangan lupa bahawa doa ini bersifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan RasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatannya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam, sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.r tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya mematuhi syariat yang telah ditetapkan islam itu sendiri. Renugkan dan fikirkanlah wahai wanita muslimah......

Wallahu 'Alam

Sumber : Zaharuddin Abd Rahman - http://www.zaharuddin.net

Khamis, 9 Julai 2009

Menguap Menurut Islam

0 ulasan

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucap 'Yarhamkallah'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.
(Hadis Riwayat Bukhari)


Daripada Abu Said Al-Khudri r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk melalui mulut yang terbuka". (Riwayat Imam Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu."
(Hadis Riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tarmidzi)


Daripada Abdullah bin Az-Zubair r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin."
(Hadis Riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tarmidzi)


Pengajaran daripada maksud hadis, antara adab-adab menguap & bersin:
1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.

2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat.

3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.

4. Sunat ketika bersin mengucap "Alhamdulillah" & orang yang mendengarnya pula mengucapkan "Yarhamkallah".

5. Sunat mengucap "Astaghfirullah" selepas menguap.

Wallahu 'Alam.


Ahad, 28 Jun 2009

2 Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Perbanyakkanlah selawat kepada baginda di bulan Rejab yang mulia ini, semoga kita beroleh ganjaran pahala dari Allah dan syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w di Padang Mahsyar nanti disebabkan amalan selawat kita kepada baginda. Posting kali ini berkenaan 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka menurut hadis tersebut, yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka ?(sanggul di atas kepada mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya." (H.R Muslim)

Keterangan hadis:

Kebenaran sabda Rasulullah s.a.w ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemetinya tanpa soal siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayunkan-hayunkan badan dengan sanggul yang besar gob unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

Wallahu 'Alam.

Rujukan: Kitab 40 hadis tentang peristiwa akhir zaman, di susun oleh Abu Ali Al-Banjari An Nadwi.

Khamis, 14 Mei 2009

Hadis : Memutuskan Silaturahim

0 ulasan
Hadis :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : " Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim " Riwayat al-Bukhari.

Huraian :

1) Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

2) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya : " Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari. "

3) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

4) Biasanya punca permasalhan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

5) Seseorang yang berada dalam seuasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

Wallahu 'Alam.

Isnin, 11 Mei 2009

Hadis : Lima Kunci Rahsia

0 ulasan
Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi s.a.w Baginda bersabda : " Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim ibu (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpunyang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah. 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah. (Bukhari)

Huraian :

Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuanNya, yang nampak mahupun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah yang bermaksud :

" Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan. " (al-Kahfi : 109)

Wallahu 'Alam.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template