Memaparkan catatan dengan label bulan islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bulan islam. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Disember 2009

Peristiwa Bersejarah Di Bulan Muharam

0 ulasan
Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat, kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhlukNya. Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mukjizat kepada Nabi-NabiNya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurniaNya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambaNya. Sebagai tanda kesyukuran kepadaNya, maka hamba-hambaNya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata : Ketika Nabi SAW baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi SAW : " Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."

Maka Nabi SAW pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat juga hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura, maka sapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari ini, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.

Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam satu hadis.

"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad SAW dan mengenyangkan perut mereka."

Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari. Jawab Rasulullah, "Benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Ayura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura."

Maka pada hari itu (10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya memohon keampunan.

Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka, beerti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT.

Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh kehormatan.

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah dibawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam dimana hanya 40 keluarga termasuk manusia dan binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarha ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang ingkar pada Nabi Nuh a.s.

4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari dimana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan oleh Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.

5. Pada 10 Muharam ini juga ALlah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun baginda sendiri sudah ada 99 orang isteri. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan 2 malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir Nabi Daud atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 mMuharam.

6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.

7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s.

8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.

9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.

Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Aku telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang sukar boleh meninggalkannya."

Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari Asyura ini sangat-sangat dituntu. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut meberatkan uatnya, maka hukumnya adalah sunat.

Wallahu 'Alam.

Jumaat, 11 September 2009

Penghayatan Lailatul Qadar

0 ulasan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya bagi Allah s.w.t yang telah menemukan kita dengan malam 10 terkahir bulan ramadhan yang dipenuhi dengan keberkatan kerana kita dapat melipatgandakan ibadah pada malam al-Qadar yang pahalanya menyamai dengan 1,000 bulan, para hamba yang sentiasa prihatin terhadap segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah s.w.t dapat merasakan kegembiraan, mereka yang sentiasa menghulurkan sedekah, pemberian serta menyumbangkan pelbagai kebajikan akan menikmati ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Kini, kita berhadapan dengan waktu-waktu yang paling baik untuk mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa, maka terimalah masa tersebut dengan melakukan tindakan yang sewajarnya dan menggunakannya dengan penuh kesyukuran, tidak merasa malas dan tidak memayakan diri demi menggapai kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya rahmat Allah s.w.t itu amat hampir daripada orang yang sentiasa melakukan kebajikan."

Hidupkanlah Lailatul Qadar kerana pada malam tersebut Allah s.w.t telah menjanjikan akan memberikan pahala menyamai ibadah 1,000 bulan. Hidupkanlah malamnya kerana pada malam tersebut diselubungi dengan penuh keberkatan, kebajikan dan syaitan tidak akan mengganggu orang yang hendak melakukan ibadah. Pada malam tersebut, terserlahlah sifat Rahman Allah s.w.t dengan keagungan nama-nama, sifat-sifat yang indah dan melimpahkan pemberian kepada mereka yang beribadah pada malam tersebut, kepada mereka yang banyak bermunajat mengadu kepada Allah Tuhan seluruh 'alam. Oleh itu, berdoalah kepada Yang Maha Agung dengan penuh khusyuk dan tawaduk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang melakukan pelbagai ibadah pada Lailatul Qadar dengan penuh rasa keimanan dan bermuhasabah,
segala dosanya yang terdahulu akan diampunkan."
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).


Rasulullah s.a.w bersabda lagi, yang bermaksud : "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terkahir bulan ramadhan."
(Hadis riwayat Imam Bukhari).


Pada riwayat lain dari Aisyah r.a katanya : "Apabila tiba 10 malam terkahir pada bulan ramadhan, Rasulullah s.a.w menghidupkan ibadah malam. Baginda membangkitkan isteri-isteri baginda. Baginda bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali dalam menghidupkan malam tersebut."
(Hadis riwayat muslim)


Lailatul Qadar bermaksud malam ketentuan. Sesungguhya hanya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui mengenai keberkatan malam ini sepenuhnya. Jumhur ulama' sepakat mengatakan, malam ini adalah malam yang mana Allah s.w.t menetapkan segala urusan perjalanan hidup manusia dan hukum-hukum seluruhnya bagi tahun itu hingga pada tahun berikutnya. Iaitu hingga ke malam Lailatul Qadar pada ramadhan akan datang.

Lailatul Qadar sebenarnya adalah kisah seorang mukmin dari Bani Israel bernama Syam'un al-Ghazi. Syam'un seorang yang sangat taat kepada Allah s.w.t dan bertempur melawan orang kafir selama 1,000 bulan. Kisah Syam'un membuatkan Rasulullah s.a.w bersedih kerana hayat baginda s.a.w dan umatnya sangat pendek dan tidak dapat menyerahkan ketaatan kepada Allah s.w.t sebagaimana yang dilakukan oleh Syam'un. Lalu Allah s.w.t memberi khabar berita gembira kepada Rasulullah s.a.w dengan turunya Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang lebih utama daripada 1,000 bulan, khusus kepada umat Muhammad s.a.w sahaja.

