Jumaat, 8 Mei 2009

Hadis 2 : ISLAM, IMAN DAN IHSAN


Daripada Saidina Umar r.a beliau berkata: " Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pehanya, lantas dia berkata: "Wahai Muhammad! Ceritakan kepadaku tentang Islam." Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: " Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika kamu mampu mengerjakannya." lelaki itu berkata: " Benarlah kamu!" Kami merasa hairan terhadapnya; dia bertanya dan dia juga membenarkannya.

Lelaki itu berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang iman. " Baginda s.a.w bersabda: " Bahawa kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari kiamat dan kamu beriman dengan kadar baik dan burukNya. " Lelaki itu berkata: " Benarlah kamu! "

Dia berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang ihsan. " Baginda s.a.w menjawap: "bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Allah melihat kamu. "

Lelaki itu berkata lagi : " Ceritakan kepadaku tentang kiamat. " Baginda menjawab: " Tidaklah orang yang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak mengetahui tentang bila berlaku kiamat). "

Lelaki itu berkata lagi: " Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya. " Baginda menjawap: " Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan. " Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: " Wahai Umar! Tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu. " Aku menjawab: " Allah dan RasulNya lebih mengetahui. " Sabda Rasulullah s.a.w: " Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu. "

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di awal kitab ' Iman ' Hadis nombor 8.

Kandungan Hadis:

1. Memperelokkan pakaian dan perwatakan

Digalakkan memakai pakaian yang bersih, menggunakan wangi-wangian atau bau-bauan yang harum untuk memasuki masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beradab ketika berada di majlis tersebut dan beradab dengan alim ulama'. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan kata-katanya.

2. Apa itu Islam?

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah s.w.t. Dari segi istilah syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu: Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nafkah ahli keluarganya.

3. Apa itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Esan dan tiada sekutu bagiNya.

Begitu juga membenarkan kewujudan makhluk Allah Taala iaitu para malaikatnya dan mereka adalah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tiada mengingkari Allah Taala dalam setiap suruhan atau perintah yang ditujukan kepada mereka dan mereka mengerjakan apa sahaja yang diperintahkan. Allah Taala mencipta mereka daripada cahaya. Mereka tidak makan dan tidak bersifat lelaki mahupun perempuan serta tidak berketurunan. Tidak ada seorangpun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Allah Taala.

Juga membenarkan kitab-kitab samawiah yang turun dari sisi Allah. Kitab-kitab ini adalah syariat Allah Taala sebelum ia diselewengkan dan diubah oleh tangan-tangan manusia.

Juga membenarkan para rasul, yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk memberi pertunjuk kepada makhlukNya dan Allah menurunkan kepada mereka kitab-kitab samawiah. Juga beriktiqad bahawa para rasul itu adalah manusia yang maksum (terpelihara daripada dosa).

Juga membenarkan hari kiamat, iaitu hari Allah Taala membangkitkan manusia dari kubur dan menghisab amalan-amalan serta memberi balasan kepada merela. Sekiranya baik, maka baiklah balasannya dan sekiranya buruk, maka buruklah balasannya.

Juga membenarkan bahawa semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan takdir (ketentuan) Allah Taala dan kehendakNya berdasarkan hikmat yang hanya diketahui olehnya sahaja.

Inilah rukun-rukun iman. Barangsiapa yang beriktiqad dengannya, akan beroleh kemenangan dan kejayaan. Begitulah sebaliknya, sesiapa yang mengingkarinya, dia akan sesat dan kecewa. Firaman Allah Taala yang bermaksud :-

" Wahai orang-orang yang beriman! tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulnya (muhammad s.a.w) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingakar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. " (An-Nisaa': 136)

4. Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kamu ikhlas di dalam beribadat kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kamu melihat Allah ketika melakukan ibadat. Sekiranya kamu tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Allah Taala melihat kamu dan perbuatan kamu sama ada kecil mahupun besar.

5. Kiamat dan tanda-tandanya

Ilmu tentang masa berlakunya kiamat adalah di antara perkara yang hanya diketahui oleh Allah dan Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun dari kalangan hambaNya, sama ada malaikat ataupun rasul. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w menjawab soalan jibril dengan sabdanya yang bermaksud : " Tidaklah orang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. " Tetapi baginda s.a.w menjawab bila ditanya tentang sebahagian tanda yang menunjukkan peri dekatnya hari kiamat :

(a) Berlakunya kerosakan di zaman tersebut, rosaknya akhlak di mana ramai anak-anak durhaka dan menyanggahi orang tua mereka, lalu mereka bermu'amalah (bergaul) dengan orang tua mereka seperti mu'amalah tuan terhadap hambanya.

(b) Terbalik dan bercampur-baurnya urusan sehingga sehina-hina manusia menjadi raja dan pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya. Harta bertambah banyak di tangan manusia, bertambah kemewahan dan pemborosan. Manusia bermegah-megah dengan bangunan yang tinggi, harta (perhiasan) dan perabut-perabut yang banyak, serta merasa bongkak terhadap makhluk. Mereka yang sebelum ini berada dalam kemiskinan dan kesengsaraan, hidup di atas ihsan orang lain seperti orang arab badwi, pengembala dan seumpamanya, ketika itu menjadi penguasa dan pentadbir.

6. Bertanya tentang ilmu

Seorang muslim hendaklah hanya bertanya mengenai perkara yang memberi manfaat kepada dunia dan akhiratnya sahaja dan meninggalkan pertanyaan yang tidak berfaedah. Begitu juga bagi seorang yang hadir ke majlis ilmu dan menyedari bahawa para hadirin memerlukan jawapan kepada persolana ataupun masalah tertentu, sedangkan tiada seorangpun yang bertanyakan tentangnya, maka sewajarnya dia bertanyakan soalan tersebut sekalipun dia sudah mengetahuinya. Ini dilakukan supaya hadirin dapat mengambil manfaat daripada jawapan yang diberikan. Barangsiapa yang ditanya mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya, maka dia wajib berkata " saya tidak tahu " dan itulah tanda warak, taqwa dan ilmunya yang sahih.

sumber: kitab syarah hadis 40 Imam Nawawi ( Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto )

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template