Selasa, 5 Mei 2009

Hadis 1 : SEMUA AMALAN ADALAH DENGAN NIAT


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, naka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan. "

Hadis ini diriwayatkan oleh kedua-dua Imam Muhaddithin iaitu Abu Abdullah bin Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughiirah bin Bardizbah al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin al-Hujaji bin Muslim al-Qusairi al-Naisaburi di dalam kitab sahih kedua-duanya, yang mana ia merupakan kitab yang paling sahih.

Imam Bukhari telah meriwayatkan hadis ini di awal kitab sahihnya dan di dalam kitab "Iman" dalam bab "hadis-hadis yang menerangkan bahawa semua amalan adalah dengan niat yang baik dan bagi setiap orang die mendapat pahala mengikut niatnya dan di beberapa tempat yang lain di dalam kitab sahihnya.

sementara Imam Muslim pula meriwayatkannya di dalam kitab "Imaarah" dalam bab "Sabda Rasulullah s.a.w: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat." Hadis nombor 1907.

Kandungan Hadis:

1. Syarat niat

Ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti sembahyang, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

manakala ibadat tidak langsung iaitu yang hanya menjadi wasilah seperti wudhuk dan mandi, maka ulama' mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama' mazhab Syafi'e dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

2. Waktu niat dan tempatnya

Waktu niat ialah permulaan ibadat, seperti takbiratul ihram di dalam ibadat sembahyang dan ihram di dalam ibadat haji. Manakala di dalam ibadat puasa, memadai niat sebelum bermulanya puasa kerana kesukaran untuk memerhati fajar pagi.

Tempat niat ialah di hati, justeru itu tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Walaupun begitu, disunatkan berlafaz sebagai menolong hati untuk memudahkannya mengingati apa yang ingin diniatkan.

Disyaratkan juga pada niat, menentukan perkara yang diniatkan dan membezakannya daripada perkara yang lain. Oleh itu tidak memadai bagi seseorang itu sekadar meniatkan sembahyang sahaja, bahkan mesti menentukan jenis sembahyang tersebut sama ada zohor atau 'asar dan seterusnya.

3. Berniat untuk melakukan sesuatu amal salih

Hadis ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal salih, tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti sakit, mati atau seumpamanya yang menghalang beliau daripada melaksanakannya, maka die diberi pahala berdasarkan niatnya itu.

4. Ikhlas di dalam amalan dan ibadat

Hadis ini juga membimbing kita supaya ikhlas di dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat, juga mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

5. Amalan yang bermanfaat

Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadat apabila disertai dengan niat dan keikhlasan serta menuntut keredhaan Allah s.w.t.

Wallahu 'Alam


sumber: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi (Dr Mustafa al-Bugha & Muhyidin Misto)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template