Pada malam itu, Allah s.w.t menyerahkan segala pengurusan kepada malaikat tertentu. Contohnya, malaikat Jibrail ditugaskan untuk mendaftar rahmat dan seksa untuk seluruh manusia. Bahagian pemberian rezeki dan tumbuh-tubuhan diserahkan kepada malaikat Mikail, hujan dan angin kepada malaikat Israfil dan segala urusan mencabut roh dan penentuan ajal pula kepada malaikat Izrael.

Ini disebut oleh Allah s.w.t dalam surah ad-Dukhan yang bermaksud : "Pada malam yang berkat itu, dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah serta tetap akan berlaku."

Ini bermakna, segala urusan dan ketentuan perjalana hidup setiap insan ditentukan pada malam yang mulia ini tanpa meninggalkan walau sedikit jua pun. Ketentuan itu sama ada ketentuan yang baik ataupun sebaliknya, termasuklah penetuan rahmat, rezeki dan ajal bagi tempoh setahun itu.

Pada Lailatul Qadar, muka bumi dan langit sesak dipenuhi malaikat yang turun ke dunia bermula terbenam matahari hinggalah terbit fajar esoknya. Mereka ditugaskan mencari setiap amalan kebajikan yang dilakukan oleh manusia di bumi ini lalu mempersembahkannya kepada Allah Yang Maha Esa. Setiap amalan itu nilainya sama seperti ibadat 1,000 bulan. Maka sebab itulah, Umat Islam digalakkan mencari dan menghayati Lailatul Qadar ini bersungguh-sungguh.

Rasulullah sendiri menghabiskan keseluruhan 10 malam terkahir Ramadhan dengan beriktikaf di masjid, mengasingkan diri daripada isteri-isterinya, berqiyamullail, membaca al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, berwirid, berzikir mengingati keagungan Allah s.w.t, berselawat kepada Nabi s.a.w, bermunajat memohon keampunan, kemurahan rezeki dan keluasan kurniaanNya, bertaubat dan beristighfar, bertahmid, bertakbir, bertahlil, bersyukur, mengharap rahmat dan syurga Allah s.w.t dan memohon keselamatan daripada api neraka.

Amalan bukan hanya dilakukan pada malam hari tetapi Imam Syafie juga menyatakan sunat diperbanyakkan pada sebelah siangnya. Umar Islam juga disunatkan memperbanyakkan doa pada sebelah malamnya, iaitu doa yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam seluruhnya. Ini adalah kebiasaan yang dilakukan oleh golongan solihin dan hamba Allah yang 'arif.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, tugasan sudah selesai tetapi istimewanya pada setiap Lailatul Qadar, iaitu setahun cuma sekali Jibrail diangkat Allah s.w.t menjadi penghulu mengetuai malaikat dan turun ke bumi membawa rahmat dan keberkatan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Pada malam yang penuh keberkatan ini, Allah s.w.t akan mengampunkan umat Nabi Muhammad s.a.w dengan rahmatNya kecuali 4 golongan iaitu:

1- Peminum arak.
2- Orang yang derhaka kepada ibu bapa.
3- Orang yang memutuskan silaturrahim
4- Orang yang tidak mahu menegur saudaranya lebih dari 3 hari.

Wallahu 'Alam.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kelebihan Bulan Ramadhan

0 ulasan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa seperti yang telah diwajibkan ke atas manusia sebelum kamu, moga-moga kamu semua bertaqwa." (surah al-baqarah:183)

Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.

Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!

Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).

Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
  • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
  • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
  • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
  • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
  • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)

Wallahu 'Alam.

Rabu, 24 Jun 2009

Bulan Rejab Adalah Antara Bulan Mulia Dalam Islam

0 ulasan
Assalamu'alaikum..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Secangkir kalimah sykur dipanjatkan kehadrat ilahi dengan limpahan nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan oleh-Nya. Semoga nikmat-nikmat tersebut dapat mengajar kita erti syukur. Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

doa ketika menjelang bulan rejab


Bulan Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.

Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah ikhtibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.

Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi s.a.w diisrakkan oleh Allah s.w.t dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail. Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi s.a.w dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

Di sana, Nabi s.a.w berkesempatan berdialog dengan Allah s.w.t dan Allah menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi s.a.w iaitu perintah sembahyang fardhu 5 waktu untuk Nabi s.a.w dan umatnya.

Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunnat bersama Malaikat Jibrail dan ruh anbiya' di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi s.a.w terus dimikrajkan iaitu menjelajahi 7 lapisan langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa.

Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah auatu satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat 5 waktu. Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi s.a.w adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w.

Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawapan, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu.

Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkan ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui malaikat Jibrail.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan Penciptanya 5 kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.

Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segeran dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.

Wallahu 'Alam.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template