Assalamualaikum...
Islam tidak pernah menzalimi wanita...
Kaum lelaki pada zaman jahiliyah memandang para wanita sebagai barangan picisan! Mereka dianggap objek yang boleh diwarisi seperti binatang! Lelaki pada zaman itu boleh mewarisi wanita-wanita kepunyaan bapanya sebagaimana mereka mewarisi lembu dan kambingnya. Mereka memperlakukan wanita-wanita ini dengan sesuka hati, dikahwininya jika mahu, atau ditahannya sehingga mereka dapat melepaskan diri atau menebus diri mereka dengan wang. Islam menegah sama sekali perbuatan sebegini.
Kaum wanita di zaman itu tidak mempunyai hak untuk mewarisi harta secara mutlak. Hal ini kerana, syarat pewarisan bagi masyarakat Arab jahiliyah ialah pandai bermain dan memikul senjata, mempertahankan kabilah dan mahir menunggang kuda. Oleh sebab itu mereka tidak mewariskan sebarang harta puasaka kepada wanita dan kanak-kanak. Jelas, wanita tidak diberi hak pewarisan sama sekali.
Islamlah yang membawa keadilan kepada wanita dengan menghapuskan keaiban ini, ketika kaum lelaki memandang enteng terhadapnya. Seorang bapa sendiri memandang hina kelahiran anak perempuan hingga ia sanggup berkata :
" Kelahiran ini tidaklah sebaik anak lelaki, kebaikannya hanyalah tangisan, kebajikannya satu kerugian! "
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan apabila seorang dari mereka dikhabarkan dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) wajahnya, penuh kemarahan. " Surah An-Nahl : 58
Islam melenyapkan segala keburukan yang menghantui wanita dan mengnggapnya sebagai suatu kurniaan Allah s.w.t.Firman Allah yang bermaksud :
" Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang dikehendaki, Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. "
Nyata daripada ayat ini, Allah telah mendahulukan kalimah 'wanita' daripada 'lelaki' dan baiknya asuhan serta pentarbihan mereka menjadi jaminan untuk ke syurga.
Islam telah mengangkat martabat wanita, samada ia seorang anak, isteri mahupun ibu. Seorang bapa tidak lagi berhak memperlakukan sewenang-wenangnya dan tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan sesiapa sahaja menurut kehendaknya. malah si anak mempunyai hak untuk mengatakan tidak, maka pada ketika itu si ayah tidak berkuasa untuk memaksanya berkahwin.
Pernah seorang gadis mendatangi Rasulullah s.a.w seraya berkata : " Bapaku telah mengahwinkanku dengan sepupuku supaya dia boleh menutup keaibannya. " dalam riwayat lain : - sedang gadis tersebut membencinya, lalu Nabi s.a.w menyerahkan hak untuk membuat keputusan kepadanya. Gadis itu berkata : " Aku telah merelakan perbuatan bapaku, cuma aku ingin wanita lain mengetahui bahawa bapa mereka tidak mempunyai hak dalam menentukan urusan perkahwinannya. "
Jelas bahawa Islam tidak pernah sama sekali menganiaya golongan wanita apatah lagi mensia-siakan haknya. Malah Islam memperlakukannya dengan adil dan meninggikan darjat dalam segenap aspek kehidupan.
Muslimah hendaklah kembali kepada Islam dengan penuh keyakinan dan kepercayaan. Dia mestilah berhadapan dengan arus tamadun barat dengan jatidiri yang kukuh, sehingga mampu membuat pernilaian dan mengatakan : " Ini tidak sesuai bagiku...dan ini pula bukanlah satu kesalahan... "
Terus terang saya katakan seandainya terdapat kebaikan pada tamadun barat maka sesungguhnya Islam telah pun mendahuluinya, dan jika terdapat keburujan maka Islam telah membanterasnya sejak awal lagi. Kita tidak memerlukan kemasukan budaya asing mahupun meminta-minta daripada pihak lain sedang apa yang ada pada kita sudah lebih daripada mencukupi.
Sesungguhnya orang yang berkemampuan tidaklah patut meminta-minta. Apakah wajar kita mengemis hidangan pihak lain sedangkan Allah telah melengkapi kita dengan Islam????
Wallahu 'Alam.
Khamis, 14 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan