بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد لله والصلاة والسلام علي رسول الله
Pengenalan tentang Imam Al-Ghazali :
Beliau adalah Abu Hamid Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Ahmad, dilahirkan pada tahun 450 H/1059 M di Thus daerah Khurasan. Ia dikenali dengan Al-Ghazali kerana ayahnya pemintal tenun wol atau kerana ia berasal dari desa Ghazalah. Beliau wafat pada tahun 505 H/1111 M.
Pendidikan awal beliau dimulai di daerahnya iaitu belajar dengan Ahmad Ibnu Muhammad al-Razkani al-Thusi. Setelah itu beliau berpindah ke Jurjan mempelajari semua bidang agama dan bahasa yang dipimpin oleh Abu Nash al-Ismaili. Setelah tamat beliau kembali ke Thus mempelajari bidang tasawuf bersama Syeikh Yusuf al-Nassaj (wafat 487 H). Kemudian beliau berhijrah ke Nisyapur untuk belajar dengan Abul Ma'al al-Juwaini yang bergelar Imam al-Haramain. Setelah itu melanjutkan pelajaran kembali dalam bidang tasawuf bersama Syeikh Abu Ali al-Fadli Ibnu Muhammad Ibnu Ali al-Farmadi, dan beliau mulai mengajar dan menulis dalam ilmu Fiqh.
Setelah Imam al-Juwaini wafat, beliau berpindah ke Mu'askar mengikuti berbagai forum diskusi dan seminar kalangan ulama' dan intelektual, dan dengan segala kecemerlangannya menjadikan beliau seorang guru besar di perguruan Nidzamiyah di Baghdad pada tahun 484 H, disamping memberikan kuliah, beliau juga mengkaji falsafah Yunani dan falsafah Islam. Kecemerlangan, keharuman namanya dan kesenangan dunia yang melimpah ruah di baghdah melebehi ketika beliau di Mu'askar. Dikota ini beliau sakit dan secara tiba-tiba meninggalkan kota Baghdad dan mengundurkan diri dari kegelapan duniawi.
Mulai tahun 488 H/1095 M beliau ke Damaskus. Di masjid Umawi beliau ber'iktiqaf dan berzikir dipuncak menara sebelah barat sepanjang hari dengan makan dan minum yang terbatas. Beliau memaski suluk sufi dengan riyadhah dan mujahadah terus menerus seperti itu selama 2 tahun di Damaskus. Setelah itu beliau pergi ke Baitul Maqdis di Palestin. Setiap hari beliau memasuki Qubah Shahrah untuk berzikir, beliau juga ke al-Khalil menziarahi makam Nabi Ibrahim a.s. Dari Palestin, beliau melaksanakan ibadah haji di Mekkah dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Madinah.
Beliau pernah kembali ke Baghdad untuk mengajar di Perguruan Nidzamiyah Baghdad, namun tidak lama kemudian beliau kembali ke Thus dan mendirikan Khanaqah untuk para sufi dan mendirikan madrasah untuk mengajar ilmu tasawuf.
Karya-karya hasil tulisan Al-Ghazali meliputi pelbagai bidang keIslaman, Kalam, Fiqh, Falsafah, Tasawuf dan lain-lain yang berbentuk pembukuan mahupun risalah.
Kitab-kitab Al-Ghazali yang membahas tentang tasawuf :
1. Mizan al-'Amal.
2. Al-Ma'arif al-Aqliah wa albab al-Hikmah al-Ilahiyyah.
3. Ihya' 'ulumuddin.
4. Al-Maqshad al-Astana fi Syarah Asma al-Husna.
5. Bidayat al-Hidayah.
6. Al-Madhnun bih 'ala Ghairi Ahlil.
7. Kaimiya al-Sa'adah.
8. Misykat al-Anwar.
9. Al-Munqidz Min al-Dhalal.
10. Al-Durrat al-Fakhirah fi Kasyaf 'Ulumi al-akhirah.
11. Al-Kasyaf wa al-Tabyin fi Ghurur al-Nas Ajma'in.
12. Minhaj al-'Abidin ila Jannati Rabbi al-'Alamin.
13. Al-Arba'in fi Ushul al-Din.
Tasawuf Al-Ghazali menghimpunkan akidah, syariat dan akhlak dalam suatu sistematik yang kuat kerana teori-teori tasawufnya lahir dari kajian dan pengalaman peribadi setelah melaksanakan suluk dalam riyadhah dan mujahadah yang intensif dan berkesinambungan, sehingga dapat dikatakan bahawa seumur hidupnya ia bertasawuf.
Dalam pandangannya, Ilmu Tasawuf mengandungi 2 bahagian penting :
1. berkenaan ilmu mua'malah dan bahagian.
2. berkenaan ilmu mukasyafah.
Hal ini dihuraikan dalam karyanya Ihya' 'Ulumuddin, Al-Ghazali menyusun menjadi 4 bab utama dan masing-masing dibahagi dalam 10 fasal iaitu :
Bab pertama : tentang ibadah (rubu' al-ibadah)
Bab kedua : tentang adat istiadat (rubu' al-adat)
Bab ketiga : tentang hal-hal yang mencelakakan (rubu' al-muhlikat)
Bab keempat : tentang magamat dan ahwal (rubu' al-munjiyat)
Menurutnya, perjalanan tasawuf itu pada hakikatnya adalah pembersihan diri dan pembeningan hati terus menerus sehingga mampu mencapai musyahadah. Oleh kerana itu ia menekankan pentingnya pelatihan jiwa, penempaan moral atau akhlak yang terpuji baik disisi manusia mahupun Tuhan.
Imam Al-Ghazali yang digelarkan Hujjatul Islam meninggal dunia dikota kelahirannya Thus pada hari isnin bersamaan 14 Jamadil akhir 505 H.
Wallahu 'Alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan